MENDENGAR sahaja ujian pap smear pasti sudah menggerunkan buat wanita.
Walaupun kaedah calitan itu bertujuan untuk mengambil sedikit sampel daripada serviks bagi mengesan masalah prakanser dan kanser pada bahagian tersebut, namun kadangkala mendatangkan rasa yang kurang selesa dan menyakitkan.
Malah, tidak kurang juga wanita yang berasa trauma untuk mengulangi lagi ujian tersebut.
Memahami permasalahan itu, Pengarah Makmal Impak Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatan Taylor’s University, Prof. Dr. Chong Pei Pei membangunkan inovasi PapLite Pro™.
PapLite Pro™ dibangunkan bagi meningkatkan kualiti kaedah pap smear agar kurang menyakitkan dan dalam masa yang sama mampu memberikan keputusan ujian yang lebih tepat.
Kaedah pap smear menggunakan PapLite Pro™ masih menggunakan kaedah calitan, namun menggunakan alatan yang berbeza daripada kaedah konvensional.
Pap smear konvensional kebiasaannya menggunakan alatan yang dipanggil sebagai spekulum dan berus serviks yang berbentuk seakan spatula yang dimasukkan ke dalam alat sulit wanita untuk pengambilan sampel.
Inovasi ini masih mengekalkan penggunaan spekulum namun berus serviks itu digantikan dengan rekaan baharu iaitu PapLite Pro™ yang lebih ergonomik dan praktikal.
“Inovasi yang dibangunkan ini lebih praktikal kerana didatangkan bersama pencahayaan yang membolehkan pengamal perubatan melihat permukaan serviks.
“Sebelum ini, pengamal perubatan mengalami kesukaran untuk melihat permukaan dan memerlukan cahaya atau lampu yang disuluh pada kawasan berkenaan sebelum melakukan calitan.
“Kadangkala kesakitan yang dirasakan ketika prosedur itu kerana pengamal perubatan tidak dapat melihat dengan jelas dan perlu melakukan calitan beberapa kali,” katanya ketika sesi bual bicara semasa majlis pelancaran inovasi itu di Taylor’s University Lakeside Campus baru-baru ini.
Bual bicara itu turut menampilkan Koordinator Penyelidikan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Kavinash Loganathan dan Jururawat bebas, Thulasini Balachandran.
Kajian inovasi yang bermula sejak 2020 itu mendapat geran daripada Kementerian Pengajian Tinggi berjumlah RM75,000 dan geran IGNITE 10 dalaman yang bernilai RM10,000.
TINGKAT KUALITI
Ciri baharu alat yang kini dalam proses dipatenkan itu dapat meningkatkan saringan serviks memandangkan ia kurang menyakitkan kerana proses pengambilan sampel yang lebih tepat dan cepat.
Ia juga mampu mengurangkan kebimbangan terhadap ketidakselesaan dan kesakitan dalam kalangan wanita.
Namun, dalam masa yang sama membantu pengamal perubatan mendapatkan sampel dengan lebih berkesan dan mudah.
“Sebenarnya idea untuk menghasilkan inovasi ini timbul selepas saya mengikuti satu program saringan di sebuah kawasan pedalaman.
“Ketika itu, rakan saya yang merupakan pengamal perubatan memberitahu agak sukar untuk mendapatkan sampel kerana kekurangan fasiliti.
“Biasanya, ketika di hospital akan ada satu lampu seperti spotlight yang membantu doktor atau jururawat melihat ke permukaan serviks. Jika tiada, seseorang perlu memegang lampu suluh untuk suluh ke kawasan tersebut, namun kadang kala bayang-bayang tangan menghalang untuk melihat dengan betul,” jelasnya.
PapLite Pro™ yang kini dalam fasa ujian keberkesanan mempunyai lampu yang diletakkan pada bahagian hadapan alat membolehkan pengamal perubatan melihat permukaan yang ingin dicalit dengan lebih baik.
Ia dijangka akan dikomersialkan dalam masa dua tahun lagi.
MAKLUM BALAS
Berpeluang menggunakan alat baharu itu di lapangan, Thulasini berkata, ia sememangnya membantu dia untuk melakukan ujian pap smear dengan lebih berkesan.
Katanya, penggunaan inovasi baharu itu bukan sahaja memudahkan\ ujian calitan malah membantu dia untuk melihat permukaan serviks dengan lebih baik.
“Selalunya pengamal perubatan bukan hanya perlu mengambil sampel tetapi juga perlu melihat permukaan kawasan itu kerana ia juga ada menunjukkan tanda-tanda dan simptom sekiranya ada.
“Pencahayaan pada alat ini membantu saya melihat dengan lebih baik dan melakukan calitan dengan cepat. Wanita-wanita yang menjalani ujian pun gembira kerana ujian dijalankan tidak sampai lima minit dan mereka rasa selesa ketika ujian dijalankan,” katanya.
Setakat ini, seramai 55 wanita telah diuji menggunakan alat baharu itu.
KANSER KEDUA KERAP BERLAKU
Sementara itu, dalam perbincangan sama, Dr. Kavinash turut mendedahkan kanser serviks adalah kanser kedua paling banyak berlaku dalam kalangan wanita berusia antara 15 ke 44 tahun di negara ini.
Pada tahun 2020 sahaja, terdapat 1,740 kes baru dilaporkan dengan kadar kematian 57 peratus.
Bilangan yang membimbangkan itu kebanyakannya adalah disebabkan oleh cabaran seperti stigma budaya, teknik saringan invasif, pilihan pesakit dan kurangnya kesedaran.
“Di Malaysia, 55 peratus wanita hanya pernah menjalankan ujian pap smearsekali sepanjang hidup mereka.
“Sedangkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah wanita yang berusia 18 tahun ke atas perlu melakukan ujian pap smear setiap tiga tahun.
“Perkara ini boleh dikatakan disebabkan oleh kurang kefahaman kepentingan melakukan ujian ini di mana sebenarnya ia adalah saringan awal yang penting untuk mengesan simptom-simptom kanser serviks,” katanya.
Tambahnya, pap smear bukan hanya penting kepada wanita yang sudah berkahwin atau aktif secara seksual sahaja.
Setiap wanita tidak kira sudah berkahwin atau tidak sebenarnya terdedah kepada kanser berkenaan bergantung kepada sejarah keluarga dan kesihatan masing-masing.
Disebabkan itu pemeriksaan dan saringan perlu dilakukan secara berkala kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan
nyawa.
“Pap smear ini adalah untuk mengesan sel serviks yang tidak normal dan merawatnya sebelum ia berubah menjadi kanser.
“Oleh itu, kehadiran inovasi seperti ini harapanya dapat menarik lebih ramai wanita untuk melakukan saringan.
“Selain itu, memberi keputusan yang tepat supaya pesakit tidak perlu datang mengulangi ujian berulang kali sekiranya sampel tidak berjaya didapatkan dengan baik,” katanya.