PENGAJAR Utama Diveheart Borneo, Ernest Teo meluahkan rasa gembira bila dapat membantu kanak-kanak sekolah khas ‘berdiri’ di dalam air buat pertama kalinya.
Ernest yang kembali buat kali kedua menjadi sukarelawan dalam program selam skuba bersama murid Orang Kurang Upaya (OKU), Diveheart Kids berkata, kemampuan OKU itu membuktikan keberanian mereka mengatasi ketakutan sewaktu berada dalam air.
“Kalau OKU berani mencabar rasa takutnya, mereka pasti lebih mudah untuk berdikari.
“Saya kira ketabahan dan sokongan tidak berbelah bahagi kedua orang tuanya yang menghantar anak menyertai aktiviti sebegini wajar dipuji,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan bersama Diveheart Malaysia dengan kerjasama Mimpi Perhentian Resort, di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.
Ia dijayakan dengan kolaborasi bersama Below The Surface Divers, Kids Scuba Academy dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Besut (SKPK Besut).
Penganjuran yang sudah memasuki kali keempat itu bertujuan membina keyakinan diri dalam air dan menggalakkan komuniti berkenaan melakukan pencapaian diri.
Pada masa sama ia memberikan pendedahan kepada ibu bapa yang ada anak OKU, mempertimbangkan faedah terapi sukan dalam memperkasakan OKU melakukan transformasi.
Guru Besar SKPK Besut, Siti Razimah terharu melihat aksi 10 orang pelajar OKU dari sekolahnya yang berani mengatasi ketakutan.
Katanya, setiap kanak-kanak unik dan perbezaan itu harus diraikan dan bukannya dilihat sebagai ketidakupayaan.
Pada program itu, Damia Humaira Ad-Deeni, 10, menunjukkan dedikasi luar biasa dengan berjaya memperoleh kursus Junior Advanced Open Water (Advanced Open Water) di bawah bimbingan Duta Diveheart Malaysia, Syed Abd. Rahman Syed Hassan.