Berkebun atas bumbung

Berkebun atas bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sudah minat, di mana-mana pun boleh jadi.

Itu yang digambarkan mengenai minat ibu kepada dua anak, Norainon Othman yang menggemari aktiviti bercucuk tanam sehingga di bawa ke atas bumbung.

Benar, di atas bumbung rumah teres dua setengah tingkat yang didiaminya dan keluarga.

Bahagian atap genting kediaman berkenaan diubahsuai menjadi kebun sayur dan bunga-bungaan berkeluasan sekitar 14 x 30 kaki.

Lebih menarik, kebun yang digelar sebagai rooftop garden itu memiliki hampir ratusan jenis tanaman sayuran dan bunga-bungaan yang unik.

Kata Norainon, kebanyakan biji benih tanaman tersebut dibeli daripada luar negara secara atas talian sebelum dibiakkan di atas bumbung kediamannya itu.

“Kebanyakan tanaman di sini adalah varieti unik yang dibeli daripada luar negara kerana saya ingin menanam sesuatu lain dari yang lain.

“Antara yang ada di kebun ini adalah pelbagai jenis bendi, terung, tomato dan bunga-bungaan. Terung sahaja kita ada 30 jenis varieti di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kebun unik yang terletak di Gombak, Selangor itu turut menanam pelbagai jenis koleksi Roselle, antaranya Chinese Roselle, Pink Roselle, Roselle putih , Roselle hijau dan banyak lagi.

Selain itu terdapat juga kacang buncis kuning renek dan bendi merah (Bowling Red Okra).

Banyak tanaman yang kebiasaannya hanya ada di luar negara dapat dilihat di kebun ini.

“Saya suka tanam bunga kalau sedang tanam sayur. Bunga menarik kehadiran lebah dan kelulut datang, sekali gus membantu proses pendebungaan,” ujarnya.

Pengalaman

Ditanya mengenai cabaran menanam tanaman dari luar negara, kata bekas wartawan dari sebuah agensi media ini, iklim menjadi cabaran utamanya.

“Sudah tentu perbezaan iklim memberi cabaran utama untuk semaian anak benih buat pertama kalinya.

“Namun, berbekalkan pengalaman saya yang pernah mempelajari subjek sains pertanian di sekolah sewaktu dahulu banyak membantu saya mengenai asas-asas pertanian.

“Malah, saya juga belajar melalui pengalaman dan juga pembacaan-pembacaan di internet yang disesuaikan dengan cuaca dan keadaan tanah di negara ini,” katanya yang juga gemar melakukan eksperimen dalam bercucuk tanam.

Bagaimana pun, katanya, kesukaran adalah hanya pada peringkat pertama kali semaian.

Apabila anak benih berjaya dibiakkan dengan iklim dan tanah tempatan, ia lebih mudah hidup dan tumbuh pada proses semaian seterusnya.

“Paling penting kena tahu jenis penyakit, penggunaan tanah yang sesuai dan juga kaedah pemangkasan yang sesuai supaya tanaman hidup subur,” jelasnya.

Jualan

Pertanian adalah perniagaan. Daripada sekadar suka-suka menanam 10 tahun lalu, wanita berusia 49 tahun ini kini sudah mampu untuk menjual biji benih dan anak pokok yang disemai.

“Saya menjual biji benih di platform atas talian, manakala anak pokok pula suami jual di pasar tani.

“Harga bagi biji benih sekitar RM5 hingga RM10 manakala anak pokok pula sekitar RM2.50,” katanya yang menjana pendapatan sampingan melalui jualan berkenaan.

Kebanyakan tanaman yang diusahakan menggunakan baja daripada bahan semula jadi seperti baja serbuk kulit udang, kulit pisang dan kulit telur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya