HUJUNG minggu lalu saya dan keluarga berkesempatan untuk healing sebentar luar dari Kuala Lumpur. Kali ini, destinasi yang dituju adalah Bandar Seremban, Negeri Sembilan.
Memandangkan cuti hujung minggu pun dua hari sahaja, maka kami memilih untuk pergi bercuti ke destinasi yang terdekat dengan
Lembah Klang.
Tidaklah letih memandu nanti. Kami mula bertolak dari Sungai Buloh, Selangor sekitar jam lapan malam Jumaat dan tiba di Hotel Royale Chulan, Seremban pada pukul 10.00 malam.
Hotel bertaraf empat bintang yang terletak di atas bukit di tengah bandar Seremban itu menjadi lokasi strategik kami untuk meneroka bandar berkenaan untuk dua hari seterusnya.
Sesampai sahaja di lobi hotel, kami terus mendaftar masuk ke bilik eksekutif yang sudahpun ditempah beberapa hari sebelumnya.
Hilang segala penat lelah apabila melangkah masuk ke dalam kamar yang begitu eksklusif dan besar.
Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu ruang menonton atau bersantai yang dilengkapi dengan sofa 3+1, televisyen, peti sejuk mini dan pemanas air.
Manakala, dia ruang hadapan pula disediakan katil bersaiz King yang bersebelahan dengan kamar mandi.
Ruang yang luas itu sangat selesa untuk kami tiga beranak bersantai-santai sambil melayan kerenah si kecil kami yang berusia dua tahun itu.
Tambahan pula, bilik kami betul-betul menghadap kolam renang yang terletak bersebelahan restoran di aras lobi menambahkan keindahan
pemandangan
SANTAI SENI & BUDAYA
Keesokan paginya, selesai sahaja mengisi perut dengan pelbagai menu sarapan tempatan dan barat di Restoran Asiatique yang terletak di
aras lobi kami memulakan perjalanan meneroka beberapa tempat menarik di sekitar hotel.
Tempat pertama yang dikunjungi adalah Lorong Seni yang mengambil masa sekitar 16 minit sahaja dari hotel.
Lorong sepanjang 250 meter itu menempatkan pelbagai lukisan mural itu sangat sesuai bagi penggemar seni dan lukisan.
Malah, ia juga merupakan port bergambar yang sesuai untuk kaki swafoto mengabadikan kenangan saat berkunjung ke negeri yang
popular dengan juadah masak lemak itu.
Selepas selesai bergambar kami terus menuju ke muzium negeri pula yang terletak di Jalan Kompleks Taman Seni Budaya di Jalan Sungai Ujong.
Sudah alang-alang lokasinya pun tidak begitu jauh jadi kami tidak melepaskan peluang melawat muzium yang mengabdikan pelbagai seni dan budaya dari negeri yang penuh dengan adat itu.
Sedikit sebanyak dapatlah mengetahui adat-adat dan rekaan rumah masyarakat negeri sembilan terdahulu.
Keesokannya, kami singgah pula ke Jelita Ostrich iaitu ladang burung unta yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit dari hotel.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM8 bagi dewasa manakala RM6 bagi kanak-kanak.
Setiap pendaftaran masuk akan diberikan bungkusan jagung kering untuk diberi makan kepada burung unta.
Dapatlah si kecil saya merasa pengalaman memberi burung unta makan. Bukan main teruja lagi, riuh rendah mulutnya walaupun pada awalnya seakan takut-takut.
Selain burung unta, ada juga kambing dan lembu di ladang berkenaan.
Pengunjung yang berani bolehlah bergambar bersama mereka. Jinak-jinak semuanya.
Akhir sekali, tidak lengkaplah jika tidak menjenguk sebentar Masjid Sri Sendayan.
Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Seremban itu mempunyai seni bina menarik sehingga mendapat gelaran Taj Mahal.
Memang betul, cantik sungguh reka bentuk, bertuah masyarakat tempatan yang boleh menunaikan ibadah di masjid berkenaan setiap masa.