KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zubir Khan, 24, memaklumkan tidak lagi dibelenggu perasaan kurang keyakinan diri ekoran kecacatan tangannya.
Kata penyanyi lagu Yennode Macha itu, meskipun mengambil tempoh lama, dia bersyukur kerana sudah mampu menerima keadaan itu sebagai satu kelebihan.
“Dulu memang insecure dan selalu sembunyikan keadaan tangan saya.
“Sampailah satu tahap di mana saya memutuskan untuk terima kurniaan Allah ini. Kenapa saya nak burukkan pemberianNya.
“Jadi saya lawan perasaan insecure dan ikut nasihat ibu agar biasakan diri untuk tidak sembunyikan keadaan tangan saya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Zubir beranggapan dirinya masih belum layak diangkat sebagai ikon perpaduan meskipun lagunya berjaya menyatukan pelbagai kaum.
“Saya rasa diri belum layak.
“Tapi saya bangga kerana lagu itu menyatukan masyarakat.
“Sampaikan ada orang Melayu alunkan lagu saya guna alat muzik India. Saya tak sangka perkara itu,” katanya.