Keychain murid keluar masuk menang anugerah

Keychain murid keluar masuk menang anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBANDING amalan biasa, murid di asrama sekolah perlu mencatat nama pada buku log di pondok keselamatan setiap kali mahu keluar (outing) pada hujung minggu bagi tujuan rekod pergerakan.

Namun, kreativiti sekumpulan murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba di Masjid Tanah, Melaka berjaya mengubah amalan tradisional itu.

Idea inovasi dinamakan Wau RFID Keychain itu hanya memerlukan murid menyentuh rantai kunci
pada peranti setiap kali ingin keluar dan masuk ke asrama atau sekolah.

Sistem itu bukan sahaja memberi nafas baharu dalam sistem pengurusan asrama sekolah malah, lebih selamat bagi mengesan pergerakan keluar dan masuk murid sekali gus memanfaatkan teknologi digital.

Idea luar biasa itu dihasilkan tiga pelajar tingkatan tiga SMK Ghafar Baba iaitu Muhammad Ridhanni Aidid Rudyharrif, Lee Wei He dan Siddharrthen Rajakumar dibantu guru pembimbing mereka,
Suhanna Zainudin.

Lebih mengujakan idea inovasi itu dinobatkan juara bagi kategori Idea Inovasi Terbaik dalam TM Future Skills (TMFS) Tech Titans Challenge 2023, berlangsung di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya baru-baru ini.

Kemenangan kumpulan yang diberi nama Techno Geeks itu membolehkan mereka membawa pulang
wang tunai RM5,000, lawatan industri, sijil dan piala.

Sementara itu, Suhanna berkata, produk dihasilkan itu turut dilengkapi sistem perkhidmatan perbankan dan Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya selain mampu mengesan lokasi dan kedudukan semasa pelajar.

“Menerusi produk ini, ia dapat mengurangkan risiko pelajar daripada menjadi mangsa penculikan.
Ia juga dapat membantu meringankan beban warden asrama kerana mereka boleh memantau pergerakan murid secara masa sebenar (realtime),” katanya.

CUNGKIL INOVASI
Wau RFID Keychain adalah antara idea baharu berjaya dicungkil daripada Program TM Future Skills Tech Titans Challenge 2023 anjuran Yayasan TM dan Creative Minds yang membabitkan penyertaan 25 buah sekolah terpilih dari seluruh negara.

Program selama tiga hari bermula 19 November lalu itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM30,000, tajaan Yayasan Telekom Malaysia (TM).

Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan TM, Sarinah Abu Bakar berkata, inisiatif pendidikan digital oleh Yayasan TM ini telah dimulakan sejak 2016 lagi sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebelum kesemua program itu diletakkan di bawah TM Future Skills sejak 2020.

“Ia bukan
sahaja berperanan memupuk minat, bahkan menjadi landasan buat pelajar dan guru mencungkil bakat inovasi seterusnya berpeluang menerima pengiktirafan dalam setiap pencapaian,” katanya.

Konsep yang dibawakan untuk TMFS Tech Titans Challenge ini berbentuk sebuah kem inovasi yang
memberi pendedahan kepada pelajar dan guru kepada proses pembentukan idea sehinggalah kepada penghasilan projek inovasi.

Yayasan turut berhasrat melahirkan pelajar yang bukan hanya mahir dalam teknologi tetapi juga kreatif dan inovatif, memiliki daya penyelesaian masalah, sentiasa bersemangat memperkembangkan
kemahiran dan bercita-cita tinggi.

Sementara itu, Yayasan TM telah menaja lebih daripada 18,000 pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian mereka di sekolah-sekolah kerajaan dan universiti-universiti di Malaysia dan di luar negara, dengan nilai penajaan keseluruhan hampir RM616 juta.

Selain pembiayaan pelajaran, YTM turut menjalankan program-program khususnya bagi pelajar sekolah dan guru-guru seperti program pensijilan, sekolah angkat dan hackathon. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN