Tapak kaki bagai direnjat elektrik

Tapak kaki bagai direnjat elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAK kaki panas ibarat memijak api dengan rasa pedih yang luar biasa seolah-olah dicucuk jarum halus dan ditikam pisau.

Ada juga beranggapan kesakitan dialami itu seperti terkena renjatan elektrik daripada ribut petir.

Paling menjengkelkan, rasa miang umpama ratusan semut merayap di bahagian kaki. Sampai satu tahap, timbul kerisauan, keresahan dan takut dengan keadaan yang dialami.

Semua itu merupakan antara gejala yang terpaksa ditanggung seseorang akibat kesakitan neuropatik (NeP).

NeP berlaku disebabkan oleh lesi atau penyakit sistem saraf deria somato.

Walaupun ia merangkumi antara 20 hingga 25 peratus daripada sakit kronik, namun penyakit ini paling kurang didiagnosis dan terus dipandang remeh, dengan pesakit yang turut tidak mendapat rawatan bersesuaian.

Antara punca lazim NeP adalah neuropati periferal diabetik (DPN) iaitu komplikasi kronik diabetes yang menyebabkan kerosakan saraf dan mengundang kesakitan di bahagian kaki dan tangan.

Kajian mendapati satu dalam empat pesakit diabetes boleh mengalami DPN yang menyakitkan (PDPN) sekali gus menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan aktiviti harian.

Ia turut memberi impak besar kepada kualiti kehidupan termasuk emosi.

Ketika ini, hampir separuh bilion individu mengalami diabetes di seluruh dunia dan komplikasi berkaitan NeP turut dibimbangi akan meningkat.

 

68 PERATUS SEDAR ALAMI SIMPTOM

Seramai 68 peratus pesakit di Malaysia sedar kaitan antara simptom kesakitan dengan diabetes sebelum melakukan diagnosis.

Daripada jumlah itu, sejumlah 39 peratus berharap kesakitan tersebut berakhir manakala 36 peratus pula menganggap ia bersifat sementara dan 40 peratus mengaitkannya dengan penuaan.

Malah, majoriti pesakit DPN tidak didiagnosis sehingga enam bulan selepas bermula simptom.

Penemuan itu hasil tinjauan yang dijalankan organisasi kesihatan global, Viatris.

Di Malaysia, prosedur diagnosis dilakukan oleh pakar endokrinologi di samping pengamal perubatan am.

Namun, timbul isu apabila sebahagian besar responden mendakwa menerima diagnosis yang tidak betul.

 

IMPAK KEPADA MOOD PESAKIT

Majoriti pesakit mengakui perlu meminda semula jadual kerja di samping terpaksa cuti sakit yang panjang akibat PDPN.

Responden turut memberitahu penyakit berkenaan memberi kesan kepada mood, keupayaan bersukan dan kualiti tidur.

Pengurus Viatris Malaysia, Je Bote berkata, walaupun mengalami impak yang signi kan, hanya satu dalam lima pesakit di peringkat global mampu bercakap dengan bebas mengenai keadaan mereka.

“Sebab utama pesakit tidak berkongsi kesakitan dialami adalah kerana takut didiskriminasi dan timbul masalah di tempat kerja di samping malu,” katanya.

 

DIAGNOSIS, RAWATAN AWAL PENTING

Rawatan yang sesuai dan cepat adalah penting untuk mengawal NeP dan menambah baik kualiti kehidupan.

Selain ubatan preskripsi, pesakit turut perlu mengambil suplemen tambahan dan ubatan herba di samping menjalani fisioterapi.

Walaupun berpuas hati dengan penjelasan dan rawatan yang diterima, sebanyak 44 peratus pesakit merasakan tidak mampu pulih sepenuhnya manakala

42 peratus lagi menganggap diri mereka bukan individu sama seperti sebelumnya.

Sementara itu, Bote turut berkongsi komitmen organisasi itu dalam menyokong pesakit dan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan saringan awal.

“Langkah itu penting bagi memaksimumkan pilihan rawatan dan mengurangkan risiko komplikasi yang tidak diingini.

“Pesakit mahukan lebih banyak maklumat berkenaan pengurusan harian sakit kronik berkaitan diabetes dan memerlukan akses terhadap sokongan psikologi,” katanya.

 

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya