KOSONG, ingin lari dan terasing adalah perasaan yang selalu berkecamuk dalam diri pelakon, Hun Haqeem.
Ada banyak perkara yang menekan anak bongsu daripada empat beradik ini baik hal kerjaya dan juga perkara peribadi yang enggan diceritakan. Selama setahun dia berusaha mencari jalan keluar dengan bertemu pakar psikiatri lebih daripada 10 sesi.
Kini, keadaan mental pemilik nama sebenar Haqeem Hermy, 26, sudah semakin baik. Tiada lagi rasa ingin memencil diri dan pelakon itu boleh meneruskan hidup lebih bahagia.
“Bila bantu orang lain atau memberi sesuatu kepada mereka, saya seperti jumpa alasan baru untuk terus hidup dan bekerja keras.
“Saya rasa sangat lega dan pulih daripada kepenatan. Rupanya kita perlu ada makna dan sebab dalam hidup,” kata Hun kepada Utusan Malaysia.
Pelakon siri adaptasi W: Two Worlds ini memulakan projek sukarelawannya pertengahan tahun ini. Hun sempat mengajak beberapa rakan selebriti terdekat untuk sama-sama menyumbang dan membantu golongan memerlukan seperti anak yatim.
“Waktu itu bulan puasa dan kita semua mahu menyambut hari raya tidak lama lagi. Kami berbuka puasa bersama anak yatim dan sempat juga belikan baju raya buat mereka.
“Lebih seronok bila ada rakan-rakan saya yang turut sertai. Saya boleh kata, itu adalah momen terbesar 2024 yang mengubah cara pandang saya tentang hidup.
“Selepas itu, jika rasa penat atau sedih, saya akan kenang semua itu dan mengingatkan diri sendiri bahwa Tuhan telah beri tenaga dan usia muda untuk digunakan sebaiknya.
“Saya mahu lakukan ini dan menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya yang sedang merancang untuk melakukan projek seperti itu di masa akan datang.
Mahu bina komuniti sihat mental fizikal
Dengan hidup yang serba sibuk dan tergesa-gesa ini, Hun bagaimanapun merasakan pentingnya untuk seseorang menjaga kesihatan fizikal dan mental. Baginya, kedua-dua perkara itu sangat penting dan saling berkait.
Oleh itu, dia mahu membina sebuah komuniti sihat bermula daripada pusat kecergasan fizikal yang diberi nama, Elitez MMA.
“Sebelum ini berat badan saya pernah cecah 120 kilogram. Apabila sudah fokus kepada kecergasan mental dan fizikal, berat badan saya turun sangat banyak.
“Secara tidak langsung, saya mahu beri motivasi kepada orang di luar sana untuk fokus dan mempunyai mentaliti yang kuat untuk mendapatkan sesuatu,” katanya.
Bukan itu sahaja, menyedari masyarakat Malaysia menjadi antara penduduk teramai yang memiliki berat badan berlebihan, Hun menekankan semua ini boleh diatasi jika masyarakat kita saling mengingati antara satu sama lain.
“Berbanding negara lain, negara kita agak belakang tentang kecerdasan fizikal.
“Tapi bila adanya komuniti, setidaknya kita ada kawan-kawan yang akan ajak untuk bersenam dan mengingatkan kita untuk jaga kuantiti makanan.
“Saya berhasrat untuk buka lebih banyak cawangan gim,” katanya. – UTUSAN