JIKA anda ke Gua Musang, Kelantan jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke perkampungan Orang Asli yang menyediakan penginapan di tengah belantara sebagai tempat untuk healing.
Walaupun terpaksa berdepan menempuh perjalanan ‘sukar’ menggunakan laluan balak sejauh hampir 100 kilometer dari Gua Musang, namun segala ‘keperitan’ itu hilang sekelip mata sebaik sahaja tiba dilokasi.
Rumah inap desa Pulau Manis yang dibangunkan oleh komuniti Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Dakoh, Pos Balar dan Kampung Redip, Pos Hau di sini memberi ‘ketenangan’ kepada mereka yang mahu lari daripada kesibukan hiruk-pikuk kotaraya.
Selain disajikan dengan keindahan panorama hutan yang mendamaikan, deretan inap desa diperbuat daripada buluh, kayu hutan dan rotan serta bunyi deruan air sungai pastinya memberikan ketenangan.
Guna buluh, kayu hutan
Sejak tiga tahun lalu, rumah inap desa yang terletak di pinggir Sungai Dakoh telah dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Pengurus Inap Desa Pulau Manis, Ahmadi Jalil Biyor, 41, berkata, berkonsepkan rumah asal kaum itu, inap desa itu diperbuat daripada rekaan buluh dan kayu hutan untuk tarikan pelancong.
Menurutnya, sebelum ini lebih 30 penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Balar Lama, Kampung Dakoh, Kampung Peng dan Kampung Tembaga di Pos Balar telah bergotong-royong membina inap desa itu.
“Tujuan kami membina inap desa ini untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat serta memberi peluang kepada anak muda untuk mendapatkan kerja di kawasan kampung.
“Kami juga ingin menarik ramai pelancong luar berkunjung ke Pos Balar untuk beriadah serta melihat sendiri aktiviti kebudayaan Orang Asli di kawasan ini,” katanya.
Tingkatkan ekonomi setempat
Sementara itu, Pengurus Inap Desa Kampung Redip, Razali Ayeh, 48, berkata, rumah inap desa yang dibangunkan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Redip, Pos Hau di sini sememangnya membantu meningkatkan ekonomi serta mempromosikan aktiviti kebudayaan penduduk setempat.
Katanya, sejak lebih 10 tahun lalu inap desa tersebut menjadi destinasi penginapan kepada pelancong luar yang berkunjung ke kawasan itu.
Katanya, sebanyak 12 buah inap desa telah dibina secara bergotong-royong menggunakan tumbuhan hutan seperti buluh, rotan dan daun bertam.
“Dekorasi rumah adalah idea daripada kami sendiri yang bercirikan identiti masyarakat Orang Asli yang merupakan Orang Asal di negara ini.
“Selain keindahan inap desa, kami juga menawarkan aktiviti lasak serta kebudayaan masyarakat Orang Asli seperti memasak makanan tradisional, bersewang, menyumpit serta menjerat binatang.
“Kita menawarkan pakej selama tiga hari dua malam dengan kadar RM360 bagi setiap pengunjung,” katanya.
Razali berkata, inap desa berkenaan membantu meningkatkan ekonomi penduduk apabila mereka dapat menjana pendapatan termasuklah menjual hasil tanaman serta kraf tangan mereka.
Katanya, pihaknya juga mementingkan aspek kebersihan serta sentiasa menyelenggara dan bergotong-royong mengindahkan kawasan perkampungan.
Destinasi pelancongan yang harus dikunjungi
KAMPUNG Dakoh dan Kampung Redip akan terus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa berusaha mewujudkan aktiviti pembangunan modal insan khususnya dalam bidang eko-pelancongan yang membabitkan Orang Asli di daerah ini.
Katanya, langkah tersebut dilihat memberi peluang kepada Orang Asli untuk memaparkan keindahan alam semula jadi, tradisi kebudayaan serta meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat.
“Kampung Dakoh berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan kerana keindahan alam semula jadi termasuklah air sungai yang jernih serta keadaan cuaca yang dingin serta nyaman.
“Setakat ini lebih RM40, 000 kos telah dibelanjakan bagi membangunkan Inap Desa Pulau Manis termasuklah kita menyediakan kemudahan tandas, pondok rehat, tempat solat dan kawasan pertanian,” katanya.
Tambah Mohd. Syahbuddin, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga turut memantau serta menambah baik infrastruktur di kawasan itu termasuklah menyediakan tapak pertanian untuk Orang Asli menanam nanas jenis MD2.
“Pada masa ini antara perkampungan Orang Asli yang mempunyai inap desa ialah Pos Hau.
“Kita sentiasa menggalakkan orang ramai untuk datang sendiri ke kampung Orang Asli untuk menikmati serta mengenal kehidupan dan budaya mereka yang unik,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Putera Aiman Norazmi, 23, berkata, dia teruja apabila pertama kali sampai di Pos Balar.
Katanya, dia tak menyangka terdapat tempat pelancongan yang indah di kawasan Orang Asli.
“Bagi saya inap desa di sini agak menarik kerana nak dapatkan suasana yang mendamaikan zaman sekarang memang agak susahlah.
“Saya amat bersyukur dapat menginap di salah sebuah inap desa yang disediakan ini. Kawasannya bersih, nyaman dan air sungai sangat jernih.
“Jika sesiapa yang datang memang berbaloi walaupun walaupun perjalanan agak payah kerana perlu melalui jalan balak menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.