KUALA LUMPUR: Pencipta kandungan digital di Malaysia semakin mendapat perhatian, terutamanya di peringkat antarabangsa dengan kreativiti yang tinggi dan keunikan budaya tempatan.
Penganjur Anugerah All Star Influencers (ASIA), Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, pempengaruh media sosial Malaysia bukan sahaja kreatif tetapi juga berpotensi besar dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti setanding pencipta kandungan popular luar negara.
“Saya tidak setuju dengan pandangan bahawa pempengaruh Malaysia menghasilkan kandungan kurang bijak. Jika dilihat dari sudut kreativiti, orang Melayu antara yang paling kreatif. Ramai pencipta kandungan dan pembikin filem berasal daripada generasi muda kita.
“Oleh sebab itu, kita wujudkan platform seperti ASIA2024 yang menjadi medium penting untuk mengetengahkan bakat tempatan kepada audiens global. Kita dapat lihat bagaimana pempengaruh tempatan mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sebelum malam penganugerahan nanti.
“Kami percaya golongan muda ini mempunyai idea unik dan cara tersendiri untuk menarik perhatian audiens, bukan sekadar mencipta kandungan sensasi,” katanya.
ASIA 2024, yang bakal berlangsung dari 3 hingga 7 Disember 2024, menghimpunkan lebih 60 pempengaruh dari lapan negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Korea Selatan.
Tambah ABD. Rahman, ASIA 2024 bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti selain menghimpunkan bakat serta pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya.
“Peserta dengan jutaan pengikut akan menyertai aktiviti seni dan budaya di Melaka. Kandungan video yang dihasilkan memfokuskan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia, yang dapat menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.
“ASIA 2024 juga memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti. Kami mahu melahirkan pencipta kandungan yang bertanggungjawab dan mampu menyampaikan mesej positif kepada audiens mereka,” ujarnya..
ASIA edisi kedua ini turut menampilkan 13 kategori pertandingan, antaranya Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award, dan Best Transition/Editing Award. Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai dan trofi eksklusif.
Melaka dipilih sebagai lokasi utama pertandingan kerana nilai sejarah dan budaya yang dimilikinya. Para peserta akan melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya sambil menghasilkan kandungan kreatif yang memaparkan keunikan negeri tersebut.
Menurut Abd. Rahman, ASIA2024 tidak hanya mempromosikan pelancongan Malaysia tetapi juga memberi ruang kepada pempengaruh untuk memperluas kreativiti mereka.
“Kami percaya golongan muda ini mempunyai idea unik dan cara tersendiri untuk menarik perhatian audiens, bukan sekadar mencipta kandungan sensasi
“Pertandingan ini diharap dapat memberi impak besar kepada industri pelancongan negara. Bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024, kandungan yang dihasilkan akan menjadi medium promosi yang lebih berkesan melalui platform media sosial.
“Kita juga mahu memperkukuh hubungan antara pencipta kandungan dari pelbagai negara, sekali gus membina jaringan kerjasama yang lebih luas. Kami berharap ini dapat menjadi standard baharu bagi industri pencipta kandungan di rantau Asia,” tambahnya.
Untuk info, ASIA edisi pertama yang berlangsung tahun lepas mengiktiraf pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn yang berjaya menggondol anugerah utama sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik.
Dengan kemenangan itu, Ahieb berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah USD10,000 (RM47,300) berserta trofi. Sementara itu kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 (RM14,200) beserta trofi, manakala kategori Penyampai Cerita Terbaik USD1,000 (RM4,730) dimenangi Tikaolaa (Indonesia), dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia) bersama wang tunai USD1,000 (RM4,730).
Tambah mengagumkan, tanda pagar #AllStarInfluencerAward2023 berjaya mendapat lebih 205juta capaian di aplikasi Tiktok dan tular di pelbagai platform media sosial dalam tempoh satu tahun sahaja.-UTUSAN