Tembok Besar China dibina daripada pelbagai generasi dan pemerintahan sejak 200 SM. Faktor awal pembinaan kubu ini ialah untuk menghalang kemasukan haiwan liar dan perompak ke dalam kawasan penempatan.
Namun, bermulanya zaman Dinasti Ming iaitu sekitar akhir abad ke-14 dan berterusan hingga abad ke-17, baharulah tembok ini dibina dalam usaha untuk menghalang serangan daripada puak Mongol dan kumpulan nomad lainnya.
Selain dikenali sebagai tembok pertahanan negara, dalam masa sama, tembok sepanjang kira-kira 6,400 kilometer (km) ini dilihat sebagai simbol kejuruteraan Cina kuno yang hebat serta berkekalan hingga ke saat ini.
Sejujurnya, saya tak pernah terfikir pun dapat peluang melawat salah satu daripada tujuh keajaiban dunia ini, bahkan tidak pernah terlintas dalam benak fikiran walaupun pada ketika itu saya sedang berada di China.
Memandangkan Tembok Besar China ini terlalu panjang, pelancong mempunyai pilihan untuk melawat mana-mana bahagian tembok yang diinginkan, baik di sebelah utara mahupun selatan.
Namun tembok bahagian Badalinglah yang paling terkenal kerana ia dipelihara dengan baik.
Kalau anda berkunjung ke sini, anda akan melihat banyak bahagian tembok yang tidak lengkap dan itu membuktikan bahawa tembok ini telah dibina pada waktu berperang, ia hancur kerana peperangan.
Perjalanan dari pusat bandar Beijing ke lokasi Tembok Besar China memakan masa sekurang-kurangnya sejam namun penting untuk diingatkan, meskipun anda pergi seawal pukul 5 pagi, ia bukan jaminan tembok besar tersebut tidak sesak dengan pengunjung kerana pusat tumpuan itu sentiasa penuh dengan lambakan manusia yang bukan sahaja datang dari pelancong luar negara bahkan pelancong dari dalam China sendiri.
Bagaimanapun, awal pagi, tidaklah sesesak waktu lain terutamanya waktu puncak pada pukul 11 pagi.
Harga tiket masuk kalau pergi dari bulan April hingga Oktober, sekitar RM25 manakala pada November ke Mac, sekitar RM22.
Ketahanan fizikal yang kuat diperlukan sekiranya anda mahu mendaki tangga yang tak pernah habis. Dan akan terdapat bahagian mendatar, maka anda perlu memegang penghadang untuk berjalan di bahagian itu.
BINAAN LAMBATKAN PERGERAKAN MUSUH
Binaan yang sebegitu rupa bertujuan melambatkan pergerakan musuh dan menyukarkan kawalan sewaktu bertempur.
Kalau suka kepada cabaran, anda boleh mendaki tembok ini dari bawah ke atas, tapi kalau tak nak pun tak apa, anda boleh naik kereta kabel yang akan menghantar anda terus ke suku bahagian tembok ini dan anda boleh mendaki sendiri dalam beberapa minit untuk sampai ke puncaknya.
Daripada satu sisi, mungkin saya agak kurang beruntung kerana ketika saya tiba di tembok besar tersebut pada waktu hujan yang menyebabkan kami dan semua pengunjung terpaksa membeli baju hujan di kedai berdekatan.
Walaubagaimanapun, kekecewaan itu terubat sebaik sahaja kereta kabel berjalan perlahan kerana saya disajikan dengan permandangan gunung-ganang yang terbentang luas dan indah.
Pendakian pun tak begitu meletihkan meskipun agak sesak diselangi pelbagai ragam pelancong yang mengambil swafoto tak kena tempat dan ada juga yang berjalan melawan arus sehingga menyebabkan pertembungan dua laluan namun itu semuanya pengalaman yang bernilai.
Saya fikir, inilah saatnya untuk anda semua mencuba pengalaman baharu di negara China. Ambillah peluang ini memandangkan kita sudah ada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Beijing yang memakan masa hanya selama 6 jam.
Kata Pemimpin Agung China, Mao Zedong, “Seseorang yang tidak pernah ke Tembok Besar tidak boleh dianggap sebagai seorang pahlawan!”.