MESKIPUN terpaksa melepaskan kerjaya sebagai doktor atas faktor kesihatan, ia tidak menghalang pemuda ini untuk berkongsi ilmu yang dimiliki.
Pempengaruh, Dr. Muhammad Hazwan Nazri, 31, berkata, perjuangannya dalam bidang perubatan tidak dapat diteruskan berikutan masalah kemurungan dan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) yang dikesan pada 2018.
“Dua kali saya gagal habiskan housemanship. Kali pertama saya menjadi doktor pelatih, saya mengalami depresi. Kali kedua, saya alami trauma disebabkan pengalaman lalu.
“Saya kemurungan kerana persekitaran. Jadi, saya memutuskan untuk berhenti kerja upaya tidak mengancam nyawa orang lain khususnya pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MANFAATKAN ILMU
Dikenali sebagai Dr. Wan, beliau aktif di media sosial menerusi kandungan mengenai kesihatan dengan memiliki lebih sejuta pengikut.
Baginya media sosial adalah platform cepat dan mudah dalam menyebarkan ilmu kesihatan. Banyak video dikongsinya mendapat tanda suka dan memperoleh jutaan tontonan.
“Saya memanfaatkan ilmu dengan berkongsi pengetahuan berkaitan kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat.
“Walaupun saya tidak lagi berkhidmat dalam dunia perubatan, namun saya tetap menjalankan penyelidikan dan merujuk rakan-rakan yang masih bergelar doktor untuk memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah sahih,” ujarnya.
Melalui pelbagai platform, pemuda ini terus berusaha memberikan inspirasi dan berkongsi pengetahuan kepada mereka yang memerlukan.
Kegigihan beliau membuktikan bahawa perubahan dalam kerjaya tidak semestinya menghalang seseorang daripada terus memberi sumbangan yang bermakna kepada khalayak umum.
SOKONGAN KELUARGA
“Kegagalan tidak bererti kita harus berhenti mencuba,” katanya.
Itulah yang menjadi pegangan hidup buat Hazwan setelah gagal membina kerjaya sebagai doktor.
Menurut Hazwan, keputusan yang diambil bukan sahaja menimbulkan kekecewaan terhadap diri sendiri malah ia turut mengundang pandangan negatif daripada segelintir pihak.
Namun begitu, sokongan moral daripada keluarga memberi kekuatan kepada Hazwan untuk bangkit semula dan mencipta laluan kerjayanya yang baharu.
“Pada mulanya, saya malu dengan orang sekeliling. Lama kelamaan saya rasa tiada apa yang lebih penting daripada keredaan ibu saya. Ibu reda dengan keputusan saya. Isteri dan adik beradik juga menyokong apa sahaja yang saya buat,” katanya.
HASILKAN PRODUK
Mengulas mengenai kerjayanya, Hazwan berkata, setiap kandungan dihasilkan berjaya mendapat perhatian ramai sehingga mencapai jutaan tontonan dan menerima pelbagai maklum balas positif daripada penonton.
Malah, beliau juga sering menerima jemputan ke beberapa program kesihatan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang membantu memperkukuhkan lagi pengaruhnya dalam bidang tersebut.
“Selain diundang memberi ceramah di program kesihatan, saya turut terlibat dengan program televisyen seperti rancangan Helo Doktor dan Family Feud Malaysia yang ditayangkan di saluran TV3 dan Astro Ria.
“Tidak lama lagi, saya juga bakal bekerjasama dengan sebuah universiti tempatan untuk melakukan kajian bagi menghasilkan satu produk kesihatan,” jelasnya.