“Jika tempat parkir khas dirampas orang pun kita sudah mengamuk dan menuntut hak, inikan pula tindakan merampas negara!”
Analogi teman dan guru saya, Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman ini mudah difahami. Itulah hakikat berlaku dalam konflik Israel Palestin.
Orang Palestin seumpama tuan rumah yang dihalau keluar sekumpulan samseng yang punyai sokongan pihak berkuasa dunia.
Dalam situasi ini, tuan rumah yang berusaha mengambil kembali hak mereka, diperlaku dengan zalim. Anaknya dibunuh, isterinya dicabul, bahkan dia pula yang dituduh sebagai pengganas yang tidak reda dengan ‘takdir’ rumahnya diambil orang yang lebih kuat.
Perang terbaharu antara Israel-Palestin sekali lagi menggegarkan dunia. Orang yang tidak faham mungkin cenderung menyalahkan orang Palestin dalam konflik ini.
Mereka mungkin termakan propaganda mengatakan Palestin bumi yang Allah sendiri janjikan untuk orang Yahudi dalam al-Quran.
Firman Allah SWT bermaksud: (Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak akan jadi orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). (al-Ma’idah: 21)
Benar, Allah ‘pernah’ menjanjikan lokasi itu untuk mereka. Namun kita perlu membaca kisah tawaran Allah itu secara penuh. Setelah mendapati penduduk Palestin ganas dan kuat fizikalnya, mereka enggan masuk.
Kebiadaban dan penarikan kembali tawaran Allah itu direkod kekal oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Mereka (secara biadab menolak tawaran Allah dengan) berkata: Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Kami hanya akan duduk di sini menunggu”. Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama 40 tahun, mereka akan merayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”. (al-Ma’idah: 24-26)
Tindak balas rakyat Palestin dalam perang terbaharu ini seumpama ledakan bom sabar yang sudah lama ditahan dek tekanan dan keronyokan berterusan pihak Israel.
Kita tidak harus berdiam diri merasakan konflik Israel Palestin ini hanya acara tahunan. Suara mereka yang tertindas akan ada sepanjang zaman dan ia wajib disahut.
Sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (menyelamatkan) orang yang tertindas daripada kalangan lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Mekah dan negara lain) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”. (al-Nisa’: 75)
Bagi menyahut jeritan zahir dan batin, saya cadangkan tiga langkah:
Pertama: Menadah tangan berdoa kepada Allah agar penduduk Palestin diberi ketabahan, kesabaran dan kemenangan. Pada waktu ini, umat Islam sedunia perlu mula membaca Qunut Nazilah sebagaimana dilakukan Nabi SAW ketika umat Islam ditekan teruk pada zaman baginda. (Sahih al-Bukhari, 762).
Jangan ingat qunut tersebut tidak memberi kesan kepada negara Israil, ia sedikit sebanyak mampu merapuhkan jiwa mereka. Tambahan pula antara kelebihan khusus umat Nabi Muhammad adalah rasa gerun musuh kepada mereka.
Baginda SAW bersabda bermaksud: Aku dikurniai lima kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada para nabi sebelumku; antaranya; Aku (dan tentera Muslimin) diberikan bantuan (untuk mengalahkan musuh) dengan rasa gentar dalam hati musuh sebulan sebelum tentera Muslim sampai ke tempat musuh… (Sahih al-Bukhari, 323).
Perkara ini turut ditegaskan Allah dalam surah ali ‘Imran ayat 151. Apabila kegentaran ini mulai bertapak dalam hati setiap pemegang panji Zionis, sukar untuk mereka berada dalam wilayah jajahan mereka. Bahkan ia menjadi barah dalaman yang akan mengalahkan tentera mereka.
Kedua: Menyalur dana bantuan melalui platform yang sah. Keruntuhan masjid yang dibina NGO dari Malaysia akibat bedilan Zionis Israel jelas menunjukkan hubungan yang baik dari rakyat Malaysia.
Sebagai orang Islam, derita saudara seagama kita ini pastinya menjentik jiwa kita seiring sabda nabi SAW bermaksud: Perumpamaan orang beriman dalam cinta, kasing sayang dan lemah lembut sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota berasa sakit, seluruh anggota badan turut berasa sakit sehingga menyebabkan ia berjaga malam dan demam. (Sahih Muslim, 4685).
Ketiga: Umat Islam perlu membuat advokasi berterusan agar isu penindasan moden di Palestin ini menjadi ‘bahasa’ dunia. Jangan hanya bermusim mengejutkan masyarakat dunia dengan kezaliman Zionis Israel. Percayalah, jika satu dunia sudah mengenali busuknya bangkai gajah yang ditutup Israel dan sekutunya, kesedaran akan memuncak.
Aktivis keamanan Rachel Corrie perlu dijadikan contoh kepada para pejuang keamanan Palestin sedunia.
Pelajar universiti warga Amerika berusia 23 tahun ini, turun ke Palestin dalam misi kemanusiaan membantah kempen pemusnahan besar-besaran kediaman Palestin pada tahun 2003.
Kemuncaknya beliau mati digilis jentolak milik tentera Israel pada 16 Mac 2003 ketika berdiri membantah pencerobohan tersebut.
Kematiannya mendapat perhatian dunia dan ibu bapanya membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.
Namun tentera Israel dinilai tidak bersalah atas jenayah itu.
Berikutan peristiwa kejam itu, ibu bapa Rachel menubuhkan Yayasan keamanan dengan nama Rachel Corrie Foundation for Peace and Justice.
Yayasan seliaan ibu bapa mendiang Rachel ini bangun meneruskan perjuangan memberi keadilan kepada rakyat Palestin.
Percayalah, perjuangan ini akan berterusan sehingga yang dizalimi terbela dan yang menzalimi dikekang.
Kita juga berharap kebiadaban Zionis Israel segera berakhir.
Semoga janji Allah tentang kemusnahan kedua mereka akan berlaku pada zaman ini sebagaimana pandangan al-Marhum Dr. Salah Abdul Fattah al-Khalidi (Haqa’iq Qur’aniyyah Hawl al-Qadiyyah al-Falstiniyyah, hal 180) iaitu: Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu wahai orang Yahudi) kali kedua, (Kami datangkan musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitulmaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. (al-Israk: 7)
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, UIAM.