KUALA LUMPUR: Penyanyi dan selebriti usahawan, Nubhan Ahamad, 38, menolak andaian sesetengah pihak kononnya dia sengaja mencari penjaga untuk ibunya yang mesra disapa Mak Jenny, kerana mahu bersikap lepas tangan.
Menurut Nubhan, tindakannya bukan kerana seperti yang didakwa, sebaliknya tujuan dia dan isteri, Afifah Tawfek, mencari penjaga kerana mahu memberi keselesaan dan menambah penjagaan buat ibu tersayang.
“Bukan lepas tangan, tetapi berikan emak saya penjagaan ekstra. Kami berdua dan keluarga jaga sahaja dia, tetapi saya mencari juga pembantu atau penjaga kerana anggap ia sebagai satu keperluan.
“Kita ini ada masa sibuk juga, tetapi bukan bermakna tidak menjaga emak. Sebab itu demi mahu memastikan penjagaan emak lebih rapi memandangkan dia juga tidak sihat sekarang akibat sakit tua, saya carikan juga dia penjaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, jelas Nubhan, penyakit slipped disc yang dialaminya juga membataskan kudratnya untuk menguruskan ibunya terutama dalam keadaan kesihatannya yang merosot.
“Saya pula alami slipped disc dan kalau mahu angkat emak, memang tidak larat sebab tubuh badan emak agak besar. Pada masa yang sama, apabila ada penjaga khas dia boleh membantu pastikan emak mengambil ubatan secara berkala mengikut jadual yang doktor beri.
“Adakala biasalah orang tua, dia lupa makan ubat dan sebagainya, kita pun kadangkala terlepas pandang. Jadi pembantu khas boleh membantu kami dari sudut ini,” katanya.
Nubhan juga berkata, tindakannya ini mungkin tidak perlu dicontohi oleh semua orang kerana memahami tidak semua anak mampu menyediakan penjagaan rapi buat ibu mereka yang sedang sakit.
“Tengok juga pada tahap mana kita mahu menjaga orang tua kita. Kalau awak rasa boleh jaga emak sendiri secara terbaik, tidak perlu pun cari penjaga.
“Kalau rasa mampu untuk menggajikan pembantu atau penjaga untuk ibu bapa yang sudah tua, itu terpulang,” katanya.
Dalam pada itu, kata Nubhan, dia masih belum memilih calon penjaga buat ibunya meskipun menerima banyak permohonan.
Terdahulu, Nubhan menerusi akaun media sosialnya membuat satu makluman bahawa dia sedang mencari penjaga atau pembantu khas buat Mak Jenny.
Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) ini juga memberitahu, ibunya mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Senawang, Negeri Sembilan minggu lalu.
Bagaimanapun, keadaan ibunya sudah semakin stabil selepas menerima rawatan di hospital namun perlu menerima rawatan susulan pakar termasuk menjalani pembedahan tidak lama lagi.