Penganjur perlu peka batas agama, elak pakaian ‘sakit mata’ - Zainal Abidin - Utusan Malaysia

Penganjur perlu peka batas agama, elak pakaian ‘sakit mata’ – Zainal Abidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Zainal Abidin berharap penganjur festival muzik tidak mengenepikan batas agama sepanjang mengendalikan acara.

Menurut Zainal, 65, perkara itu perlu bagi mengelak daripada terjadinya pergaulan bebas dalam kalangan pengunjung.

“Sebenarnya, penganjuran festival muzik sebegini terbaik untuk industri. Tetapi, landasan agama kita harus praktikkan agar tidak melanggar batas ditetapkan.

“Negara kita adalah negara Islam (agama rasmi), menitikberatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan, cara berpakaian, kata-kata yang dikeluarkan ketika di atas pentas, ia haruslah ditapis dan diperbaiki untuk mereka yang menonton.

“Dalam berhibur, kena ingat batasan agama sebab kita orang Islam. Batasan syariah itu harus dipraktikkan,” katanya.

Zainal ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Hausboom Music Festival 2024, di sini, semalam.

Bukan itu sahaja, Zainal mengingatkan tanggungjawab sebagai seorang penghibur tetap akan disoal di akhirat kelak.

“Ini tanggungjawab kita sebab kena jawab juga di akhirat nanti. Lelaki perempuan berpelukan sesama bukan mahram, saya yang menyanyi, saya yang menggalakkan, saya bertanggungjawab nanti. Saya harap, penganjur akan peka mengenai perkara ini.

“Ada banyak artis baharu yang saya tak kenal. Dari segi pemakaian, kadang sakit mata juga.

“Ia tak salah pada diri mereka, tapi salah daripada sudut agama kita. Itu harus diperbetulkan agar tidak keterlaluan,” katanya.

Zainal merupakan salah seorang daripada 31 penyanyi lain yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2024 di KL Base.

Antara artis yang turut terlibat menjayakan festival itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Wings, Ruffedge, Masdo, Iqbal M, Joe Flizzow, Luqman Podolski, No Good, Orkes A Hizadin, Akim & The Majistret, Amir Masdi, Exist, АСАВ, Ruffedge, Skudap Skudip, Armpunk Syndicate, Jemson, Airliftz, Yaph, Bunkface dan Senario.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN