Mula jual susu di pasar malam sehingga rekod jualan ratusan

Mula jual susu di pasar malam sehingga rekod jualan ratusan juta ringgit

Azmi Zainal turut dikenali sebagai ‘bos susu’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEMOOOOOANYA baik”.

Itu tanda dagang jenama susu terkenal yang sering dilaungkan oleh Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn. Bhd., Azmi Zainal, 58, yang lebih dikenali sebagai ‘bos susu’.

Keletahnya bersahaja setiap kali muncul bersiaran di pentas rancangan realiti Gegar Vaganza (GV) sejak musim keenam.

Sedar tidak sedar, sudah lebih enam musim pengeluar produk tenusu tempatan ini menaja rancangan hiburan popular terbitan Astro itu.

Namun, di sebalik keceriaan dan sikap sempoi lelaki ini, beliau sebenarnya mempunyai wawasan yang jelas dalam perniagaan.

Sikap ketegasan dalam menguruskan perniagaan jelas terpancar di raut wajah lelaki ini yang mahu memastikan semua ejen jualan bergerak aktif.

“Waktu bekerja saya memang seorang yang serius. Saya ini adalah individu yang mementingkan result-oriented, saya mahu melihat hasil.

“Dalam masa sama, saya memang suka melatih individu bagi memastikan mereka berjaya mencapai sesuatu sasaran,” kongsinya secara eksklusif kepada Utusan Malaysia di ladang ternakan Farm Fresh di Serdang, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Azmi berkata, setiap teguran yang diberikan kepada pekerja bawahan adalah tanda sayang kerana mahu menunjukkan jalan serta cara yang betul.

“Kita bukan hendak kerah mereka, tetapi ‘canaikan’ mereka sebab melihat ada potensi dalam diri seseorang.

“Mereka perlu dibimbing tentang bagaimana cara bekerja yang efektif. Mereka perlu sentiasa belajar benda baharu supaya akhirnya dapat menjadi pekerja yang berkualiti. Bila buat sesuatu, perlu bersungguh-sungguh.

“Kalau saya sudah tidak tegur seseorang, itu yang sepatutnya mereka (pekerja) perlu risaukan. Bebel ini tanda sayang,” katanya yang mempunyai dua anak.

JUAL SUSU DI PASAR MALAM

Sering memberikan kata-kata motivasi, lelaki ini juga tidak segan silu berkongsi pengalamannya pernah menjual susu di pasar malam.

Kongsinya, pernah juga stok susu Farm Fresh dihantar ke seluruh negara hanya menggunakan bas ekspres sahaja.

Walaupun sebagai COO Farm Fresh, beliau sendiri melakukan jualan di kedai-kedai runcit ketika mula-mula berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Saya pernah menjual susu di pasar malam dan pasar tani. Kesusahan yang dialami ketika itu, sedikitpun tidak mematahkan semangat.

“Walaupun pernah diperlekehkan oleh orang sekeliling, saya tetap berusaha siang ke malam, pagi ke petang demi mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

HALA TUJU FARM FRESH

Susu Farm Fresh dimiliki oleh syarikat The Holstein Milk milik anak jati Malaysia, iaitu Loi Tuan Ee bersama beberapa pemegang saham termasuk Azmi yang dipertanggungjawabkan mengawal selia operasi syarikat.

Bermula dengan 60 ekor lembu dan membeli susu dari penternak, bos susu bersama rakan niaganya, Tuan Ee selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berjaya merekodkan jualan sebanyak RM630 juta, tahun lalu.

Farm Fresh beroperasi dengan enam ladang tenusu dan tiga fasiliti pemprosesan di Malaysia dan Australia dengan jumlah keluasan ladang sebesar 5,416 ekar dengan saiz ternakan berjumlah 10,309 ekor lembu betina dan jantan.

Jenama susu segar yang bertapak sejak 2009 ini, menyasarkan pembeli daripada pelbagai segmen masyarakat termasuk golongan ibu bapa dan kanak-kanak.

Jelasnya, pelbagai program semakin giat dilaksanakan kerana menyedari mereka adalah golongan sasar yang paling penting mendapat pendedahan mengenai khasiat susu.

“Kolaborasi dengan pihak tadika adalah sebuah program berterusan kerana kita mahu memberikan kesedaran tentang kepentingan minum susu sejak awal.

“Kita juga giat memberikan penerangan mengenai perbezaan susu tepung di Farm Fresh dengan jenama susu lain di pasaran.

“Ia penting bagi mengatasi isu tumbesaran serta masalah kanak-kanak bantut akibat pemakanan kurang nutrisi. Sebab itu, kita perlu mengetahui kandungan susu, contohnya seperti maltodekstrin,” jelasnya.

2024 ternyata tuah buat Farm Fresh apabila pihak syarikat mengambil langkah berani memasuki segmen perniagaan aiskrim.

Jelasnya, pembinaan kilang yang dijangka siap di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, hujung tahun ini, bakal menawarkan 200 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Peluang pekerjaan selalunya menuntut orang ramai berhijrah ke bandar. Sedangkan, realitinya, kehidupan di bandar lebih sukar berbanding di luar bandar.

“Apa yang kita buat adalah menawarkan peluang pekerjaan di luar bandar. Contohnya, kilang terbesar kita di Bandar Muadzam Shah mempunyai seramai 400 staf, dengan 90 peratus daripadanya diisi oleh pekerja tempatan.

“Namun, cabaran melatih pekerja luar bandar adalah daripada segi mentaliti dan disiplin. Kalau di luar bandar, mereka tak datang kerja, masih boleh balik dan makan di rumah sebab ada ibu dan bapa lagi,” katanya.

Ditebak adakah boikot jenama dan barangan tertentu ketika isu serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza memuncak, katanya, ia tidak memberikan kesan signifikan secara langsung.

“Bagi saya, jenama susu tidak banyak terjejas. Sedangkan, kita tahu ada produk yang secara terang-terangan menyokong Israel.

“Persaingan dengan jenama lain berjalan seperti biasa. Takdelah jenama lain diboikot, bermakna kami dapat kelebihan tersebut,” selorohnya.
Farm Fresh kini ditunjangi lebih 1,000 staf yang mengisi ruang pekerjaan di bahagian perkilangan, pemasaran, pentadbiran, kewangan dan sumber manusia.

Farm Fresh sudah memperkenalkan 147 jumlah produk di bawah pelbagai jenama termasuk Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones, Yarra Farm, Yarra by Farm Fresh dan Nubian Goat’s Milk.

Susu rumusan sedia diminum, Farm Fresh Grow pula adalah susu yang dirumus khas untuk anak-anak yang sedang membesar.

Ia diperbuat dengan susu lembu asli dan diperkaya dengan khasiat yang diperlukan untuk tumbesaran anak-anak, tanpa tambahan bahan yang biasa ditemui seperti maltodekstrin, minyak sayuran dan kalsium karbonat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya