JASAD sudah lama pergi, tapi yang dicipta tidak pernah mati. Zaman berganti, ramai yang cuba menjadi klon kedua Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tapi sayang, tetap tiada yang mampu tandingi.
Menjejaki 2024, mereka yang pernah bekerja sezaman dengannya ramai yang telah dipanggil Ilahi. Tiada lagi yang boleh bercerita sisi lain seorang P.Ramlee atau nama penuhnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh di luar layar.
Oleh itu, demi memastikan generasi hari ini mengenali siapakah seorang P.Ramlee, berikut ialah kisah daripada penggiat seni veteran yang berkesempatan duduk, gelak, makan dan bekerja dengannya.
Datuk Fauziah Nawi baru berusia 18 tahun pada waktu itu. Baru sahaja berjinak-jinak dalam industri seni. Ketika itu, pelakon Anakku Sazali itu sedang berada di zaman dipulaukan ramai orang kerana pelbagai cerita tidak benar tentangnya bertebaran.
Kerana dia terlalu muda, Fauziah tidak begitu faham apa yang terjadi. Pada suatu hari, P.Ramlee mempelawanya mengadakan persembahan bersama kugirannya di suatu majlis. Pagi itu, dia datang menjemput Fauziah di Jalan Ampang.
“Dia jumpa bapa dulu, minta izin mahu bawa saya bernyanyi bersama kugiran. Bapa izinkan. Majlis itu seingat saya acara perkahwinan. Kami bernyanyi bersama di atas pentas.
“Tapi maaf, saya sudah lupa lagu apa yang kami nyanyikan sebab sudah terlalu lama. Selepas itu saya turun. P.Ramlee sambung bernyanyi sendirian lagunya bertajuk Di Pinggiran.
“Waktu itu tiada siapa yang pandang dia bernyanyi. Tapi dia senyum sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas pemilik Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM), itu mungkin satu-satunya momen paling dengan arwah sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung.
“Tidak lama selepas itu saya terbang ke Hong Kong. Ketika itulah saya dapat tahu P. Ramlee sudah tiada. Saya terkejut dan sangat sedih. Beliau orang yang baik,” katanya.
Berbeza pula dengan pelakon veteran, Norlia Ghani yang memulakan langkah dalam industri hiburan kerana jasa seorang P.Ramlee. Ketika itu Norlia memasuki pertandingan ratu cantik yang diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada pengarah filem.
Selepas memenangi pertandingan itu, P.Ramlee terus menawarkannya menjalani sesi ujibakat sebelum diberikan kesempatan berlakon dalam filem arahannya Kanchan Tirana pada usia 17 tahun.
“Dia bukan orang yang pemarah, sangat bertentangan dengan pengarah hari ini yang maki hamun, tendang meja atau campak skrip. Paling tidak pun jika arwah terlalu marah, dia akan bangun dan pulang. Mungkin pelakon itu terlalu benak.
“Tapi sebelum itu, dia akan berusaha untuk mengajar. Ada masanya jika pelakon asyik buat salah, dia akan beri masa agar kami berehat sebentar.
“Jika dia gembira atau dapat adegan yang dia mahu, dia ada habit goyangkan kaki.” katanya.
Bukan itu sahaja, jelas Norlia, P.Ramlee banyak memberikan kebebasan kepada pelakon untuk melontarkan skrip sendiri, lebih-lebih pada era 70-an, masih ramai penggiat seni yang tidak boleh membaca.
“Ada pelakon yang tidak boleh baca skrip, jadi dia akan beri arahan mahu emosi dan adegan yang bagaimana. Sebab itu kebanyakan filemnya kelihatan sangat tulen dan jujur kerana dialog itu spontan.
“Bukan itu sahaja, dia juga sangat pemurah. Bukan sahaja belanja makan malah akan bagi kami upah yang tinggi. Saya dapat RM400 semasa penggambaran filem pertama sebagai watak pembantu. Zaman itu, RM400 sudah sangat besar.
“Dia juga rajin menggajikan pelakon tambahan untuk beri wang kepada mereka,” katanya.
Walaupun P. Ramlee sudah tiada, namun Norlia yakin naskah yang dihasilkannya tetap masih malar segar dan menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan.
Allahyarham P.Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929.
Sepanjang hayat, P.Ramlee sudah membintangi 66 buah filem antaranya Penarek Becha, Bujang Lapok, Jangan Tinggal Daku dan Tiga Abdul. Beliau juga telah menghasilkan lebih 350 buah lagu.
Pada 1993, beliau menerima anugerah berprestij Anugerah Seniman Agung Negara oleh Anugerah Seni Negara iaitu penghargaan tertinggi bidang seni.