Bermain sambil belajar tingkat perkembangan si kecil

Bermain sambil belajar tingkat perkembangan si kecil

Michelle Ng Mei Sze (belakang, dua dari kiri) merasmikan acara Play and Learn di Taylor’s College, Subang Jaya baru-baru ini. – Utusan/Afiq RaZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermain bukan semata-mata mengisi masa lapang si kecil, sebaliknya ia adalah aktiviti penting yang menyokong perkembangan dan kreativiti mereka.

Justeru, Taylor’s College menganjurkan acara Play and Learn dalam usaha mengiktiraf kepentingan bermain sebagai aktiviti asas yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

Acara dikendalikan di bawah program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) itu memfokuskan aktiviti pembelajaran berasaskan permainan dan interaksi untuk kanak-kanak sekitar Lembah Klang.

Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, acara sehari itu memberi peluang kepada ibu bapa dan kanak-kanak bermain permainan yang disediakan khas untuk merangsang perkembangan anak-anak.

“Acara ini mengumpulkan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang keluarga untuk bermain dan berinteraksi bersama. Di Taylor’s, kami memberi keutamaan kepada keprihatinan dan pendekatan yang berteraskan komuniti, di mana pelajar kami memperoleh pengetahuan akademik dan pengalaman praktikal tetapi juga secara aktif berinteraksi dengan komuniti.

“Komitmen ini memperlihatkan dedikasi kami dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia untuk kerjaya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta memberi sumbangan bermakna,” katanya.

Selaras dengan tema UNICEF untuk Hari Kanak-Kanak Sedunia, For Every Child, Every Right, Play and Learn dihadiri kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, terdiri daripada komuniti Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Kampung Lindungan (Desa), Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta rakan kongsi Taylor’s College untuk pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning).

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Prof. Barry Winn, Ketua Pusat Pengajian Diploma dan Profesional, Ts Dr. Wong Chee Kong dan Pengarah Program DECE, Nurul Iman Arshad.

PENDIDIKAN AWAL

Michelle menyambut baik usaha tersebut yang dilihat membantu menyokong perkembangan baik untuk kanak-kanak.

Play and Learn adalah inisiatif yang menghayati pepatah ‘seisi kampung untuk membesarkan seorang anak’ iaitu prinsip yang mendasari perkembangan awal kanak-kanak.

“Acara ini mengukuhkan komitmen kita untuk menyokong program pendidikan yang memberdayakan pembelajaran kanak-kanak dan kami bangga melihat institusi tempatan seperti Taylor’s

College mencipta peluang secara aktif bagi anak-anak kita untuk belajar dan berkembang,” katanya.

Ada empat zon permainan interaktif ditawarkan kepada kanak-kanak yang hadir.

Zon- zon tersebut direka untuk menggalakkan perkembangan holistik pada peringkat awal kanak-kanak melalui bermain dengan fokus pada kebebasan berekspresi menggunakan pelbagai deria.

Ia menawarkan aktiviti seperti permainan deria, messy play dan permainan fizikal melibatkan pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak termasuk kemahiran kognitif, sosial, emosi dan fizikal.

Sementara itu, Nurul Iman berkata, permainan tersebut adalah permainan berstruktrur yang mempunyai objektif tersendiri dalam perkembangan kanak-kanak.

“Berbeza dengan permainan bebas, permainan berstruktur ini lebih objektif kepada tahap perkembangan yang diinginkan untuk kanak-kanak tersebut.

“Seperti permainan jelly ball dan pasir kinetik yang bertujuan merangsang kekuatan tangan dan jari, sekali gus membantu kanak-kanak memegang pensel dan menulis apabila memasuki alam persekolahan,” katanya.

Selain memberi manfaat kepada kanak-kanak, acara itu turut menyediakan peluang berharga untuk pelajar DECE menerapkan pengetahuan bilik darjah dalam suasana dunia sebenar.

Disokong oleh We.Play, pelajar-pelajar memainkan peranan aktif dalam merancang dan mengendalikan pelbagai zon interaktif untuk mencipta pengalaman bermanfaat.

Melalui bimbingan pensyarah, pengalaman ini turut membolehkan pelajar DECE mengamalkan penglibatan kolaboratif dengan keluarga dan komuniti, sekali gus meningkatkan pemahaman tentang jenis interaksi yang menyokong perkembangan awal kanak-kanak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN