DERMATITIS Atopik (AD) sejenis penyakit kulit kronik menyebabkan pesakit mengalami masalah kulit kering beserta ruam merah yang gatal.
Penyakit radang kulit yang spesi¬ k dalam keluarga ekzema ini, mempunyai penglibatan faktor genetik yang menyebabkan kulit pesakit kekurangan penghasilan pelembab semulajadi.
Ia dideritai dalam kalangan ramai orang dengan kanakkanak dan bayi membabitkan 13.4 peratus dan laporkan meningkat 0.49 peratus saban tahun.
Pakar Perunding Dermatologi KPJ Ampang Puteri, Dr. Norazirah Md. Nor berkata, walaupun AD lebih kerap berlaku pada kanak-kanak, sesetengah pesakit terus terjejas oleh AD sehingga remaja atau dewasa atau mereka mungkin mengalami permulaan AD yang lewat.
“Sebagai penyakit yang berterusan dan sering berpanjangan, AD adalah lebih daripada sekadar masalah kulit. Ia memberikan kesan ¬ zikal dan psikologi kepada pesakit dan penjaga mereka.
“Banyak kajian dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, menunjukkan AD boleh beri impak besar terhadap kualiti hidup, kesihatan psikologi dan kesejahteraan pesakit serta penjaga mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Antara impak AD ialah gangguan tidur yang teruk. Ia secara tidak langsung akan memberi kesan pada prestasi di sekolah, prestasi tempat kerja, susah untuk fokus dan peningkatan cuti sakit.
PUNCA BERLAKU
Interaksi antara faktor genetik, sistem imuniti badan, dan faktor persekitaran, antara punca berlakunya AD.
Faktor persekitaran yang boleh menjadi pencetus utama AD adalah cuaca panas dan berpeluh, tekanan serta perubahan cuaca.
Dr. Norazirah berkata, diagnosis awal sangat penting kerana ia membolehkan rawatan dimulakan daripada peringkat awal.
Selain itu, rutin penjagaan kulit yang tepat dan bersesuaian dapat diamalkan supaya penyakit dapat dikawal dengan baik.
“Ia turut membantu mencegah komplikasi seperti jangkitan kuman pada kulit akibat menggaru secara kerap, dan mengurangkan tahap teruk keseluruhan AD.
“Dengan ini AD menjadi lebih mudah diurus dan mengurangkan kesannya terhadap kehidupan harian,” ujarnya lagi.
TANGGAPAN SALAH
Mengenai dakwaan kemungkinan pesakit di negara ini tidak mencari atau mendapatkan rawatan sewajarnya daripada doktor antara punca AD kerap terjadi, kata Dr. Norazirah ia berkemungkinan besar berpunca daripada kurangnya pendedahan maklumat atau kesedaran mengenai penyakit ekzema dalam kalangan masyarakat.
“Ramai yang menyangka ekzema akan sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan.
“Selain itu, salah tanggapan ataupun tanggapan negatif masyarakat terhadap rawatan penyakit ekzema yang selalunya menggunakan rawatan ubat sapuan yang mengandungi steroid.
“Ramai dalam kalangan masyarakat kita terutamanya ibu bapa yang ada fobia kepada ubat sapuan mengandungi steroid,” ujarnya.
Katanya, ia disebabkan oleh propaganda negatif yang disebarkan oleh pihak tidak berpengetahuan mengenai ubat tersebut.
“Kebiasaannya kesan sampingan steroid berlaku akibat penggunaan ubat yang tidak dipantau oleh doktor bertauliah mengenai rawatan ekzema.
“Pakar dermatologi adalah orang terbaik untuk memberikan rawatan dan bertanggungjawab untuk memantau rawatan ekzema dengan apa jua ubat sapuan ataupun rawatan sistemik.
“Ia bagi membolehkan ekzema dapat dirawat dengan baik dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang tidak diingini,” kata Dr. Noraziarah.