“HARAP dalam peruntukan itu ada kenaikan Elaun PekerjaOKU (EPOKU) dan Bantuan OKU tidak berupaya Bekerja (BTB).”
Itu reaksi diberikan Pengerusi Orang Kurang Upaya Bentong (POKUB), Huzaire Ahmad yang telahlama mengharapkan adakenaikan tersebut untuk golongan senasib dirinya.
Hal ini kerana katanya, peruntukan 1.2 bilion untuk golongan OKU yang diumumkan dalam belanjawan 2024 baru-baru ini tidak menyebut secara
spesifik sebarang kenaikan elaun yang disebutkan di atas.
Sebaliknya, ia dibentangkan secara umum untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya
bekerja dan elaun pekerja OKU.
“Sebenarnya kami sudah lama meminta supaya kadar elaun-elaun ini dinaikkan. Tidak banyak, cukuplah RM50 sahaja.
“Misalnya EPOKU yang diberikan sebanyak RM450 sebulan digenapkan kepada RM500 sebulan. Biarpun kecil sahaja jumlahnya, namun ia
mampu memberi sinar baharu kepada golongan kami,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengakui dirinya tidak layak menerima EPOKU kerana gaji melebihi syarat kelayakan, namun guru sekolah rendah aliran perdana itu berkata, ia diperjuangkan demi golongan OKU lain.
Kenaikan itu antara lain akan menggalakkan lebih ramai OKU berkeupayaan untuk bekerja.
Ia sekaligus dapat membantu OKU agar tidak menjadi bebanan kepada keluarga.
“Sekalipun tidak mampu menyara keluarga, cukuplah sekurang-kurangnya mereka dapat menyara diri sendiri.
“Bagi OKU tidak bekerja atau terlantar pula, kenaikan BTB diharap dapat membantu perbelanjaan keluarga kerana kos untuk menjaga OKU bukan murah,” ujarnya lagi yang turut menambah kenaikan harga barangan asas turut memberi kesan kepada golongan berkenaan.
KURANGKAN DUTI IMPORT
Lebih menggembirakan katanya, sekiranya kerajaan turut mengumumkan pengurangan duti import terhadap peralatan keperluan OKU, misalnya kerusi roda.
“Peralatan ini tidak murah dan harganya boleh mencecah ribuan ringgit terutamanya untuk OKU yang berkeperluan istimewa.
“Kami tidak mampu, kadangkala ada pihak prihatin menyumbangkannya untuk kami supaya kami selesa menjalani kehidupan,” katanya mengharap.
Bagaimana pun, katanya, keseluruhannya bajet ini dianggap terbaik sejak lima tahun kebelakangan selain memberi banyak manfaat kepada mereka.
SEMOGA TERLAKSANA
Dalam nada sama, Presiden Persatuan Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (KUAM), Suhairi Abdullah berkata, kenaikan kedua-dua elaun berkenaan sememangnya sudah dinantikan sekian lama.
Ia bagi membela nasib golongan berkenaan selain menggalakkan lebih ramai melibatkan diri dalam dunia pekerjaan sekaligus mampu mandiri.
“Ia dibentangkan secara umum sahaja, jadi kita harap ada kenaikan sedikit seperti diharapkan komuniti kami.
“Diharapkan pada masa akan datang kerajaan akan mempertimbangkan pula peruntukkan atau mewujudkan skim yang memudahkan OKU untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kadar elaun pelatih OKU mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang ditingkatkan kepada RM300 berbanding
RM150 sebulan sebelum ini, sebagai mampu menggalakkan lebih ramai penyertaan dalam program berkenaan.