alat kawalan siput gondang

Perangkap siput gondang efisien tingkat hasil pesawah

Zaiti dan kumpulan penyelidik menunjukkan prototaip alat kawalan siput gondang yang ditambahbaik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN isi dengan kuku, begitu juga siput gondang dan sawah padi. Ia bagai tidak boleh dipisahkan.

Malah, berdasarkan kajian, Siput Gondang (SG) atau nama saintifiknya Pomacea sp; merupakan perosak utama tanaman padi di dunia.

Menyedari permasalahan itu, sekumpulan penyelidik Jabatan Pertanian dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan inovasi perangkap siput gondang bagi menangani permasalahan tersebut.

Inovasi yang dijenamakan sebagai SG Gold itu berfungsi memerangkap siput gondang dalam petak sawah padi dengan menarik siput gondang memasuki perangkap melalui lubang yang disediakan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri Johor, Zaiti Akmal Dahlan berkata, idea menghasilkan perangkap berkenaan hasil daripada aduan pegawai pertanian, pengusaha sawah padi dan pelbagai agensi terlibat.

Kebanyakan daripada mereka mengalami kerosakan dan kerugian hasil tanaman disebabkan oleh serangan perosak berkenaan.

“Jadi, kita hasilkan alat kawalan siput gondang ini yang didatangkan sekali dengan umpan yang berbau untuk menarik siput memasuki perangkap.

“Umpan ini diperbuat daripada durian yang telah diadunkan dengan beberapa ramuan yang telah kita kaji dan ia mampu menarik perhatian siput kerana spesies berkenaan mudah tertarik dengan bau yang kuat,” katanya.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengurangkan penggunaan racun perosak dalam kalangan petani.

Hal ini kerana, perosak invasif itu dikatakan boleh merebak dengan sangat cepat dan sukar di kawal.

“Siput ini boleh menghasilkan telur sehingga 8,000 biji sepanjang hayatnya dan boleh memusnahkan kawasan padi seluas satu meter persegi dalam tempoh 24 jam.

“Ia sangat sukar dikawal kerana ketika waktu kering ia akan masuk ke dalam tanah sedalam tiga meter dan mampu hidup tanpa air,” jelasnya lanjut.

Oleh itu, penggunaan perangkap secara berterusan sangat disyorkan bagi mengawal SG dengan lebih baik.

Waktu penggunaan yang terbaik adalah 20 hari sebelum tabur benih dan 40 hari selepas proses berkenaan.

“Jadi, kita cadangkan sekitar 60 hari sahaja untuk pasang perangkap kerana pada peringkat itu padi baru hendak tumbuh dan siput kebiasaan akan makan anak padi.

“Mengikut kajian kita, bagi kawasan seluas satu hektar memerlukan tiga perangkap untuk hasil yang optimum, tetapi lebih banyak lebih baik,” tambahnya lagi.

Keberkesanan melebihi 50 peratus

Mengulas dari segi penggunaan, katanya, setelah dipasang, perangkap akan diperiksa setiap tiga hari.

Keberkesanan yang direkodkan mendapati berjaya mengurangkan kos kawalan perosak SG kepada 63 peratus selain menjimatkan tenaga kerja daripada dua orang kepada satu orang sahaja.

Dalam pada itu, inovasi yang memenangi Anugerah Khas di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2022 itu juga mampu memberi jaminan keselamatan makanan dan tenaga kerja dengan pengurangan penggunaan racun perosak.

Ia juga mampu meningkatkan produktiviti tanaman dengan mengurangkan serangan siput gondang emas dari 2.66 peratus kepada 2.20 peratus serta meningkatkan prestasi kerja pegawai dalam menjalankan kerja bancian SG.

Hasil petani juga dijangka meningkat dari 4.08 tan semusim kepada 5.86 tan semusim.

Buat masa ini, inovasi itu telah digunapakai di beberapa sawah di Malaysia seperti di Johor, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Perlis.
Bagi meningkatkan lagi kualiti, ia kini sedang menjalani beberapa proses penambahbaikan.

“Selain itu, penambahbaikan ini juga diharap dapat mengurangkan kos bagi mengurangkan beban terhadap pesawah.

“Bagi perangkap lama beserta dua umpan harga mencecah RM400,” ujarnya yang berkata produk yang ditambahbaik itu belum sedia untuk dikomersialkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya