Tiada elaun latihan praktikal di Australia

Tiada elaun latihan praktikal di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN tempat di Australia tidak menyediakan elaun bagi pelajar yang menjalani latihan praktikal.

Saya pernah bertanya kepada koordinator subjek di universiti dan beliau menerangkan latihan praktikal ibarat kursus latihan percuma disediakan organisasi sebagai persiapan melangkah ke alam pekerjaan, umpama melalui program khidmat masyarakat.

Latihan praktikal juga katanya, boleh dijadikan batu loncatan untuk diserap menjadi pekerja tetap, jika ada ruang.

Begitupun bergantung kepada nasib. Ada juga organisasi yang menawarkan elaun, namun persaingannya sengit dan tentulah anak tempatan lebih diutamakan.

Selepas berpuluh permohonan dan beberapa siri temu duga dilalui, akhirnya saya mendapat tempat di Australia India Institute (AII) bagi penyelidikan diplomasi budaya, tetapi tidak berbayar.

Walaupun bekerja dua hari seminggu, ada kalanya tuntutan tugas melebihi had yang dipersetujui.

Saya pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, tetap bersyukur kerana berpeluang bersemuka dan bersosial dengan kakitangan di pejabat.

Berbanding rakan-rakan lain, ada segelintir yang bekerja secara dalam talian melalui zoom sepanjang tempoh praktikal.

PEMBELAJARAN DI AII
AII merupakan institusi pemikir atau think tank, diterajui tiga universiti ulung di Australia, iaitu University of Melbourne, University of Western Australia dan La Trobe University.

Ditubuhkan pada 2008, AII memainkan peranan penting sebagai jambatan dan sistem sokongan kerajaan dalam mempererat hubungan dua hala antara Australia dan India.

Ia turut membuka peluang kepada lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) di kedua-dua negara untuk terlibat sama menghasilkan penyelidikan pragmatik berkaitan hubungan bilateral.

Dengan tiga teras iaitu ketenteraman dan geopolitik, hubungan ekonomi dua hala di samping diplomasi budaya, AII turut mendokong peranan diaspora India di Australia sebagai aset baharu.

Malah, program berorientasikan literasi atau celik India-Australia turut menjadi keutamaan di bawah teras diplomasi budaya.

Melalui tugas penyelidikan diplomasi budaya, saya dimaklumkan kesan program Master Chef Australia terhadap perdagangan dua hala negara.

Perkembangan itu turut dipengaruhi lambakan restoran India di Australia.

 

DUTA KECIL NEGARA
Bagi menghargai peranan diaspora dalam mengeratkan hubungan bilateral, Australia menganugerahkan pingat Medal of the Order (OAM) manakala Pravasi Bhartiya Samman (India).

Anugerah tertinggi itu mengiktiraf sumbangan berimpak besar golongan berkenaan kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.

Sepanjang menjalani praktikal, saya didedahkan dengan peranan pelajar antarabangsa sebagai duta kecil negara.

Kami antara kelompok diaspora penting berperanan sebagai ejen mempromosi identiti dan nama baik negara di mata dunia.

Selain menimba ilmu dalam kelas, kajian akademik juga membuktikan kadar pelancongan dan literasi kebudayaan sesebuah negara dapat ditingkatkan menerusi peranan aktif pelajar
antarabangsa.

 

PENGAJARAN PRAKTIKAL
Terdapat beberapa pengajaran berharga dan idea baharu yang saya kutip sepanjang tempoh latihan praktikal.

Antaranya peranan think tank sebagai sistem semak imbang dasar kerajaan yang wajar diberi perhatian agar gerak kerja organisasi lebih berkesan, produktif dan menepati sasaran.

Pengalaman ini mengajar saya pentingnya negara memanfaatkan kewujudan diaspora sebagai aset meningkatkan hubungan bilateral.

Langkah itu boleh dimulakan dengan memberi penghargaan kepada diaspora yang berjaya mengukir nama di luar negara.

Di India, mana-mana diaspora yang mendapat pengiktirafan lazimnya akan diberikan anugerah sama di tanah air, malah kisah kejayaan itu dipaparkan dalam akhbar.

Menerusi pendekatan itu, persepsi brain drain dapat diolah kepada brain gain atau modal sosial yang memberi manfaat.

Pemerhatian saya tentang budaya kerja golongan profesional di Australia pula tidak jauh bezanya dengan rakyat Malaysia.

Kerja lebih masa kadang kala dituntut apabila tidak cukup kapasiti, namun menariknya, fleksibiliti untuk bekerja sama ada di pejabat atau secara dalam talian masih dibenarkan.

Pengalaman praktikal wajar direbut oleh semua pelajar sebagai persiapan sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Bagi isu latihan pratikal tidak berbayar, molek juga jika pihak universiti di Malaysia mengambil contoh dasar latihan praktikal universiti di Australia.

Yang mana di sini, pihak universiti mengehadkan masa selama 200 jam dalam tempoh enam bulan dengan feksibiliti masa bekerja tertakluk kepada rundingan antara pelajar dengan majikan.

Waktu praktikal turut bergantung sama ada dua hari seminggu selama enam bulan atau lima hari seminggu dengan tempoh tamat latihan yang lebih awal.

Biarpun tempoh latihan diperuntukkan sedikit, tetapi pelajar masih mampu mengoptimumkan ruang untuk menimba pengalaman profesional.

Pada masa sama, kami boleh terlibat dengan pekerjaan lain bagi menampung kos sara hidup.

-Penulis adalah pelajar Sarjana Dasar Awam dan Pengurusan, Sekolah Sains Sosial dan Politik, Fakulti Seni Universiti Melbourne, Australia, Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya