Saidina Umar insan istimewa

Saidina Umar insan istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAR bin al-Khattab adalah nama yang tidak asing lagi di dalam sejarah. Ini kerana ketokohan beliau yang begitu melakari sejarah sama ada sebelum memeluk Islam, selepas beliau menjadi seorang pendukung Rasulullah SAW dan setelah kewafatan baginda.

Maka wajarlah kita mengenali agak teliti berkenaan insan yang amat berjasa kepada kemanusiaan itu sendiri.

 

Salasilah Yang Bersambung Dengan Nabi Ismail A.S

Beliau adalah Saidina Umar bin al-Khattab bin Nufayl bin Abd. al-Uzza bin Riyah bin Abdulloh bin Qurt bin Rozah bin Adiyy bin Ka’b bin Luayy bin Gholib bin Fihr.

Ibu beliau adalah Hantamah binti Hashim bin al-Mughiroh bin Abdulloh bin Umar bin Makhzum bin Yaqozoh bin Murroh bin Ka’b bin Luayy bin Gholib bin Fihr.

Ini bermakna nasab keturunan beliau bertemu dengan nasab keturunan mulia Rasulullah SAW daripada sebelah bapa beliau pada Saidina Ka’b bin Luayy dan dari sebelah ibu beliau pada Saidina Murroh bin Ka’b bin Luayy.

Manakala Saidina Luayy pula adalah anak kepada Saidina Gholib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma’add bin Adnan. Saidina Adnan pula adalah keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s.

 

Kelahiran Saidina Umar al-Khattab
Menurut pendapat sebahagian ulama, Saidina Umar lahir 13 tahun selepas tahun gajah iaitu Tahun Gajah yang ke-13.

Walau bagaimanapun pendapat yang dipilih oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berdasarkan usia Saidina Umar ketika meninggal dunia menunjukkan beliau sebenarnya lahir pada Tahun Gajah yang ke-16 atau pada Tahun Gajah yang ke-17.

Saidina Umar iaitu antara sahabat utama Rasulullah SAW memeluk Islam setelah beberapa para sahabat Nabi SAW meninggalkan kota Mekah dalam misi hijrah ke negara al-Habsyah.

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tahun sebenar beliau memeluk agama Islam. Kesimpulannya, Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian atau tahun ketujuh kenabian atau tahun kesembilan Kenabian.

Menurut al-Imam Hilal bin Yasaf pula, Saidina Umar memeluk Islam selepas 40 orang lelaki dan 11 orang wanita memeluk Islam.

Menurut sebahagian pendapat yang lain, Saidina Umar adalah orang yang ke-40 memeluk agama Islam.

Walau bagaimanapun al-Imam Ibnu Kathir tidak bersetuju dengan dua pendapat ini.

Menurut al-Imam Ibnu Kathir, Saidina Umar memeluk Islam selepas sekumpulan orang Islam di Mekah berhijrah ke al-Habsyah yang jumlah mereka yang berhijrah tersebut adalah lebih daripada 80 orang.

Maka menurut al-Imam Ibnu Kathir, kenyataan sebahagian ulama bahawa Saidina Umar adalah orang yang 40 memeluk Islam adalah ditolak dengan hujah pengislaman Saidina Umar yang berlaku selepas penghijrahan sekumpulan para sahabat Rasulullah SAW ke al-Habsyah.

Walaupun begitu menurut al-Imam Ibnu Kathir, berkemungkinan maksud kenyataan tersebut adalah Saidina Umar menjadi orang yang ke-40 memeluk Islam selepas berlaku penghijrahan ke al-Habsyah.

 

Kecintaan Terhadap Ahli Keluarga Nabi SAW
Saidina Umar adalah seorang yang begitu mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW. Banyak catatan sejarah yang membuktikan kecintaan beliau yang begitu tinggi terhadap ahli keluarga baginda.

Antaranya adalah ketika Saidina Umar dalam keadaan nazak, beliau telah meminta para sahabat Nabi SAW agar memilih salah seorang daripada enam para sahabat yang akan menjadi khalifah selepas kemangkatan beliau.

Menurut Saidina Umar, keenam-enam mereka adalah para sahabat Rasulullah SAW yang diredai oleh baginda. Lalu antara nama yang disebutkan oleh adalah Saidina Ali Abu Talib.

Saidina Ali merupakan orang yang sangat penting bagi Saidina Umar dalam menyelesaikan sebarang perkara yang berlaku semasa era pemerintahan beliau. Bahkan al-Imam Sa‘id bin al-Musayyab pernah berkata: “Umar satu ketika dahulu memohon perlindungan dengan (bantuan) Allah daripada (sebarang perkara) yang getir yang tiada padanya bapa kepada Hasan”.

Bukan Saidina Umar sahaja yang mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW, Saidina Ali sendiri adalah antara orang yang begitu mencintai dan mengagumi Saidina Umar.

Antara peristiwa yang membuktikan hal ini adalah ucapan kesedihan Saidina Ali di saat jenazah Saidina Umar diziarahi orang ramai.
Imam al-Bukhari dan Imam Muslim ada mendatangkan kenyataan tersebut sebagaimana berikut: Daripada Ibnu Abi Mulaykah, beliau telah berkata: Saya telah mendengar Ibnu Abbas berkata: “Umar telah diletakkan di atas katil beliau. Maka manusia pun telah mengelilingi beliau dalam keadaan mereka berdoa (untuk kesejahteraan beliau), memuji (kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh beliau) dan menyembahyangkan (jenazah) beliau sebelum (jenazah) beliau diangkat dalam keadaan saya ada bersama-sama dengan mereka (ketika itu).

Beliau (iaitu Saidina Abdullah bin Abbas) telah berkata: Maka tidak ada yang memeranjatkan saya melainkan seorang lelaki yang telah mengambil bahu saya dari (arah) belakang saya. Lantas saya pun telah berpaling kepadanya. Rupa-rupanya beliau adalah (Saidina) Ali.

Maka beliau telah mendoakan kerahmatan buat (Saidina) Umar dan beliau berkata: Anda telah tidak meninggalkan seorang pun yang (amalan kebaikannya) paling saya cintai untuk saya bertemu dengan Allah dengan (membawa amalan) seperti amalannya (lebih) daripada (amalan kebaikan yang dilakukan oleh) anda. Demi Allah, sesungguhnya saya benar-benar berperasaan kuat bahawa Allah akan menjadikan anda bersama-sama dengan dua orang sahabat anda.
(Perasaan yang kuat) itu adalah kerana sesungguhnya saya pada satu ketika dahulu banyak mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Saya telah datang bersama-sama dengan Abu Bakr dan Umar”, “Saya telah masuk bersama-sama dengan Abu Bakr dan Umar” dan “Saya telah keluar bersama-sama dengan Abu Bakr dan Umar”.

Maka sesungguhnya saya betul-betul berharap” atau “saya betul-betul berperasaan kuat bahawa Allah akan menjadikan anda bersama-sama dengan mereka berdua”.

 

Kewafatan Saidina Umar
Kecintaan Saidina Umar terhadap Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan lagi. Cukuplah sebagai satu bukti yang nyata apabila beliau memohon doa kepada Allah agar menjadikan kematiannya sebagai mati syahid di bumi al-Madinah agar jasadnya sentiasa berhampiran dengan tubuh suci Rasulullah SAW.

Beliau telah berdoa: “Ya Allah. Rezekikanlah daku mati syahid di jalan-Mu dan jadikanlah kematianku di negeri Rasul-Mu SAW”.

Doa ikhlas beliau dikabulkan oleh Allah apabila beliau ditikam oleh seorang Kristian berbangsa Parsi yang bernama Fayruz yang turut dikenali dengan panggilan Abu Lu’luah pada hari Rabu terakhir bulan Zulhijah tahun 23 Hijrah semasa beliau mengimami solat Subuh.

Setelah berlalu tiga hari dari waktu tikaman, Saidina Umar meninggal dunia sebagai seorang syuhada dalam usia 58 atau 59 tahun.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau meninggal dunia dalam usia 63 tahun.

-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya