Batik alternatif saingi tradisi?

Batik alternatif saingi tradisi?

NURUL Farazura Fuad menerap batik tanah liat yang lebih mesra alam berbanding lilin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUATAN sehelai batik mengambil masa antara satu hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada teknik dan jenisnya.

Proses-proses yang perlu dilalui ialah membasuh kain, menyurih, meregang, mencanting (batik lukis), menerap (batik blok), mewarna, mematikan warna, merebus di samping membasuh dan menjemur.

Bagi mematikan warna misalnya, tempoh yang diperlukan adalah antara lapan hingga 12 jam dengan kain akan direndam dalam larutan sodium silicate.

Selepas itu, fabrik berkenaan direbus pula dalam air yang dicampur dengan serbuk soda untuk menanggalkan lilin dan lebihan pewarna.

Proses tersebut lazimnya mengambil masa sehingga 20 minit bergantung kepada tahap penggunaan lilin pada kain.

Seiring peredaran zaman, inovasi baharu batik kini diperkenalkan menerusi penggunaan linut dan tanah liat.

MAISUR Johari memindahkan linut pada fabrik menerusi teknik sutera saring.

Pereka di Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Malaysia, Maisur Johari berkata, kedua-dua bahan semulajadi dan mesra alam itu berfungsi untuk menghalang warna bagi menggantikan lilin.

Paling menarik, bahan alternatif itu mampu menjimatkan masa sehingga lebih 12 jam tanpa perlu melalui proses mematikan warna.

Malah, setiap peringkat pembuatan yang lain seperti mencanting, menerap, mewarna dan merebus turut dapat disingkatkan tempohnya berbanding kaedah tradisi.

“Proses memindahkan linut dan tanah liat pada kain mudah untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Selain itu, aspek keselamatan juga terjamin berbanding proses mencanting atau melilin yang menuntut kemahiran dan kecekapan seseorang untuk mengawal suhu panas lilin,” katanya ketika ditemui dalam Kempen Ini Batik Malaysia di Kompleks Kraf, baru-baru ini.

Linut atau sagu yang merupakan makanan kegemaran etnik Melanau itu mula dijadikan sebagai bahan alternatif batik sejak 2019.

Pembuatan batik dengan bahan itu dilakukan menerusi dua teknik iaitu sutera saring dan terap.

Kata Maisur, teknik itu sesuai digunakan bagi pengeluaran batik dalam jumlah banyak.

Namun, ujarnya, ciri tradisional dan keindahan tekstil warisan Melayu masih kekal terpelihara walaupun menggunakan inovasi baharu.

CONTOH batik yang menggunakan bahan semulajadi, linut atau sagu yang merupakan makanan kegemaran etnik Melanau.

Keunikan motif linut
Kain batik linut berkedut serta renyuk apabila kering sekali gus memberi corak latar yang unik.

Menceritakan proses penghasilannya, Maisur berkata, fabrik itu perlu dicelup dalam linut sebelum diwarnakan dan dimatikan warna.

Selepas dibilas dan kering, proses cetakan motif pula dibuat dengan menggunakan teknik sutera saring.

“Proses mewarna yang berlapis-lapis akan menghasilkan variasi warna yang pelbagai.

“Selepas mewarna dan warna dimatikan, kain perlu dikeringkan serta dilinut semula.

“Linut yang kering dan membeku dapat menghalang warna atau air daripada menembusi bahagian depan,” katanya.

SRI Norhafeeza Abdul Razak menunjukkan proses mematikan warna pada kain batik linut.

Tanah liat mesra alam
Sementara itu, seorang lagi pereka, Nurul Farazura Fuad menjelaskan tanah liat lebih bersifat mesra alam berbanding lilin.

Katanya, kain batik apabila direbus dan dicuci akan meninggalkan sisa air lilin yang memberi kesan kepada alam sekitar.

Manakala, tanah liat pula terbiodegradasikan dan akan cair apabila dicuci.

“Saya seronok menghasilkan batik alternatif kerana prosesnya yang mudah, malah boleh dibuat di mana-mana termasuk di rumah atau dalam kawasan yang dipasang penyaman udara.

“Tanah liat juga tidak mengeluarkan bau atau asap,” katanya.

Ujarnya, harga tanah liat juga jauh lebih murah berbanding penggunaan lilin.

Bagaimanapun, Nurul Farazura mengakui, batik tanah liat mungkin tidak mampu menandingi batik lukis yang terkenal dengan kehalusan seninya.

“Namun, elemen artistik masih ada dan kain batik tetap nampak cantik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jenis tanah liat yang digunakan adalah sama seperti dalam pembuatan seramik dan pasu.

Jelasnya, serbuk tanah liat akan dicampur dengan air hingga sebati dan kemudian ditapis sebelum boleh digunakan pada kain.

 

Tarik minat orang muda
Pembuatan batik alternatif yang mudah dan murah diyakini boleh menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam industri tekstil.

Nurul Farazura berkata, kesan daripada itu, negara dapat terus memelihara warisan tersebut sampai bila-bila.

“Umum mengetahui kaedah canting adalah rumit kerana lilin perlu dimasak dan dicairkan terlebih dahulu serta memerlukan individu mahir untuk membuatnya,” katanya.

Kongsinya lagi, penghasilan batik tanah liat turut dirintis di India tetapi formula bancuhan bahannya berbeza dengan di Malaysia.

ABDUL HALIM ALI

Nilai jualan batik RM67.4 juta
Batik merupakan penyumbang tertinggi dalam industri kraf tekstil negara.

Setakat Ogos lalu, nilai jualan batik adalah sebanyak RM67.4 juta atau 80 peratus daripada keseluruhan RM84.2 juta yang direkodkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, tahun lalu, negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM83.7 juta berbanding RM52.2 juta pada 2021.

Katanya, penglibatan usahawan tekstil itu pula adalah seramai 815 orang di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 399 orang adalah lelaki manakala 416 lagi wanita.

BATIK canting atau dikenali sebagai batik lukis menggunakan lilin sebagai bahan penghalang warna.

Pembeli pilih batik lukis
Di sebalik pelbagai teknik yang diperkenalkan, kebanyakan pembeli didakwa masih gemarkan batik lukis.

Pengarah Urusan Noor Arfa, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin berkata, rekaan batik lukis bersifat eksklusif dengan motif bunga-bungaan dan abstrak yang seolah-olah hidup.

“Batik sudah ada peminat tersendiri dan segelintirnya tidak kisah berbelanja besar untuk mendapatkan rekaan premium.

“Motif rekaan batik lukis tidak terhad seperti blok dan pembatik bebas untuk berkreativiti ketika berkarya, katanya ketika dihubungi.

Tambah Wan Mohd. Hafiz, sebahagian besar usahawan batik di Terengganu masih kekal menggunakan teknik pembuatan batik tradisi.

Katanya, harga batik lukis yang biasa bermula antara RM100 hingga RM300 manakala premium daripada RM600 hingga RM8,000 untuk sehelai. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya