KUALA LUMPUR: Sidang di Telang berjaya menjadi platform memperkenalkan karya seni unik tetapi juga mengangkat warisan dan kebudayaan Negeri Sembilan yang kaya dengan motif tradisional.
Pengasas SeriGreen, Jamaliah Hamdan berkata, motif bunga telang telah dipilih untuk dijadikan inspirasi dalam koleksi fesyen yang direka oleh pereka terkenal, Anuar Faizal.
Koleksi ini bukan sekadar mencerminkan keindahan flora yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga sebagai simbol keunikan budaya tempatan.
“Karya-karya lukisan Jailani Hassan yang dipamerkan di sini, serta pelbagai fesyen dari telekung hingga pakaian kasual, menonjolkan motif bunga telang.
“Kami berhasrat membawa koleksi ini ke CIMB Artober 2024 Oktober nanti dan insya-Allah, koleksi ini akan dikomersialkan selepas itu. Saya pasti motif bunga telang ini akan mendapat perhatian ramai,” katanya.
Majlis yang dirasmikan tetamu kehormat,Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar itu turut mendapat pujian di atas inisiatif SeriGreen dalam memartabatkan seni dan budaya tempatan.
Tunku Puteri Jawahir berkata, usaha ini jelas menunjukan kepentingan menghidupkan semula identiti Negeri Sembilan melalui motif tradisional seperti bunga lado yang bukan sahaja mewakili keunikan masakan pedas negeri itu tetapi juga melambangkan identiti dan seni yang kaya dalam setiap luak di Negeri Sembilan.
Jelasnya, bunga lado melambangkan keunikan Negeri Sembilan yang sinonim dengan masakan pedas manakala ciri-ciri bunga itu ialah berwarna putih, mempunyai kelopak daun, lima stamen dan stigma.
Dalam pada itu, Anuar Faizal berkata, hasil tenunan yang menjadi fokus utama rekaannya akan menjadi lambang kebanggaan negeri dan akan diperkenalkan dalam koleksi fesyen terbarunya.
“Daun melambangkan rakyat di negeri ini, lima kelopak bunga (lima Rukun Islam dan lima Rukun Negara), Stamen (Benang Sari) iaitu Undang Yang Empat (Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau) dan Tuanku Besar Tampin manakala stigma (Yang Dipertuan Besar).
“Songket dengan motif bunga lado ini akan ditenun oleh banduan Penjara Marang, yang terkenal dengan kemahiran mereka dalam menghasilkan tenunan berkualiti tinggi,” ujarnya.
Tambah Anuar lagi, Sidang di Telang bukan sekadar pameran seni tetapi adalah pertemuan antara seni, fesyen, dan warisan yang memperlihatkan bagaimana elemen-elemen tradisional boleh disatukan dengan rekaan moden.
“Usaha ini juga menunjukkan komitmen SeriGreen dalam mempromosikan dan memelihara warisan tempatan, sambil menjadikan seni sebagai jambatan antara masa lalu dan masa kini.
“Dengan kerjasama erat antara SeriGreen, Diraja Negeri Sembilan, dan pereka fesyen tempatan, “Sidang di Telang” telah meletakkan asas yang kukuh untuk mengangkat seni dan warisan Negeri Sembilan ke pentas antarabangsa.
“Ini adalah langkah yang bukan sahaja memartabatkan seni tempatan tetapi juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan melestarikan warisan budaya kita,” kongsinya.