Hujung tahun hampir tiba. Pasti ramai yang mengambil peluang untuk membawa keluarga melancong sebelum tibanya tahun baharu.
Namun, melancong dengan anak kecil memang mencabar, terutamanya di bawah umur lima tahun.
Kita selalunya merasakan kita sudah menyediakan semua keperluan dan kehendak anak-anak, tetapi pernahkah bertanya kepada diri sendiri sama ada sudah cukup berwaspada untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka semasa bercuti?
Ketua Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Lee Soon Han berkata, beberapa risiko harus dipertimbangkan sebelum membawa anak kecil bercuti.
Antaranya, kemalangan jalan raya, jatuh yang menyebabkan luka, lebam atau luka yang terbuka.
Selain itu, demam atau penyakit pernafasan akibat virus, kecederaan berkaitan dengan air seperti lemas serta cirit-birit dan muntah akibat keracunan makanan.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan ibu bapa disarankan agar menggunakan booster atau tempat duduk kereta dan tali pinggang keledar dengan betul mengikut umur, ketinggian dan berat kanak-kanak.
“Pastikan mereka memakai peralatan keselamatan semasa berenang dan diawasi oleh orang dewasa.
“Selain itu, minum air dan makan makanan yang bersih dan selamat, serta pastikan kebersihan botol susu terjaga,” katanya.
Setiap ibu bapa juga harus kit pertolongan cemas yang boleh digunakan ketika melancong.
“Paracetamol untuk demam atau kesakitan, larutan rehidrasi oral (ORS), ubat batuk dan selesema seperti antihistamin, dan ubat sedutan (inhaler) sekiranya kanak-kanak itu menghidap penyakit asma.
“Barangan asas untuk penjagaan luka seperti sarung tangan, kain kasa, tisu antiseptik, plaster dan pita pelekat, serta termometer juga perlu dibawa,” kongsinya lagi.
Peka dengan pemakanan
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMC, Dr Nur Elayni Borhan turut mengingatkan ibu bapa agar peka dengan makanan yang diambil oleh anak.
Walaupun terdapat banyak juadah menarik ketika melancong, namun ibu bapa harus waspada dengan makanan yang diambil oleh anak kerana ia mungkin tidak sesuai dengan sistem penghadaman kanak-kanak.
Menurutnya, cirit-birit dan muntah adalah antara penyakit yang paling lazim di jabatan kecemasan.
“Sila pastikan anak anda diajar untuk berwaspada semasa makan dan minum.
“Kerap basuh tangan untuk mengelakkan penyakit yang disebabkan oleh makanan dan air. Berikan susu badan kepada bayi anda kerana ini adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko serta pastikan vaksinasi adalah lengkap.
“Ini kerana secara amnya, terdapat risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin semasa bercuti,” jelasnya.
Paling penting, kanak-kanak harus mengelak daripada berenang di dalam air yang tidak berklorin, seperti sungai, kolam atau tasik, kerana mereka mungkin tercemar dengan penyakit yang boleh berjangkit kepada kanak-kanak jika air itu ditelan.
“Bagi rawatan cirit-birit, sebaiknya minumlah air dengan banyak. ORS boleh diambil untuk mengelakkan dehidrasi, terutamanya jika kanak-kanak itu turut muntah.
“Jika mereka mengalami dehidrasi, demam, atau najis berdarah, dapatkan rawatan perubatan dengan segera,” tambahnya.
Waspada alahan
Perancangan awal juga harus dibuat bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan makanan supaya perjalanan selamat dan selesa.
Dr. Elayni menyarankan agar ibu bapa membawa kit perubatan yang mempunyai ubat anak termasuk pen epinefrin tidak kira perjalanan itu dekat atau singkat.
Bekalkan juga makanan ringan yang selamat sekiranya tiada restoran yang sesuai untuk anak.
“Jika anda pergi ke negara yang tidak berbahasa Inggeris, dapatkan maklumat tentang alahan yang dialami dalam bahasa setempat.
“Anda boleh memberikan maklumat bertulis ini kepada penyedia makanan bagi memudahkan mereka memahami keperluan anak anda,” kongsinya lagi.