Semakin ramai wanita muda kena kanser

Semakin ramai wanita muda kena kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Statistik mencatatkan seorang dalam setiap 10 sehingga 11 wanita muda berusia antara 20 hingga 40 tahun ke bawah turut berisiko mendapat barah payudara sepanjang hayat mereka.

Insiden barah payudara da­lam kalangan wanita muda, meninggalkan kesan besar pada mental dan fizikal apatah lagi jika terpaksa berdepan kemungkinan kehilangan payudara.

Rata-rata pada usia produktif itu, sesetengahnya belum pun mendirikan rumah tangga atau baru sahaja membina keluarga serta kerjaya.

Pakar bedah payudara dan endokrin Prince Court, Dr. Harjit Kaur Perdamen berkata, sememangnya bukan mudah bagi wanita muda menerima hakikat kehilangan payudara sehingga ada yang mengalami kebimbangan melampau.

“Cabaran utama berkait dengan rawatan yang lebih kepada usaha untuk menye­lamatkan payudara mereka di mana awalnya rawatan kemoterapi akan digunakan.

“Apabila cara ini tidak selamat atau berkesan, baru kita bercakap mengenai pem­bedahan membuang payudara atau mastektomi. Payudara yang dibuang boleh diganti dengan pelbagai cara seperti menggunakan tisu perut atau tisu otot. Puting dan aveola tidak akan dibuang, “ katanya dalam majlis Pink October bertemakan Spektrum Mereka Yang Terselamat dari­pada Barah baru-baru ini.

Yang hadir sama, pakar radiologi, Dr. Farah Nun Zulkifli; pakar perunding payudara dan pakar bedah onko­plastik, Dr. Melissa Tan serta beberapa bekas pesakit payu dara.

Bagaimanapun, Harjit berkata, tidak semua pesakit mahu menjalani pembedahan mengantikan payudara ini atau rekonstruktif. Pesakit berhak untuk menerima atau menolaknya.

Tambah beliau, rawatan barah seperti kemoterapi dan radioterapi pula menyebabkan sistem reproduktif atau kesuburan mereka seperti kilang telur atau ovari rosak.

“Wanita muda yang kesuburannya terjejas kerana kanser boleh menyimpan telur mereka di dalam bank telur bagi men­dapatkan zuriat di masa depan.

“Kaedah menyimpan telur dalam bank telur menelan kos yang tinggi tetapi ia adalah pilihan terbaik untuk mendapatkan cahaya mata di masa depan. Menyimpan embrio juga lebih baik tetapi ini bergantung kepada wanita terbabit, “ katanya.

Tidak terfikir ia adalah barah

Kim Lim, 39, disahkan mengalami barah payudara tahap tiga ketika pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.

“Suatu pagi selepas bangun dari tidur, saya dapat rasa ada benjolan di payudara kanan. Walaupun takut tetapi saya tidak terfikir ia adalah barah.

“Saya dirujuk ke hospital dan doktor memaklumkan payudara saya perlu dibuang pada hari itu atau esok, namun saya menolak. Keadaan payudara saya ketika itu bengkak dan benjolan jelas dapat dilihat,” katanya.

Mahu tidak mahu, Kim Lim terpaksa berjumpa pakar bedah payudara walaupun enggan berdepan realiti.

Bagi mendapatkan temujanji dengan pakar agak sukar ketika pandemik, justeru Kim Lim terpaksa menunggu sehingga dua bulan dan dapat merasakan benjolan itu semakin membesar.

Keputusan biopsi menunjukkan barah sudah di tahap tiga dan membesar sehingga tiga sentimeter. Kim Lim perlu menjalani pembedahan membuang benjolan (lumpektomi).

“Saya cukup sedih dan tertanya-tanya kenapa saya mengalami barah? Suatu hari saya bertemu seorang wanita yang menjadi sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Barah Payudara (BCWA) . Beliau kelihatan normal walaupun sudah 10 tahun terselamat daripada barah.

“Melihat keadaannya, saya terfikir, jika dia mampu melawan barah, saya juga boleh. Saya menjalani 16 kitaran kemoterapi,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan, abangnya pula meninggal dunia dan Kim Lim perlu mengambil tugas menjaga ibu. Ini membuatkan Kim Lim rasa putus asa, tambahan pula dirinya sudah tidak bekerja.

Menyedari dirinya tidak boleh terus menyerah kalah, Kim Lim berusaha bangkit.

“Selepas lengkap semua rawatan, saya bertanya kepada BCWA cara untuk saya menyumbang semula bagi membantu pesakit lain.

“Saya mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi memberikan sokongan kepada pesakit, sehingga kini, “katanya.

Pesakit perlu sokongan emosi
Sebanyak 50 peratus pesakit barah payudara mengalami keresahan dan kemurungan.

Melissa berkata, pesakit perlu menerima hakikat bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Justeru, pesakit digalakkan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan bagi mendepani setiap cabaran.

“Pesakit akan diminta melakukan apa saja yang mereka suka sebelum memu­lakan rawatan. Keperluan untuk menilai kestabilan emosi pesakit juga penting bagi memastikan sama ada mereka memerlukan kaunselor atau sebaliknya, “ katanya.

Pesakit perlu bangkit dan merancang masa depan mereka dengan mengamalkan gaya hidup sihat menggunakan formula SHIELD iaitu pastikan tidur (S) mencukupi antara enam hingga lapan jam setiap malam. Kawal (H) tekanan dengan strategi berkesan, interaksi (I) dan

berbincang dengan mereka yang berpengalaman seperti pesakit yang sudah sembuh, bersenam (E) secara tetap dan membabitkan diri dengan aktiviti sosial, cintai (L) diri sendiri dan amalkan diet (D)sihat.

Simpan lima embrio
Lim Soh Ngee, 41, mengalami barah payudara pada usia 30 tahun dan menjalani pembedahan membuang payudara, kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon selama lima tahun.
Sebelum kemoterapi, beliau memutuskan menyimpan lima embrio.
Selepas berkahwin pada 2014, Soh Ngee menjalani IVF tetapi gagal dan dinasihatkan doktor untuk hamil secara semula jadi.
“Pada 2018, saya berjaya hamil secara semula jadi, malah mampu menyusukan bayi sehingga dua tahun.
Dua tahun selepas itu beliau hamil anak kedua pula.

Rasa benjolan seperti biji mata

Amnah Salleh, 55, menyedari benjolan di payudara kanannya ketika membetulkan baju dalam. kira-kira 18 tahun lalu.

Benjolan itu seperti biji mata apabila disentuh tetapi tidak sakit.

Untuk kepastian, Amnah menjalani pemeriksaan mamogram dan ultrasound.

“Saya disarankan menjalani biopsi dan disahkan ketulan sebesar 1.5 sentimeter itu kanser tahap satu tetapi jenis agresif.

“Saya minta doktor buang payudara, tetapi katanya saya masih muda dan hanya perlu membuang sebahagiannya sahaja. Saya menjalani enam kitaran kemoterapi selain radioterapi dan terapi hormon, “ katanya.

Amnah turut aktif berjumpa bekas pesakit barah payudara bagi mendapatkan pandangan mereka.

Amnah bertuah kerana suaminya, Azizi Anuar sentiasa memberikan sokongan penuh.

Kesan kemoterapi hanya dirasai dalam tempoh minggu pertama saja seperti lemah, loya dan tiada selera makan.

Ia tidak seteruk yang dijangkakan. Hari keempat, Amnah sudah sihat dan memilih terus bekerja seperti biasa walaupun majikannya memberi cuti bergaji selama enam bulan.

Bagaimanapun barah dikesan semula di payudara sama pada 2016 dan terpaksa dibuang pada Oktober. Pada hari sama, beliau menjalani pembedahan rekonstruktif payudara menggunakan lemak perut.

“Nasihat saya, memang bukan senang nak terima tetapi bercakaplah dengan orang yang sudah pernah melaluinya. Saya kini menjalani gaya hidup sihat dengan berjalan kaki setiap hari, “ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya