KESUNGGUHAN Masjid Taman Temerloh Jaya (MTJ), Pahang mengimarahkan rumah Allah sehingga kehadiran jemaah setiap waktu solat melimpah ruah, bukanlah ‘tuah’, semata-mata sebaliknya ia menuntut perancangan yang rapi.
Pengerusinya, Dr. Abdullah Ismail berkata, sejak tular jemaah subuh masjid berkenaan ramai bagaikan
solat Jumaat, empat tahun lalu, jumlah pengunjung ke situ mencatatkan peningkatan.
Katanya usaha berkenaan berjaya direalisasikan menerusi Pelan Transformasi Masjid dengan mengasaskan Pelan Strategik Masjid 2016 hingga 2023.
“Agenda solat Subuh berjemaah merupakan teras daripada keseluruhan sembilan perkara yang
digariskan.
“Pihak masjid turut mengedarkan buletin ke setiap rumah secara berkala serta hebahan melalui media
sosial yang kandungannya memberitahu betapa besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang hadir berjemaah khususnya ketika Subuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
MTJ atau nama penuhnya Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTJ), Temerloh, Pahang, sehingga kini, kekal ‘meriah’ dan menjadi destinasi lawatan pengunjung dari seluruh negara yang mahu menyaksikan sendiri kesungguhan pihak masjid menyantuni ahli kariah.
Abdullah berkata, pendekatan lain yang dilakukan adalah menerusi polisi ‘mesra jemaah’ dengan membina hubungan baik antara ahli jawatankuasa (AJK), pegawai dan jemaah masjid.
“Kita mahu ahli kariah merasakan solat berjemaah ini adalah agenda semua pihak. Disebabkan itu, masing-masing akan berkeinginan untuk menyumbang pada kejayaan masjid. Lalu terciptalah moto kami, ‘Masjid TJ, Masjid Kita.
“Perkara yang lebih penting adalah peranan jemaah itu sendiri. Merekalah yang akan menjadi ‘penyambut tetamu’ kepada jemaah baharu yang menyertai saf solat Subuh sekaligus menjadikan kehadiran ke masjid sebagai satu keseronokan,” jelasnya.
DEKATI ORANG MUDA
Begitupun, mengekalkan prestasi sebagai Masjid Terbaik Malaysia 2020 dan memegang rekod solat subuh seperti solat Jumaat dikekalkan, antara cabaran perlu diharungi pihak pengurusan.
Kata Abdullah untuk itu, jemaah perlu dikekalkan semangat dan momentum serta memastikan solat berjemaah di masjid menjadi budaya penduduk.
“Kempen yang dibuat dahulu masih diteruskan dengan menyuntik beberapa nilai tambah, antaranya, minggu pertama dalam setiap bulan kita anjurkan jamuan perdana. Kita sediakan 11 kambing yang secara tak langsung menarik kehadiran lebih 600 jemaah,” katanya.
Pihak masjid turut berusaha mendekati golongan muda dengan menjadikan sekolah sekitar Temerloh Jaya sebagai rakan strategik.
Katanya, beliau sering diberi ruang menyampaikan motivasi di perhimpunan sekolah sekali gus menggunakan peluang itu untuk menyeru pelajar menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka.
“Pihak masjid turut menyediakan ruang bagi aktiviti pembelajaran, seminar serta kelas tambahan pada waktu malam bagi memudahkan golongan pelajar dan guru,” katanya.
IMARAH RAMADAN
Masjid ditunjangi empat imam dan tiga bilal ini menampilkan variasi bacaan berbeza dan kemantapan suara dan tempo bacaan sederhana yang menjadikan suasana lebih harmoni dan mendamaikan.
Seramai 12 AJK terdiri daripada pelbagai latar belakang pula adalah anggota tetap yang memenuhkan ruang solat berjemaah di masjid dan bukan sekadar memegang jawatan semata-mata.
Berbaki tiga bulan menjelang Ramadan, Abdullah berkata, pihak masjid sudah mengaturkan
pelbagai aktiviti sepanjang bulan mulia itu.
Antaranya menjadikan masjid hidup sepenuhnya 24 jam dengan pesta ibadah.
Kawasan foyer ala dataran Madinah bukan sahaja selesa untuk bersolat, tetapi sebagai kawasan istirehat dan menjalani aktiviti lain.
“Sewaktu berbuka puasa, pihak masjid menyediakan meja khas untuk menjemput individu dan organisasi terpilih termasuk bukan Islam bersama-sama memeriahkan acara.
“Malah platform media sosial dan van bergerak akan terus digunakan sebagai alat hebahan aktiviti masjid,” kata Abdullah. -UTUSAN