“Sekiranya kuantiti susu banyak, sebaiknya jangan di pam kerana ia boleh menyebabkan bekalan susu berlebihan,”.
Itu kata Pakar Pediatrik KPJ Tawakkal KL, Dr. Halimah Abdul Halim.
Katanya, susu ibu cukup untuk bayi walaupun sedikit.
“Jangan bandingkan dengan ibu lain kerana memang ada ibu yang dianugerahkan susu yang berlimpahan. Pengeluaran susu yang sedikit tidak bermakna bayi tidak kenyang,” katanya.
Realitinya, ramai ibu baru lepas bersalin mengeluh susu badan sikit menyebabkan bayi lapar dan kerap menangis. Mereka takut situasi itu menjejaskan tumbesaran bayi.
Umumnya pada peringkat awal kelahiran, memang susu badan tidak akan keluar dengan banyak atau keluar memancut seperti yang digambarkan, kecuali ibu berkenaan sememangnya mempunyai susu yang banyak.
Sebenarnya ibu tidak perlu bimbang kerana bayi baharu dilahirkan pula hanya perlu minum susu sedikit saja iaitu anggaran sebanyak lima hingga tujuh mililiter (mil) saja untuk sekali minum. Mereka tidak perlu minum lebih kerana saiz perut yang kecil.
Dr. Halimah berkata, susu badan semakin banyak secara semulajadi dan mencukupi untuk keperluan tumbesaran bayi masing-masing.
Hari ketiga selepas bersalin, biasanya susu yang dihasilkan boleh mencecah 20mil.
Dalam seminggu, susu dihasilkan kira-kira 40 hingga 60 mil atau lebih kurang dua auns manakala minggu kedua kuantiti susu akan bertambah kira-kira 150 mil atau tiga hingga empat auns.
“Jadi jangan putus asa dan risau jika bayi tidak kenyang setiap kali menyusu. Sebaliknya lebih awal bayi menyusu badan, lebih bagus kerana ia merangsang hormon yang akan mengeluarkan susu,” katanya pada bual bicara penyusuan ibu anjuran KPJ Tawakkal di ibu kota baru-baru ini.
Ibu tidak perlu terlalu tertekan sekiranya susu badan yang dipam tidak banyak seperti yang diharapkan, sebaliknya susu sebanyak 1.5 auns bagi setiap satu payudara sudah mencukupi.
Apa yang penting berat badan bayi menunjukkan peningkatan dan bayi kencing secukupnya.