Pelbagai manfaat minyak kelapa sawit tangani NCD

Pelbagai manfaat minyak kelapa sawit tangani NCD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun pelbagai tohmahan negatif dilontarkan ke atas minyak kelapa sawit, namun ia terbukti mengandungi khasiat yang tidak ternilai ke atas kesihatan.

Antaranya, ialah kandungan antioksidan yang membantu melawan penyakit tidak berjangkit atau NCD seperti diabetes, obesiti atau kegemukan dan tekanan darah tinggi.

Pengarah Jabatan Nutrisi dan Kebersihan Makanan, Southeast University China, Prof. Sun Gui Ju berkata, minyak kelapa sawit mengandungi tokotrienol iaitu antioksidan yang sangat berkesan.

“Kelapa sawit mengandungi paling banyak tokotrienol berbanding buah yang menghasilkan minyak masak lain dan ia sangat berkesan sebagai antioksidan serta bertindak sebagai anti radang bagi melawan penyakit.

“Saya dan pasukan penyelidik menggunakan tokotrienol dan karotin bagi melihat keberkesanannya ke atas penyakit NCD seperti obesiti. Obesiti juga adalah hasil reaksi radang dalam badan.

Justeru, ia membantu mengurangkan radang dan memperlahankan NCD,” katanya sempena Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Tambah Gui Ju, tokotrienols dan kerotin di dalam minyak kelapa sawit juga boleh melegakan penyakit pulmonari fibrosis iaitu kanser paru-paru dengan mengurangkan radang selain bertindak sebagai anti kanser.

Katanya, penyelidikan mengenai kesan minyak sawit dan minyak zaitun ke atas serum lipid manusia didapati adalah sama. Ini bermakna ia tidak meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular atau jantung sekiranya mengamalkan diet seimbang.

Lipid adalah sebatian lemak dengan pelbagai fungsi dalam badan. Ia mengawal apa yang masuk dan keluar dari sel badan sekali gus membantu mengerakkan dan menyimpan tenaga, menyerap vitamin serta menghasilkan hormon.

Beliau menambah, kaedah memasak iaitu menggoreng dengan suhu yang tinggi boleh menyebabkan asid lemak bertukar dan memberi kesan buruk kepada tubuh manusia.

“Walaupun minyak kelapa sawit sangat baik tetapi elakkan memasak dengan kaedah mengoreng dengan minyak yang banyak atau kerana suhu yang panas akan menjejaskan khasiat yang ada.

“Kaedah memasak secara menumis dengan api menyala keluar, adalah petunjuk, suhu terlalu tinggi. Sebaiknya goreng dalam tempoh pendek, jadi suhu tidak terlalu tinggi bagi mengekalkan khasiat di dalam minyak,” katanya.

Gui Ju berkata, apapun jenis minyak yang digunakan, paling penting adalah berapa banyak yang diambil atau dimakan. Kalau terlebih maka, ia dikhuatiri boleh meningkatkan berat badan.

Tambahnya, di China, terdapat garis panduan kuantiti minyak yang disarankan untuk dimakan dalam sehari iaitu antara 15 hingga 30 gram minyak sahaja.

Semua jenis minyak ada manfaatnya untuk kesihatan. Sesetengah orang hanya memilih satu jenis minyak seperti zaitun. Sebaiknya amalkan diet seimbang untuk kekal sihat.

 

Minyak kitar semula jejaskan kesihatan
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nonosugar Health Tech Sdn. Bhd., Jeff Kong berkata, kelebihan minyak kelapa sawit dikesan oleh Bapa Pembangunan Industri Kelapa Sawit

Malaysia, Tan Sri Dr. Augustine Ong, 40 tahun lalu.

“Apabila Augustine menjalankan uji kaji, beliau terkejut kerana minyak kelapa sawit sebagus zaitun dalam semua aspek.

“Bahkan, manfaat kedua-duanya lebih kurang sama. Ini agak sukar untuk dipercayai tetapi tiada orang bercakap mengenainya ketika itu

“Selain itu, minyak kelapa sawit juga bagus untuk jantung,” katanya.

Berbanding minyak lain, minyak kelapa sawit sangat produktif kerana mampu mengeluarkan banyak buah dan minyak, dalam satu pokok.

Ia jauh berbeza dengan minyak zaitun.

Bagi menghasilkan minyak zaitun, kosnya sangat mahal kerana setiap pokok tidak menghasilkan buah sebanyak kelapa sawit.

Malah minyak kelapa sawit juga lebih murah berbanding zaitun.

“Banyak propaganda dan maklumat salah yang memburukkan minyak kelapa sawit seperti boleh menjejaskan kesihatan, tinggi kolesterol dan sebagainya tetapi ini berbeza dengan semua penemuan saintifik yang membuktikan kebaikannya.

“Bukan itu sahaja, Augustine turut menjalankan pelbagai uji kaji dengan saintis Australia, Eropah dan China. Keputusannya masih sama iaitu minyak kelapa sawit kekal terbaik berbanding minyak lain,” katanya.

Selain itu, Jeff berkata, ‘ujian buta’ dijalankan bagi membolehkan orang ramai membezakan rasa antara pisang yang digoreng dengan menggunakan dua jenis minyak iaitu minyak kelapa sawit dan kacang soya.

Apabila dihidangkan, peserta diminta memilih hidangan yang enak dan ternyata ramai memilih pisang yang digoreng dengan minyak kelapa sawit.

“Minyak kelapa sawit sangat stabil berbanding minyak kacang soya ketika menggoreng. Walaupun selepas dua jam digoreng, kuih itu masih garing seperti baharu dimasak.

“Manakala minyak-minyak lain tidak berapa stabil. Selepas dua jam, ia berinteraksi dengan oksigen akan menyebabkan pisang terokdisasi dan menjadi lembik. Apabila dimakan, rasanya tidak berapa sedap seperti sudah rosak,” katanya.

Ujar Jeff, minyak kelapa sawit yang digunakan untuk menggoreng dalam suhu tinggi tidak kira betapa stabil minyak berkenaan, ia perlu ditukar atau tidak boleh digunakan lagi.

Ini berikutan minyak yang sudah digunakan itu akan menjadi tidak stabil iaitu struktur molekulnya berubah dan khasiatnya berkurangan atau musnah.

“Minyak yang tidak stabil menyebabkan ia terokdasi dan tidak bagus untuk tubuh kerana boleh menyebabkan radang dan bengkak. Dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan masalah obesiti, sakit lutut, artritis, jantung, diabetes dan kanser,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, amalan minum minyak kelapa sawit bagi mendapatkan khasiat tokotrienols tidak digalakkan kerana boleh meningkatkan jumlah kalori melebihi keperluan tubuh.

Amalan itu juga boleh meninggalkan kesan buruk terutama bagi yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Minyak kelapa sawit lebih jimat
Cef Eksekutif Sous KLCC, Ronny Khor berkata, minyak kelapa sawit bukan sahaja dapat menghasilkan masakan yang enak tetapi lebih menjimatkan.

“Sebagai cef, saya perlu mengawal kos memasak di samping memastikan sajian sedap. Saya perlu pilih minyak yang murah tetapi tinggi khasiatnya. Saya juga perlu belajar semua jenis atau kaedah memasak yang terbaik untuk setiap masakan.

“Sebagai contoh, pisang goreng. Bila dimasak dengan minyak soya atau lain-lain, hasilnya pisang goreng akan pecah. Sebaliknya, jika menggunakan minyak sawit, ia lebih sedap dan hasilnya lebih cantik,” katanya.

Tambahnya lagi, kandungan lemak tepu yang tinggi dalam minyak kelapa sawit berbanding minyak lain menjadikan campuran lebih pekat apabila diadun dengan tepung.

Ini berbeza dengan minyak zaitun, yang kadar keasidannya lebih tinggi.

“Kita tidak perlu menggunakan kuantiti minyak sawit yang banyak untuk menggoreng dan ia lebih menjimatkan.

“Contohnya, jika menggoreng ayam untuk 50 orang, kita hanya perlu menggunakan dua liter minyak sahaja, tak perlu sampai tiga liter.

Katanya, minyak kelapa sawit turut boleh dimasukkan ke dalam salad selain digunakan untuk menghasilkan kuih-muih seperti bengkang ubi, bakar, pulut panggang dan sebagainya.

Ronny menasihatkan orang ramai supaya berpada-pada menggunakan minyak dalam masakan dan tidak perlu dimakan banyak melebihi keperluan kerana boleh menjejaskan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya