Pengeluaran kutu air bersih tingkat kualiti industri akuakultur

Pengeluaran kutu air bersih tingkat kualiti industri akuakultur

HANAN Mohd. Yusof menunjukkan Moina sp. yang diternak dan sedia untuk dituai ketika ditemui Utusan Malaysia di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Jelebu baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri akuakultur negara khususnya di peringkat pembenihan ikan mahupun udang memerlukan makanan hidup sebagai sumber awal makanan bagi memastikan benih ikan dihasilkan berkualiti dan sihat.

Secara tradisionalnya, Artemia spp. merupakan makanan yang digunakan dalam pembenihan ikan namun kebergantungan terhadap Artemia spp. yang diimport dari Amerika Syarikat itu telah menyebabkan permintaan terhadapnya sentiasa tinggi.

Ia sekali gus menyebabkan harganya turut meningkat dan keadaan tersebut menyebabkan ramai pengusaha khususnya bagi spesies ikan air tawar beralih kepada sumber alternatif iaitu Moina sp.

Disebut juga sebagai kutu air, Moina sp. bagaimanapun seringkali diperoleh dari sumber tidak bersih seperti kolam kumbahan dan parit-parit kotor.

Ia berlaku ekoran ketiadaan industri pengeluaran makanan hidup di negara ini, jika ada sekali pun ia masih tidak cukup bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Penggunaan kutu air liar tersebut sememangnya mendatangkan risiko kepada aktiviti pengeluaran benih ikan ekoran persekitaran kotor tersebut mendedahkan ia kepada penyakit.

Menyedari isu tersebut, pihak Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi di Jelebu mengambil peranan dan telah membangunkan teknologi penternakan kutu air ini secara intensif dan bersih sejak tahun 2016.

Kemudahan yang disediakan untuk tujuan itu antaranya termasuklah menerusi sebuah makmal makanan hidup, kemudahan ternakan Moina sp. secara separa terbuka di dalam tangki fiber dan secara terbuka di dalam tangki bersimen.

Pegawai Penyelidik IPP Glami Lemi, Hanan Mohd. Yusof berkata, Moina bersih memang sesuai dijadikan makanan kepada benih ikan dan udang kerana bebas risiko bawaan penyakit seperti patogen.

“Sebenarnya Moina sp. sudah lama digunakan namun sumbernya dari kolam-kolam kumbahan. Kami bangunkan supaya ia menjadi produk yang konsisten dan bersih selain untuk dikomersialkan.

“Ketika ini sudah ada juga pengusaha yang menghasilkan Monia sp secara kecil-kecilan dan mula mendapat sambutan menggalakkan.

“Ia juga sesuai untuk benih ikan air masin, ada pengusaha pembenihan ikan kerapu dan siakap di Setiawan, Perak yang turut belajar dengan kami untuk menghasilkan Moina bersih ini, sekarang ini dia telah menggunakan sepenuhnya Moina sp sebagai makanan benih-benih ikan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

KURANGKAN KOS PENTERNAKAN

Penggantian penggunaan Artemia spp. dengan Moina sp. juga dapat mengurangkan kos penternakan benih ikan sehingga 60 peratus.

“Selama ini mereka menggunakan Artemia yang diimport dari luar negara khususnya dari Amerika Syarikat, harganya sekarang sudah meningkat mencecah sehingga RM500 bagi setiap tin 425 gram.

“Oleh itu Moina sp. atau kutu air ini merupakan alternatif malah penghasilannya dapat mengurangkan kos penternakan sehingga 60 peratus,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Hanan memberitahu, Moina bersih mengandungi kandungan sehingga 62 peratus protein kasar dan lemak baik yang sesuai bagi keperluan tumbesaran dan kesihatan benih ikan sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluarannya.

Jelasnya, untuk menghasilkan Moina bersih, stok pemulanya perlu disediakan bersama alga hijau yang merupakan makanannya.

“Alga hijau ini adalah makanan asas kepada Moina, di makmal yang kami bangunkan kami kaji spesies alga hijau yang sesuai dengan Moina ini, bukan semuanya sesuai, kemudian kami telah dapat tiga spesies utama untuk tujuan perkembangan Moina.

“Seterusnya, tangki atau kolam penternakan disediakan bersama air terawat dan dibaja menggunakan formulasi dari sumber bahan yang bersih sebelum dimasukkan Moina sp pemula dan alga hijau dan populasi Moina sp. akan berkembang dengan banyak bermula hari ketujuh boleh dituai kemudiannya,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 1.2 kilogram Moina bersih mampu dihasilkan bagi setiap tan metrik air yang digunakan.

Tambah Hanan, sehubungan itu pengusaha pusat penetasan khasnya untuk ikan air tawar seperti keli, patin baung, kelah dan patin buah amat digalakkan untuk menggunakan Moina bersihini sebagai makanan benih-benih ikan mereka.

“Bagi menggalakkan lebih banyak penggunaan Moina bersih di negara ini, pihak Jabatan Perikanan Malaysia turut menyediakan kursus berjadual kepada pengusaha penternakan benih ikan yang berminat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya