PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha tidak kisah apabila penampilannya yang semakin kurus menerima kritikan daripada warganet.
Menurut Fasha, dia enggan mengambil pusing dengan setiap kritikan yang diterima kerana tahu usahanya sendiri untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal secara sihat.
“Perlahan, tapi pasti. Biarkan mereka nak berkata, yang penting diri sendiri. Masa kita chubby (gemuk), mereka hina.
“Masa kita kurus, mereka kata kita sakit. Yang penting, diri kita sendiri tahu kita sihat. Alhamdulillah,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram.
Fasha yang turut memuat naik hantaran videonya yang sedang bersenam juga sempat berkongsi tips untuk mengamalkan diet yang sihat.
“Jangan lupa, detoks, jaga makan sepanjang hari minggu. Tidak diet masa hujung minggu. Jangan lupa bersenam,” katanya.
Terdahulu, Fasha tampil memuat naik fotonya mengenakan baju kurung ketika menghadiri sebuah majlis.
Namun, perkongsian tersebut telah menimbulkan pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya bimbang dengan tahap kesihatan Fasha yang didakwa semakin kurus. -UTUSAN