PETALING JAYA: Pelakon dan selebriti popular, Nur Fazura, membawa aura baharu dalam hidupnya sempena ulang tahun kelahirannya, hari ini.
Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, dia mahu lebih menyayangi dirinya lagi sempena genap usia 41 tahun pada hari ini.
“Permulaan sebuah janji, untuk lebih sayangi diri sendiri. 27.09.2024,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, Fazura turut memuat naik potret lukisan pemandangan di pantai diiringi lagu Oceans seolah menggambarkan rasa tenang yang dimilikinya kini.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani ucapan selamat ulang tahun dan doa dari rakan selebriti dan peminatnya.
“Sanah Helwah (selamat ulangtahun). Semoga Allah takdirkan yang baik-baik untuk Faz dan Fatima,” komen penyanyi Lufya.
“Selamat ulangtahun Kak Faz sayang! Sayang kami selalu,” komen Nadia Brian.
“Selamat ulangtahun Kak Faz. Semoga ikatan perkahwinan dengan Fattah Amin terus utuh, bahagia sampai syurga,” komen peminatnya.
Sebelum ini, Fazura dalam sebuah perkongsian di Instagram memaklumkan dirinya nekad mahu bercerai dengan suaminya, Fattah Amin demi mempertahankan maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak mereka, Nur Fatima Aisya.
Pada Rabu lalu, Fattah dimaklumkan tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap Fazura ketika proses perceraian mereka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Bagaimanapun, mahkamah tersebut telah menangguhkan ke perceraian pasangan itu ke tarikh baharu, pada 7 Oktober depan.
Pada 13 September lalu, Fazura telah memfailkan perceraian di mahkamah yang sama sekaligus meleraikan segala spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama Fattah.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Fatima. – UTUSAN