BERSTATUS anak tunggal bukan bererti dirinya manja. Sebaliknya, Tengku Puteri Nur Balqis Tg. Ahmad Aminuddin, 12, lincah di padang dalam permainan hoki disertainya sejak empat tahun lalu.
Puteri kepada Nur Fadilah Johari ini sangat meminati sukan berkenaan sehingga sanggup meluangkan masa berlatih bersungguh-sungguh sekiranya ada masa terluang.
Buktinya, anak kelahiran Desa Pandan, Kuala Lumpur ini sudahpun mewakili pasukan hoki bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia
(MSSM) Peringkat Negeri.
Beliau turut membantu kelab Hockeylah sebagai pemain jemputan merangkul Johan dalam Kejohanan Hoki Piala Ketua Menteri Melaka
BTHC 7’s yang lalu.
Si cilik ini mula berminat bermain hoki selepas melihat rakan-rakan di sekolah bermain hoki.
“Dari situlah saya tertarik untuk menyertai sukan ini. Saya makin teruja mendalami selok-belok permainan setelah mendapati ia tidak
begitu rumit.
“Tidak susah bermain hoki. Saya ambil masa kurang setahun untuk mempelajari teknik dan sebagainya,” katanya.
Bercita-cita menjadi tentera udara, tetapi dalam masa yang sama Balqis ingin mencipta nama sebagai pemain hoki terbaik negara.
Tambahnya, permainan hoki bukan berkisarkan mengenai keseronokan semata-mata, sebaliknya ia memberikan nilai tambah kepada dirinya.
Permainan itu membantu dirinya untuk fokus, disiplin, berani dan bekerjasama sebagai satu pasukan serta merancang sebelum bertindak.
RANCANG MASA DEPAN
Kata Nur Fadilah, anaknya itu sememangnya aktif sejak dari kecil.
Sebagai ibu dia sentiasa menyokong minat anaknya supaya bersemangat dalam setiap perkara dilakukannya.
“Balqis mula menunjukkan minat dalam permainan hoki sejak berada di darjah dua. Minat itu datangnya daripada diri sendiri dan juga dorongan daripada guru sekolah.
“Saya dan suami banyak bagi sokongan serta dorongan. Kami sebagai ibu bapa mahu melihat Balqis berjaya dalam bidang akademik dan
sukan. Kami juga sentiasa menyokongnya dari segi masa dan kewangan,” katanya.
Malah, perancangan rapi turut dibuat untuk membolehkan anak kesayangannya itu mencapai impian menjadi pemain hoki ternama.
“Insya-Allah jika ada rezeki, kami akan hantar beliau menuntut ke sekolah sukan di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, walaupun Balqis menunjukkan minat mendalam dalam sukan hoki, namun Nur Fadilah tetap memastikan anaknya itu mengimbangi antara sukan dan akademik.
“Mujur Balqis juga bijak membahagikan masa antara hiburan dan pelajaran.
“Isnin hingga Jumaat beliau fokus pada pelajaran. Sabtu dan Ahad pula fokus pada latihan hoki (kelab).
“Adakala latihan hoki (NHDP) dilakukan pada hari biasa. Sekiranya ada latihan pada hari biasa, kami akan pastikan kerja-kerja sekolah
disiapkan lebih awal sebelum keluar melakukan latihan,” kongsinya.