Bersediakah kita hidup tanpa beg plastik?

Bersediakah kita hidup tanpa beg plastik?

BAWA bekas sendiri dapat mengelakkan daripada membungkus makanan menggunakan beg plastik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA akan masuk ke suatu anjakan paradigma yang besar apabila kerajaan membuat pengumuman mensasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik pada 2025.

Polisi melibatkan semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara itu diumumkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini.

Bermakna, dalam tempoh dua tahun sahaja lagi bayang beg plastik tidak akan kelihatan dalam proses jual beli.

Statistik Kutipan Sisa Pepejal Isi Rumah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2021, merekodkan komposisi plastik
kedua tertinggi selepas sisa makanan iaitu sebanyak 23.9 peratus.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati di kawasan kedai makan, masih ramai yang selesa membawa makanan yang ‘ditapau’ di dalam beg plastik berbanding membawa bekas makanan sendiri.

Situasi sama di pasaraya besar. Walaupun ada beg guna semula yang ditawarkan dengan harga sekitar RM5.00, namun masih ramai rela hati membayar caj 0.20 sen bagi setiap beg plastik.

Memperlihatkan situasi berkenaan, benarkah negara bersedia dengan kehidupan lebih lestari,

sementelah rakyatnya, selesa menggunakan beg plastik biarpun terpaksa mengeluarkan kos?.

Atau masyarakat, belum benar-benar faham mengenai risiko penggunaan plastik berlebihan?

Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, jika dilihat berdasarkan kempen dan tempoh masa kempen dijalankan, sepatutnya negara sudah bersedia.

Bukan satu dua, malah banyak kempen melestarikan alam sekitar dijalankan bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, misalnya kempen hindari plastik di negeri-negeri.

“GRASS bersetuju penuh usaha pengharaman beg plastik sekali guna memandangkan keadaan alam sekitar yang semakin teruk.

“Yang penting kita kena faham usaha memelihara alam sekitar adalah tugas semua dan bermula dengan langkah kecil yang kita boleh buat,” katanya.

Usaha pengharaman juga bertepatan memandangkan tapak pelupusan sampah juga sudah berada di tahap kapasiti maksimum.

“Ia selaras dengan konsep madani iaitu mampan. Sebagai negara Islam kita patut lebih cakna tentang isu alam sekitar ini, bukan sekadar amalan ritual sahaja.

“Lebih daripada itu, Islam amat ambil berat tentang alam sekitar. Banyak ayat al-quran dan sunnah Rasulullah SAW yang berkaitan alam sekitar tetapi dalam kefahaman dan amalan umat kini amat rendah,” katanya.

Mohd. Yusaimi Md. Yusof

Contohi negara lain

JIKA dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia yang lebih ke hadapan dalam usaha menjaga alam sekitar.

Malah Indonesia sudah ada fatwa haram membuang plastik sekali guna sewenangwenangnya kerana ia boleh memudaratkan alam sekitar.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam turut menyatakan keperluan
mencontohi negara lain.

Ujarnya, sebagai contohnya larangan di Kenya, yang mana mulai Ogos 2017, sesiapa di Kenya yang didapati menggunakan, menghasilkan atau menjual beg plastik menghadapi hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda.

“Ini larangan beg plastik paling tegas di dunia dan ia mendorong beberapa penyelesaian kreatif yang serius,” kongsinya.

Tambah Mageswari, pihak berwajib perlu mengenalpasti pelbagai sektor yang menggunakan plastik sekali guna (contohnya beg plastik, industri perkhidmatan makanan, plastik sekali guna dalam pembungkusan dan lain-lain).

Seterusnya, perlu ada pelan tindakan untuk menanganinya dan ia perlu dilaksanakan dengan ketat, lantaran pengharaman penggunaan beg plastik
adalah suatu tindakan ke arah menangani isu plastik.

“Krisis pencemaran plastik harus dicapai dengan mengurangkan jumlah keseluruhan pengeluaran plastik, menghapuskan plastik sekali guna yang
tidak diperlukan seperti beg plastik.

“Kita tidak seharusnya menggantikan beg plastik dengan bioplastik, plastik terbiodegradasi atau boleh di kompos, sebaliknya pengguna perlu gigih bawa beg (contohnya beg kain) dan bekas sendiri yang boleh diguna semula. Ianya perlu dijadikan norma dalam kehidupan,” tegasnya.

Mageswari Sangaralingam

LANGKAH PERSEDIAAN

Ketua Penyelidik Mikroplastik Research Interest Group (MRIG), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Wan Mohd. Afiq Wan Mohd. Khalik berkata, bagi menjayakan misi itu, persediaan menuju negara tanpa beg plastik sekali guna harus dilihat secara komprehensif.

Langkah pertama adalah pembentukan atau pelarasan undang-undang dan peraturan sedia ada yang mengawal atau mengharamkan penggunaan beg plastik sekali pakai.

Yang biasanya melibatkan kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat untuk memastikan pelaksanaannya berjaya.

“Polisi sedia ada seperti Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018- 2030 adalah bentuk panduan yang boleh diperluas ke pelbagai peringkat seperti awam, agensi dan lain-lain,” katanya.

Penyelidikan turut memainkan peranan penting dalam menyediakan hasil kajian secara berpadu melibatkan entiti seperti universiti, agensi kerajaan dan swasta.

Penyelidikan dapat membantu dalam mengenal pasti alternatif lebih baik dan bahan pengganti plastik.

Ini termasuklah kajian mengenai sifatsifat bahan kitar semula, kesan penggunaan plastik biodegradasi dan teknologi pembungkusan berinovasi.

“Hasil kajian, membantu negara untuk mengambil keputusan berasaskan bukti mengenai jenis alternatif plastik yang paling sesuai digunakan dalam pelbagai aplikasi.

“Negara juga perlu bekerjasama dengan industri plastik dalam mencari alternatif lebih mesra alam atau menggalakkan penggunaan plastik boleh kitar semula tanpa mencipta mudarat baharu,” ulasnya.

Wan Mohd. Afiq Wan Mohd. Khalik

TERKUBURKAH ADAT NASI BERKAT?

Selain penggunaan secara komersial, plastik turut banyak digunakan dalam kenduri-kendara masyarakat Melayu sebagai pemberian dan cendera hati kepada tetamu yang hadir ke sesebuah majlis.

Peniaga kuih kecilkecilan, Jumaidah Kaswar berkata, agak sukar untuk meneruskan budaya berkenaan, sekiranya beg plastik terus diharamkan.

“Saya harap ada alternatif lain yang diwujudkan untuk membungkus lauk pauk dan manisan untuk tetamu. Takkan nak wajibkan tetamu
bawa bekas sendiri, segan pula tuan rumah nanti.

“Tambah dengan kenaikan harga macam-macam barang sekarang ini. Plastik kosnya rendah. Jika jemputan ramai, mangkuk tingkat berapa pula
lah modal tuan rumah kena keluarkan nanti,” katanya memberi reaksi.

Ujarnya, sekiranya ingin beralih guna bekas makanan plastik sekali guna, macam tak kena pula dengan usaha untuk kurangkan pencemaran plastik.

“Generasi muda mungkin boleh mulakan trend bawa bekas makanan dan beg sendiri ketika kenduri. Bila jadi kebiasaan tak adalah janggal sangat dan adat ini tidak mati sebaliknya boleh diteruskan kepada generasi akan datang,”katanya.

Jumaidah Kaswar
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya