MINGGU ini dibuka dengan berita baik pelakon Atikah Suhaime yang telah pun sah bergelar isteri kepada usahawan produk penjagaan diri Zaitun bernama Datuk Lokman.
Walaupun Atikah berasal dari Singapura, namun mereka membuat keputusan berkahwin di Kuala Lumpur kerana nenek Lokman sedang tidak sihat.
Gigihlah kami para wartawan duduk di sebuah kafe berebut mencari line internet kerana majlis persandingan ditayangkan secara langsung di aplikasi TikTok Zaitun. Maklumkan, Atikah adalah duta jenama produk tersebut.
Pada majlis yang berlangsung pada Ahad, pelakon itu menyarungkan busana putih dengan taburan bunga merah jambu sangat manis dan anggun bersanding di sisi suami. Sangat cantik dan sempat menjadi bahan bualan di media sosial.
Tiba-tiba teringat zaman Atikah muat naik baju pengantin ketika perkahwinannya dibatalkan dengan seorang penyanyi pada tahun 2019 dulu. Sayu betul tengok Instastory Atikah dulu. Tapi kini semuanya sudah berlalu dan masing-masing gembira dengan cara tersendiri.
Apa yang menarik, Atikah jujur menceritakan pada awalnya dia menyukai Lokman kerana usahawan itu kaya dan kacak. Tapi lama-kelamaan, pelakon Lagenda Budak Hostel itu sedar kalau harta sahaja tidak membawa kemana.
Namun dia mula jatuh hati melihat sikap Lokman yang tidak malu untuk mengunjungi rumah flat keluarganya di Singapura selain rajin bersedekah. Begitulah kisah percintaan mereka, sudah ala-ala filem Cinderella di dunia nyata.
Sekolah buang masa
Selepas tular cerita Atikah Suhaime, video temu bual podcast antara beberapa pempengaruh muda media sosial juga mencuri tumpuan kerana secara terbuka mengatakan sesi persekolahan seperti membuang masa.
Ini bukan kali pertama perbincangan ke arah itu menjadi viral. Sebelum ini penyanyi, As’ad Motawh juga dikecam kerana mempunyai pandangan demikian walaupun dia menegaskan itu hanyalah pendapat peribadinya semata-mata.
Tidak mahu generasi muda terikut-ikut dengan cara berfikir berkenaan, penyanyi, Naim Daniel menegaskan apa-apa jenis pekerjaan pasti bermula dari pembelajaran di sekolah. Hanya orang yang malas sahaja tidak mahu ke sekolah.
Geram dengan siri podcast yang mengupas tentang isu yang dianggap merepek, penyanyi itu beranggapan pempengaruh sengaja melakukan demikian hanya untuk meraih populariti.
Sebelum Naim, pengacara Hazeman Huzir juga sempat menempelak pandangan berkenaan. Dia turut mencabar mana-mana usahawan yang buat duit kerana media sosial untuk mengambil akauntan yang tidak mempunyai kelulusan jika benar sijil persekolahan tidak penting seperti yang digembar-gemburkan.
Lagi adegan soft porn
Sudah surut isu tak mahu pergi sekolah, kita dikejutkan lagi dengan adegan ‘soft porn’ lakonan produksi tempatan. Rasanya macam setiap bulan pula isu ini timbul. Seolah-olah makin banyak pula yang berani bereksperimentasi dengan adegan seksualiti.
Selepas tular video babak Afieq Shazwan buka zip baju, minggu ini, pelakon Shukri Yahaya pula mencuri tumpuan kerana adegannya menari tangan pelakon Alya Iman ketika dirinya sedang mandi.
Shukri Yahaya bagaimanapun meminta maaf jika ada pihak yang tidak selesa. Dia cuma teruja berlakon drama arahan Eyra Rahman yang juga pengarah yang sama untuk drama Syurga Itu Bukan Mudah.
Bila diperiksa, drama itu juga pernah tular bulan lalu apabila mempunyai adegan soft porn bawah meja membabitkan pelakon Amir Ahnaf.