Perubatan tradisional Cina guna prinsip saintifik

Perubatan tradisional Cina guna prinsip saintifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBATAN tradisional Cina (TCM) sudah tidak asing di negara ini, namun masih ramai yang kabur tentang rawatan kuno itu.

Antara pandangan negatif yang sering dikaitkan dengan rawatan tersebut ialah mengerikan dan
memudaratkan pesakit.

Bukan itu sahaja, rawatan tersebut turut didakwa mengandungi unsur-unsur mistik dan keagamaan.

Pensyarah Kanan Pusat Perubatan Komplementari dan Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa
(IMU), Dr. Ong Siew Siew berkata, TCM tiada kaitan dengan elemen spiritual, sebaliknya hanya
menggunakan prinsip saintifik bagi menangani sebarang ketidakseimbangan dalam badan pesakit.

Malah, katanya, sesetengah pengamal TCM merupakan pakar dalam bidang jantung, paru-paru, penghadaman dan reproduksi.

“Jangan risau kerana TCM tiada sebarang kaitan atau berunsur mistik dan keagamaan.

“Pengamal TCM menilai keadaan pesakit dengan menggunakan prinsip diagnostik dan kemudian menggunakan empat kaedah rawatan utama iaitu akupunktur, terapi bekam, terapi moksa serta preskripsi herba,” katanya.

TCM bukan sahaja membantu melegakan kesakitan kronik, bahkan menyokong sistem imun dan
meningkatkan kualiti tidur.

Ujarnya, seperti kunjungan kali pertama ke klinik, pengamal TCM akan mencatat sejarah perubatan dan melakukan beberapa teknik diagnostik bagi memeriksa resam tubuh pesakit.

Sehubungan itu, pesakit disaran membawa bersama rekod perubatan seperti keputusan ujian darah, imbasan atau X-ray selain menyenaraikan ubat, makanan tambahan serta membincangkan rutin harian dan gaya hidup masing-masing.

Semua maklumat tersebut dapat membantu pengamal memahami secara terperinci tentang pesakit dan keperluannya bagi merumuskan pelan rawatan berkesan.

 

BEZA PERUBATAN BARAT
Siew Siew berkata, fokus TCM adalah untuk mencapai keseimbangan antara pelbagai elemen dalam pola resam tubuh pesakit yang unik.

Katanya, dua individu yang berpenyakit sama mungkin menerima terapi berbeza mengikut keperluan tubuh masing-masing.

“Pesakit dinasihatkan untuk mengekalkan kesinambungan rawatan dengan pengamal sama, bagi
memantau perkembangannya dengan teliti.

“Pendekatan ini sangat berbeza dengan perubatan Barat, yang lazimnya memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan penyakit tertentu dengan menyasarkan organ atau bahagian badan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, kata Siew Siew, TCM dan ubat konvensional boleh diamalkan seiring, namun
pengambilannya perlu dijarakkan sekurang-kurangnya empat jam bagi meminimumkan risiko saling tindak.

 

RAWATAN AMBIL MASA
Sama seperti perubatan Barat, hasil rawatan TCM turut mengambil masa berdasarkan keadaan atau penyakit tertentu.

“Bagi penyakit yang biasa mungkin hanya memerlukan satu atau dua sesi, namun tempoh lebih lama diperlukan untuk sakit kronik.

“Adalah satu perkara biasa untuk pengamal meminta anda datang ke beberapa sesi,” kongsinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya