Kopi Tenom tarikan pengunjung di pedalaman Sabah

Kopi Tenom tarikan pengunjung di pedalaman Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AROMA kopi yang cukup kuat dan menyegarkan mula menusuk hidung sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke ruang premis jualan Kilang Kopi Yit Foh.

Bau haruman kopi yang kuat membuatkan pengunjung seolah-olah berada di sebuah kopitiam.
Kini, kilang kopi tertua di Sabah itu sudah mula membuka sudut jualan bagi membolehkan pengunjung mendapatkan kopi Tenom langsung dari kilang.

Sebagai daerah yang terkenal sebagai pengeluar kopi utama di Sabah, Tenom kini menempatkan beberapa kilang kopi jenama tempatan seperti Yit Foh dan Fatt Choi.

Setiap hari, semasa pemprosesan biji kopi dilakukan pada waktu pagi, aroma kopi yang segar memenuhi ruang udara di sekitar pekan yang terletak kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Penyelia Yit Foh Sdn. Bhd, Azura Sarudih berkata, kopi Yit Foh yang kini berusia 62 tahun itu bukan sahaja terkenal dalam kalangan orang tempatan malah, sudah mula menembusi pasaran Brunei Darussalam dan Semenanjung Malaysia.

KOPI PANGGANG
“Biji kopi dipanggang dengan cara tradisional menggunakan kayu api membuatkan kopi yang
dihasilkan mempunyai aroma segar dengan keaslian tersendiri.

“Keaslian kopi itu membuatkan kopi kami menjadi pilihan untuk dijadikan buah tangan bagi pengunjung yang bertandang ke Tenom,” katanya.

Penghasilan kopi secara tradisional itu membuatkan kopi Tenom yang dihasilkan di situ mengekalkan rasa kopi yang asli dengan aroma yang menyegarkan.

Ketika ini, Yit Foh kekal menggunakan biji kopi tempatan iaitu Robusta yang diperoleh dari pengusaha kebun biji kopi tempatan di daerah tersebut dan juga sekitar Sabah dan Lawas, Sarawak.

Biji kopi Robusta yang diasingkan mengikut gred membolehkan mereka melakukan kawalan kualiti bagi memastikan biji kopi yang digunakan mencapai standard yang ditetapkan oleh
kilang tersebut.

Menurut Azura, pengeluaran biji kopi di daerah itu masih belum mencukupi bagi menampung keperluan kilang mereka yang mengeluarkan sebanyak 300 hingga 400 karton kopi sehari.

“Sebahagian pekebun menghantar sendiri biji kopi ke kilang ini, tapi ada juga biji kopi didapatkan sendiri dari luar seperti Tambunan, Ranau dan juga Lawas.

Biji kopi gred A dan B digunakan bagi mengekalkan kualiti kopi.

“Begitupun, kami masih berhadapan kekurangan bekalan biji kopi dan itu antara kekangan untuk memperluaskan lagi pasaran produk kopi yang dihasilkan di sini,” katanya.

 

PELUANG PEKERJAAN
Kewujudan Kilang Kopi Yit Foh bukan hanya membantu ekonomi penduduk kampung
dengan menghantar hasil tanaman biji kopi ke kilang itu, malah ia turut membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan.

“Anak-anak muda di sini tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja kerana pembukaan kilang yang lebih besar memberi peluang pekerjaan kepada kami di sini.

“Setakat ini, 50 orang anak tempatan diambil bekerja di kilang kopi ini,” katanya. Kopi keluaran Yit Foh mempunyai lebih 10 produk yang diinovasikan termasuk kopi musang king, kopi 3 dalam 1, kopi titis (drip coffee) dan juga kopi kapsul. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya