PETALING JAYA: Kemelut antara penyanyi, Shila Amzah bersama ibunya, Fauziah Sarman seakan sudah berakhir selepas wanita itu memuat naik foto bersama di sebuah acara, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Fauziah telah memuat naik beberapa kepingan foto ketika menghadiri majlis akikah anak kedua Shila, Rhea Akira yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Tidak meletakkan sebarang kapsyen, Fauziah yang turut hadir bersama Syada dan Syahir berkongsi foto mesra mereka di atas pelamin dengan menggunakan latar belakang muzik lagu Rabbani, Alhamdulillah sebagai tanda syukur.
Malah, ibu kepada penyanyi lagu Patah Seribu itu juga dilihat bahagia ketika berkongsi foto bersama cucu-cucunya, Seth Uwais dan Rhea Akira.
Sebelum ini, kemelut keluarga Shila menjadi sorotan warganet selepas penyanyi itu didakwa menghalau keluar ibu dan adik-beradiknya daripada rumah banglo mereka yang terletak di Hulu Langat.
Namun, Shila menafikan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa dia mahu menjual rumah itu dan ingin menyediakan kediaman yang lebih kecil buat keluarganya.
Perkara itu dilihat selesai selepas penyanyi itu berkongsi proses menjual rumah banglo tersebut dan adiknya, Syada turut berkongsi mereka sudah berpindah daripada kediaman itu. -UTUSAN