BERADA di benua paling selatan dunia, Antartika dengan keadaan cuaca boleh mencecah −89 °C (−129 °F), adalah luar biasa.
Tiada penempatan manusia kekal di sini, sekitar 98 peratus Antartika diselaputi oleh air batu dengan purata ketebalan sekurang-kurangnya 1 batu (1.6 km).
Antartika merupakan benua paling sejuk, kering dan kuat anginnya, dan memiliki ketinggian antara purata tertinggi dalam kalangan semua benua.
Bagaimanapun, seorang saintis negara, Prof Dr. Justin Sentian berjaya menjalani ekspedisi penyelidikan di Antartika semasa musim sejuk sekali gus diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama melaksanakan misi itu.
Penyelidik dari Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu turut diiktiraf sebagai satu-satunya rakyat negara ini paling lama berada di benua itu iaitu selama tujuh bulan sejak 21 Mac hingga 20 Oktober lalu bagi menjalankan penyelidikan berkaitan perubahan iklim.
Beliau menjalankan penyelidikan bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’ dengan kerjasama rakan penyelidik dari negara Chile di stesen penyelidikan Profesor Julio Escudero milik negara itu yang terletak di Pulau King George, Antartika.
“Saya memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesis gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.
“Saya turut berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halocarbon seperti bromokarbon dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ekspedisi berkenaan dianjurkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama organisasi Instituto Antarctico Chileno (INACH) dan Kedutaaan Chile di Malaysia, menerusi geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM.
IMPLIKASI PADA DUNIA
Data-data diperolehi, penting dalam kajian kimia ozon atmosfera terutama di lapisan troposfera and stratosfera, dan juga implikasinya ke atas peningkatan paras ozon troposfera dan kesan jangka masa panjang kepada perubahan iklim.
Justin berkata, memandangkan permukaan ozon merupakan bahan pencemar sekunder dan juga gas rumah hijau yang penting dalam isu pemanasan bumi. Ozon berkeupaayan memerangkap haba 1,000 kali lebih baik daripada karbon dioksida.
Keadaan ini memberi senario baharu dalam bajet ozon sebagai gas rumah hijau dan peranannya dalam isu perubahan iklim, pemanasan bumi dan impaknya kepada Antartika dan seterusnya kepada seluruh bumi termasuklah Malaysia.
“Kajian ke atas halokarbon seperti bromokarbon juga boleh membawa implikasi penting bukan sahaja kepada kimia ozon atmosfera tetapi juga peranannya sebagai bahan penipis ozon.
“Pemanasan bumi di Antartika akibat perubahan iklim boleh merangsang pembebasan gas-gas halocarbon ini dari sumber-sumber semulajadi seperti dari lautan,” katanya.
Halokarbon adalah bahan semulajadi yang boleh menipiskan lapisan ozon. Sekiranya ia berlaku, usaha negara-negara di dunia termasuk Malaysia untuk memulihkan lapisan ozon melalui implementasi Montreal Protocol akan terencat.
“Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapi terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem.
“Ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 km/jam. Keadaan cuaca tidak menentu menyukarkan kami mengambil sampel terutamanya air laut dan ais laut,” katanya.
Mengulas mengenai implikasi kajian dilakukan, beliau berharap hasilnya diharap dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk.
“Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika,” katanya.