‘2024 bukan tahun yang baik buat saya dan syarikat’

‘2024 bukan tahun yang baik buat saya dan syarikat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setelah melalui pelbagai dugaan, pelawak dan usahawan, Shuib mengakui dia masih lagi tidak patah semangat untuk terus mengendalikan perniagaannya, Bubblebee.

Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhammad, 40, berkata, 2024 bukanlah tahun yang terbaik buat dirinya dan syarikat selepas terkait dengan beberapa kes mahkamah.

“Kalau nak kata saya gagal, saya masih belum menyerah kalah dan masih menggalas tanggungjawab dengan baik. Ramai kakitangan yang mahu saya berjuang sehingga perkara ini pulih kembali.

“Allah itu Maha kaya. Dia boleh bagi rezeki itu dan tarik saja jika Dia mahu. Cuma saya akui 2024 ini bukan tahun yang baik buat saya dan syarikat.

“Saya optimis dan menganggap apa yang berlaku ini adalah satu cabaran. InsyaAllah tahun 2025 saya akan bangkit dengan perancangan baharu.

“Soal kes di mahkamah saya serahkan kepada peguam untuk menjalankan tugas dan pihak pengurusan menguruskan beberapa perkara yang berkaitan,” katanya ketika ditemui di sidang media Bocey Comeback Live in Singapore, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shuib memaklumkan dia akan memberikan kerjasama dengan baik dan tidak melarikan diri daripada mana-mana pihak berkuasa bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Apa yang boleh dibincangkan, saya akan berbincang dan kalau saya perlu ke mahkamah saya akan pergi dan tak akan lari. Saya sudah hadap macam-macam termasuk ada perniagaan yang bagus, tetapi Allah ambil isteri saya.

“Itu adalah dugaan yang paling berat. Jadi apa yang saya lalui sekarang ini hanyalah dugaan kecil. Saya anggap perkara ini adalah normal tapi saya bukan mahu normalisasikan faedah kakitangan atau cukai.

“Cuma saya harap dugaan yang saya hadapi ini tidak akan mengganggu perancangan saya untuk maju ke depan. Lagipun perniagaan saya ini bukan diboikot, malah mendapat sambutan tinggi terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Semalam, Shuib yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat Bubblebee Sdn Bhd telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Shuib dan pengarah bersama Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mendenda kedua-dua pengarah bersama itu sebanyak RM17,500 di atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya