PETALING JAYA: Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan dia meminta izin penyanyi, Diana Rafar terlebih dahulu sebelum mula berlakon dengan aktor terkenal, Zamarul Hisham menerusi drama bersiri, Ternyata Sebuah Bahagia.
Menurut Sarimah, dia perlu berbuat demikian demi menjaga adab dan keharmonian rumah tangga bersama pasangan masing-masing.
“Sebelum mulakan penggambaran, saya berhubung dengan Diana Rafar untuk meminta izin terlebih dahulu. Pada saya, itu sangat penting kerana itu adab.
“Apabila dia okay dan suami saya okay, barulah kita dapat bekerja dengan tenang dan bebas menjayakan watak tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, penyanyi lagu Kini Kau Tiada itu turut menegaskan pentingnya untuk hero dan heroin yang sudah berumah tangga menjaga batas sepanjang di lokasi penggambaran.
Enggan mempunyai isu berbangkit usai penggambaran, Sarimah turut menyerahkan kepercayaan terhadap Zamarul untuk mencipta keserasian secara semula jadi bersama meskipun mempunyai limitasi.
“Sebagai pelakon, kita patut buat begitu kerana mereka sudah tahu dan kita pun menjaga batasnya supaya tidak kelihatan melampau. Saya tidak mahu ada sebarang isu berbangkit selepas penggambaran.
“Saya juga cakap pada Zamarul yang kami perlu buat yang terbaik. Walaupun drama ini banyak babak yang bersentuhan, pergi klub dan sebagainya kami tetap pastikan ada batas.
“Bahaya kalau tak ada batas itu. Setiap perasaan dalam drama itu hanya rekaan semata dan berakhir di lokasi sahaja,” jelasnya.
Bagaimanapun, Sarimah mengakui senang bekerjasama dengan Zamarul menerusi drama bersiri arahan Nur Ain Sharif itu dan menyifatkannya seorang pelakon yang profesional.
“Saya teruja apabila dapat berlakon dengan Zamarul. Dia sangat bagus. Saya juga bersyukur selalu digandingkan dengan hero yang hebat. Sewaktu hari pertama penggambaran, kami hanya saling pandang antara satu sama lain sudah boleh menangis.
“Mungkin disebabkan kematangan yang kami ada berdasarkan pengalaman hidup yang kami ada. Jadi, kami tahu apa yang kami perlukan,” katanya.
Selain Sarimah dan Zamarul, drama bersiri 40 episod ini juga turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datin Elvina Mohamad, Azah Aziz, Lorenzo Irmann dan ramai lagi. -UTUSAN