Childfree: Anutan songsang, warisan zaman jahiliah

Childfree: Anutan songsang, warisan zaman jahiliah

childfree
ANAK-ANAK adalah rezeki Allah yang terindah untuk ibu bapa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Abdullah Bukhari

“Anak-anak bukan liabiliti atau beban, sebaliknya mereka adalah aset, rezeki dan rahmat. Hanya orang yang tulus suci fitrahnya mampu memahami konsep ini. Kanta mata hati manusia yang sudah tercemar dengan fahaman songsang tidak mampu memahami prinsip ini.”

Manusia hidup perlu bimbingan agama. Tanpa bimbingan agama, logik songsang akan menyelinap masuk ke dalam jiwa sehingga mencacatkan keseimbangan pertimbangan. Lalu yang tembaga disangka emas. Terbaharu, tular pemikiran songsang childfree atau kecenderungan untuk berkahwin tanpa anak kerana risau komitmen kewangan bertambah.

Pemikiran ini sebenar idea kitar semula bawaan syaitan yang pernah wujud dalam kalangan orang Arab jahiliah dahulu kala. Allah merekodkan alasan miskin (al-An’am:151) dan “takut miskin” (al-Israk: 31) menjadi pendorong orang Arab jahiliah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Menakut-nakut manusia sehingga mendorong mereka bakhil dan kejam memang kerja syaitan yang keji (al-Baqarah 2:268).

Bezanya, penganut pemikiran ini tidak pula berhasrat menanam anak mereka hidup-hidup, sebaliknya berazam sejak dari awal perkahwinan untuk merancang keluarga. Hidup biar berdua sampai tua kerana kelahiran anak-anak akan meningkatkan kos sara hidup. Matematik mereka kelihatan logik, namun matematik Allah Tuhan yang Memberi rezeki jauh lebih maju dan tepat.

Berkahwin dan melahirkan zuriat antara saranan utama agama. Ia satu nikmat kurniaan Allah yang sangat besar. Firman Allah yang bermaksud: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (al-Nahl:72)

Anak-anak ialah rezeki Allah yang terindah untuk ibu bapa. Itu pesanan Nabi Nuh a.s kepada kaumnya (Nuh:10-12). Jika anak-anak bukan rezeki, masakan para nabi a.s sangat berharap agar mereka dikurniakan anak? Nabi Ibrahim a.s pasrah berdoa agar dikurniakan anak.
Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar (al-Saffat:100-101).

Baginda a.s melonjak syukur ketika dikurniakan anak pada usia tua. Firman Allah yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. (Ibrahim: 39)

Nabi Zakaria a.s turut pasrah berdoa agar dikurnia anak sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik Yang Mewarisi”. (al-Anbiya’: 89)

Pemikiran penganut childfree perlu diperbetulkan semula. Mereka perlu sedar, hidup bukan hanya di dunia bahkan berlanjutan sehingga akhirat. Nabi SAW menegaskan akhirat ialah kehidupan sebenar. Ia dijelaskan dalam sabda baginda yang bermaksud: Ya Allah! Kehidupan sebenar ialah kehidupan akhirat! Ampunkan dosa golongan Ansar dan Muhajirin!” (Sahih al-Bukhari, 2834).

Ucapan Nabi SAW itu muncul ketika melihat kesusahan para sahabat menggali parit pada pagi yang sangat sejuk di Madinah dahulu sebagai langkah pertahanan kerana tentera bersekutu mahu menggempur dan melanyak Madinah.

Sabda baginda itu jelas menunjukkan sudut pandang orang Islam sangat berbeza daripada orang bukan Islam. Orang Islam hidup untuk dunia dan lebih-lebih akhirat. Kaya akhirat pula banyak dibantu dengan zuriat keturunan yang soleh. Antara kesusahan hidup di dunia ialah mendidik serta membesarkan anak. Walaupun sukar, kemanisan ibu bapa yang membesarkan anak-anak sudah dapat dikecap di dunia lagi.

Lihat sahaja berapa banyak kualiti kewangan keluarga yang miskin berubah setelah anak-anak berjaya dalam pelajaran dan mampu melepaskan rantai kemiskinan yang sudah sekian lama membelenggu keluarga.

Bahkan keringat ibu bapa kerana kerja keras menyara anak pinak diumpamakan pahalanya seperti berjihad pada jalan Allah. Pernah suatu hari para sahabat melihat seorang lelaki yang terpapar jelas kesan kerja keras pada tubuh dan raut wajahnya.

Nabi SAW segera memugar minda para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika seseorang itu keluar berkerja demi menyara anaknya yang kecil, keluar demi menyara kedua ibu bapanya yang tua atau keluar demi menyara dirinya untuk mengelakkan dirinya daripada mengemis kepada sesiapa maka (semua itu) ia adalah suatu perjuangan pada jalan Allah (al-Mu’jam al-Awsat Imam al-Tabrani).

Ibu bapa yang memiliki anak soleh juga beruntung kerana masih punyai akaun pahala walaupun selepas mereka melangkah masuk ke pintu awal akhirat, di alam barzakh.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang sentiasa berjalan pahalanya), ilmu yng diambil manafaat daripadanya atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya (Sahih Muslim, 1631).

Hadis ini dikukuhkan pula dengan hadis lain yang menyebabkan si ibu bapa terkecur mulut mahukan anak yang soleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya seorang lelaki (dan wanita) akan diangkat darjatnya dalam syurga. (Berikutan itu) dia akan bertanya Allah “Bagaimana mungkin aku dapat peningkatan ini?” Lalu dikatakan padanya “Ini adalah kerana (berkat) doa pengampunan untukmu oleh anakmu (yang soleh) (Sunan Ibn Majah, 3660).

Bagi golongan yang terkhilaf menganut pemikiran childfree, anda belum terlambat untuk berubah dan kembali kepada fitrah sebenar di sebalik sebuah perkahwinan.

Perkahwinan yang anda ceburi itu sudah menjadi satu kunci ke gerbang syurga. Lalu lengkapkan nikmat itu dengan niat melahirkan zuriat agar kebahagiaan sebenar anda kecapi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak (al-Tur: 21).

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar
Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN