SABAN hari, dia meninggalkan rumah seawal jam 3.30 pagi untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pemandu monorel.
Tatkala masih ramai yang lena dibuai mimpi, Fara Umira Abd. Halim sudah pun memulakan perjalanan sejauh 30 kilometer (km) dari kediamannya di Rawang, Selangor menuju ke Brickfields, Kuala Lumpur untuk memulakan tugas.
Seawal jam 4.30 pagi, ibu kepada seorang anak itu sudah pun berada di depo dan bersiap sedia menghidupkan enjin monorel bagi menyambut kedatangan penumpang yang menuju ke pelbagai destinasi.
Itulah rutin harian Fara tatkala bekerja di syif pagi selama hampir lima tahun bekerja sebagai pemandu monorel atau panggilan rasminya, Pegawai Transit.
Pembabitan wanita kecil molek ini dalam kerjaya berkenaan bermula dengan tidak disangka.
“Tidak pernah terlintas di benak saya untuk terjun ke dalam bidang ini sebagai pemandu monorel.
“Pada awalnya saya menyangkakan tawaran iklan kekosongan jawatan pegawai transit yang dilihat di Facebook itu adalah ‘kerja pejabat’.
“Namun, ketika sesi temubual, saya diberitahu bahawa jawatan yang dipohon itu adalah sebagai pemandu monorel atau panggilan rasminya, Pegawai Transit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebetulnya Fara menerima tawaran kerja berkenaan lantaran rasa tercabar bila penemuramah bertanya kepada dirinya mengenai apa
benda paling berat pernah beliau saya angkat dan adakah dirinya takut gelap atau semak?
Malah ketika itu Fara turut diberitahu kemungkinan dirinya akan jadi wanita pertama dan satu-satunya pegawai transit wanita
sekiranya diterima bekerja.
“Jadi, saya fikir mengapa tidak saya mencuba sesuatu lain dari yang lain,” katanya.
Keputusannya itu turut mencabar dirinya untuk membuktikan kebolehan dalam bidang didominasi lelaki.
PILIHAN TEPAT
Fara yang kini berusia 30 tahun mengakui pilihannya itu tepat sementelah merasa selesa dengan kerjayanya itu pada ketika ini.
Walaupun dikelilingi dengan rakan sekerja lelaki, namun anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menghadapi sebarang masalah serta tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.
“Saya tiada masalah dengan rakan sekerja yang lain walaupun berlainan jantina, kerana mereka melayan saya dengan baik, malah tiada
sebarang diskriminasi.
“Kadangkala orang sekeliling saya juga ada bertanya tiada gangguan seksual ke dan sebagainya, sejujurnya tiada. Semua orang profesional dan komited melaksanakan tugas masingmasing,” katanya yang merancang mahu kekal bersama syarikat itu dalam jangka masa panjang.
Biarpun ada rasa gentar ketika mula-mula memandu monorel, perasaan takut itu dapat diatasi dengan sokongan daripada rakan-rakan sekerjanya.
“Latihan selama tiga bulan di Akademi Prasarana turut memainkan peranan penting dalam mempersiapkan diri saya sebelum menjalankan
tugas,” ujarnya.
Jika dilihat dari segi fizikal, orangnya pun kecil molek sahaja. Mungkin ramai yang tidak yakin akan kebolehan dan
kemampuannya.
Namun, alah bisa tegal biasa. Segala ilmu yang dipelajari sejak awal disemat di dada supaya dapat menjalankan tugas harian
dengan baik.
Demi mencari rezeki yang halal, perasaan takut dan was-was itu cuba dipadamkan sedikit demi sedikit.
Apatah lagi, pekerjaannya itu melibatkan perkhidmatan untuk orang awam yang menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke pelbagai destinasi setiap hari.
Kini, Fara tidak lagi keseorangan setelah seorang lagi pemandu wanita turut diterima bekerja setahun selepasnya.
Cabaran seorang pemandu
TUGAS hakikinya adalah untuk memastikan penumpang sampai ke destinasi dengan segera dan selamat.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Kadangkala ada rintangan dan dugaan perlu dilalui saban hari terutamanya jika
berhadapan situasi kecemasan seperti tren tergendala.
“Ada masanya tren mengalami kegagalan atau failure dan ketika itu pemandu perlu berhubung dengan pusat kawalan dan menggunakan
kecekapan yang ada untuk menyelamatkan situasi.
“Namun, kadangkala ia agak mencemaskan apabila penumpang mula hilang sabar dan ketuk-ketuk pintu pemandu. Sebagai
seorang perempuan, sudah tentu rasa panik tetapi inilah dugaan kerja saya,” kongsinya.
Bagaimanapun, beliau sentiasa memberikan tumpuan dan fokus yang penuh kerana merasakan ia sebagai tanggung jawab yang
besar untuk menghantar penumpang ke destinasi mereka
Berperang dengan masa
BIARPUN selesa dan gembira dengan kerjayanya itu,
kata Fara, sejak melahirkan cahayamata pertama tiga tahun lalu, dia menghadapi cabaran dalam menguruskan
masa.
Sementelah, tuntutan kerjanya mengikut syif harian yang mana paling awal bermula jam 4.30 pagi sehingga 2.30 petang manakala
syif petang bermula jam 2.30 petang sehingga 12.30 malam.
Kadangkala terdapat juga tuntutan kerja lebih masa jika diperlukan.
“Kerja ini senang dan menyeronokkan bagi saya, tetapi setelah bersalin dan mempunyai anak kecil saya rasa agak sukar membahagikan
masa.
“Sehinggakan anak kecil saya lebih rapat dan manja dengan ayahnya berbanding saya kerana saya sering keluar
bekerja. Pernah terfikir untuk berhenti tetapi rasa sangat sayang, jadi saya teruskan,” ujarnya.
Namun, setelah usia anak sulungnya itu menginjak tiga tahun, Fara sudah beransur bijak membahagikan masa.
Sedikit demi sedikit Fara mendapatkan kembali perhatian anak kesayangannya itu dan menjadikan dia lebih bersemangat untuk meneruskan pekerjaannya.
“Keluarga turut memberikan sokongan penuh dalam kerjaya pilihan saya ini walaupun pada awalnya mereka agak keberatan.
“Awal-awal memang keluarga tidak memberikan keizinan tetapi saya yakinkan mereka yang saya boleh bekerja dalam bidang ini.
“Lama-kelamaan mereka mulai menerima dan memberikan sokongan penuh terhadap saya setelah melihat saya boleh melakukannya,”
katanya yang memulakan kerjaya itu sewaktu zaman bujang.