Gen Z tua sebelum usia?

Gen Z tua sebelum usia?

Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), namun gaya serta lagak tidak ubah seperti berumur 30-an ke atas.

Sampaikan sukar untuk mempercayai mereka itu adalah kelompok gen Z yang berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Bukan sahaja berpenampilan dewasa, malah sikap dan pembawaan golongan itu juga matang.

Justeru, tidak hairanlah apabila ramai yang mendakwa mereka nampak lebih tua berbanding generasi sebelumnya iaitu milenial.

Pakar perubatan estetik, Dr. Aidil Azry Mokhtar berkata, proses penuaan dalam kalangan gen Z boleh berlaku dengan sangat pantas jika seseorang bersolek keterlaluan atau berlebihan.

Sedangkan, sebagai remaja, solekan seharusnya dipakai secara nipis bagi menyerlahkan kecantikan semulajadi wajah.

“Gen Z tidak sesuai bermekap tebal kerana boleh menampakkan mereka tua daripada usia sebenar.

“Produk-produk kosmetik mengandungi bahan kimia dan jika digunakan secara berlebihan setiap hari, akhirnya akan menyebabkan kulit tidak sihat sekali gus mengundang kedutan, bintik gelap, jeragat serta pigmentasi dengan lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Aidil Azry Mokhtar

Beliau yang juga pengasas Klinik Idealyst & Medispa berkata, faktor lain yang menyebabkan gen Z nampak tua ialah penggunaan produk penjagaan wajah yang tidak teratur atau sesuai dan kandungan bahan aktif yang tidak betul di samping amalan gaya hidup.

Walaupun segelintir gen Z memiliki pemahaman mendalam tentang produk penjagaan wajah, namun ada juga yang mudah terikut-ikut untuk mencuba produk tertentu apabila melihat kesan positif yang dialami orang lain.

“Bukan semua produk sesuai untuk digunakan lebih-lebih bagi mereka yang berkulit sensitif dan ekzema kerana iritasi akan menyebabkan kulit jadi kemerahan, pedih, merekah serta sangat kering,” katanya.

Terdahulu, kecoh di laman TikTok memperkatakan isu penuaan drastik gen Z dan antara yang terkesan dengannya adalah pempengaruh antarabangsa, Jordan Howleet.

Biarpun berumur 27 tahun, tetapi pemuda dari Amerika Syarikat (AS) itu sering disalah anggap sudah melebihi 40an.

Bahkan, Howleet pernah disangka ‘abang’ kepada ibunya ketika mereka keluar bersama disebabkan wajah dan penampilannya yang nampak berusia.
Pengaruh media sosial, idola

Mengulas lanjut Aidil Azry berkata, kecenderungan gen Z menjaga penampilan diri dan kecantikan secara berlebihan adalah disebabkan pengaruh media sosial.

“Mereka sudah terdedah dengan Instagram dan TikTok sejak kecil, maka untuk memastikan kandungan masing-masing jadi perhatian, pastinya setiap inci penampilan perlu dijaga.

“Selain itu, mereka juga ada idola dalam kalangan selebriti atau pempengaruh di media sosial dan sentiasa mahu menjadi seperti individu itu dari segi penampilan, gaya, tindak-tanduk serta kulit wajah,” katanya.

Beliau mengakui segelintir gen Z sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu tampil cantik dan kacak seperti idola mereka.

Malah, ada yang sanggup mencuba pelbagai rawatan wajah termasuk berkaitan anti penuaan kerana terpengaruh dengan idola masing-masing.
Situasi itu tidak seharusnya dinormalisasikan kerana hanya akan mengundang tekanan kepada diri remaja dan keluarga.

Jika tidak dikawal, golongan itu berisiko mengalami depresi dan anxiety di samping perubahan tingkah laku lain termasuk memberontak kerana tidak mampu menghadapi tekanan media sosial untuk tampil cantik seperti orang lain.


Produk selebriti

Kalangan gen Z berlumba-lumba mahu mendapatkan produk kosmetik dan penjagaan wajah yang dikeluarkan selebriti dan pempengaruh antarabangsa hingga kesemuanya laris di pasaran.

Aidil Azry meminta golongan itu agar tidak terpengaruh untuk membelinya, apatah lagi harganya juga tinggi.

“Walaupun dikatakan memiliki formulasi khas dan dapat sambutan hangat di seluruh dunia, tetapi produk itu bukan tonik yang menjadikan selebriti tiba-tiba jadi makin cantik.

“Sebaliknya, ada banyak bukti-bukti dikeluarkan yang transformasi wajah selebriti antarabangsa adalah kerana faktor pembedahan, oleh itu, gen z perlu sentiasa berpada-pada untuk tampil cantik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya