Bagaimana menopaus tingkat risiko kanser?

Bagaimana menopaus tingkat risiko kanser?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENOPAUS secara semula jadi tidak meningkatkan risiko kaum hawa untuk mendapat kanser payudara.

Sebaliknya, risiko itu meningkat disebabkan oleh perubahan hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara seseorang seiring dengan pertambahan usianya.

Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Hafizah Zaharah Ahmad berkata, tahap estrogen yang tinggi terutama dalam tempoh berpanjangan, boleh merangsang pertumbuhan sel payudara dan meningkatkan risiko mutasi kanser.

Sebab itulah faktor seperti awal haid, lewat menopaus dan terapi penggantian hormon sering kali dikaitkan dengan risiko penyakit ini.

Namun, katanya, kehamilan dan penyusuan dapat mengurangkan pendedahan kepada estrogen secara sementara sekali gus mungkin memberi perlindungan terhadap kanser tersebut.

“Risiko ini mungkin meningkat selepas bersalin jika kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia,” katanya baru-baru ini.
Risiko kanser payudara terbahagi kepada dua iaitu pramenopaus dan selepas menopaus.

Bagaimanapun, kanser ini dikesan lebih cenderung menjadi agresif dalam kalangan wanita muda dan di fasa pramenopaus berbanding yang tua serta telah menopaus.



Masalah berat badan, obesiti

Lemak boleh menukarkan sesetengah bahan dalam darah kepada hormon wanita dan seterusnya mendorong pertumbuhan kanser payudara.

Oleh itu, Hafizah Zaharah menyarankan kaum hawa untuk mengamalkan pemakanan sihat, aktif dan mengekalkan berat badan bagi mengurangkan risiko perkembangan kanser.

Apabila berat badan bertambah, lebih banyak insulin perlu dirembeskan untuk mengelak kenaikan paras gula berlebihan.

“Selain mengawal paras gula, insulin juga meningkatkan pengeluaran sel dan mengurangkan kematian sel. Ini bermakna, terdapat lebih banyak peluang untuk sesuatu tidak kena berlaku dalam badan dan menyebabkan kanser,” katanya.


Persepsi salah

Walaupun risiko penyakit ini lebih tinggi bagi wanita yang belum menopaus, tetapi tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal.

Hakikatnya, kanser payudara boleh dan memang berlaku semasa serta selepas menopaus.

Satu lagi tanggapan salah yang wujud ialah ujian mamogram tidak diperlukan oleh wanita menopaus.

Kata Hafizah Zaharah, mamogram kekal sebagai ujian saringan penting untuk mengesan kanser payudara bagi wanita menopaus dan pengesanan awal melaluinya boleh menyelamatkan nyawa.

“Di samping itu, ramai wanita panik apabila menemui ketulan di payudara dan menganggapnya kanser sedangkan tidak semua adalah jenis malignant (kanser).

“Malah majoriti ketulan payudara yang ditemui semasa menopaus adalah jenis benign (bukan kanser),” katanya.

Sementara itu, pakar perunding dan bedah payudara, endokrin pembedahan am SMCV, Dr. Suziah Mokhtar berkata, seorang pesakitnya yang berusia awal 70-an disahkan menghidap kanser payudara tahap awal selepas menjalani pemeriksaan mamogram dan ultrasound.

Melalui penyiasatan secara berperingkat, kanser itu disahkan hanya terdapat pada payudara sahaja.

“Oleh kerana kansernya bersaiz kecil, pembedahan pesakit ini tidak rumit dan dia telah pulih dengan baik,” tambahnya.


Pengesanan awal, rawatan
Menurut Suziah, ujian mamogram dan ultrasound payudara adalah penting untuk pengesanan awal termasuk dapat mengenal pasti kanser payudara bertahun-tahun sebelum ia menjadi ketara.

Manakala diagnosis tepat pula bergantung kepada keputusan biopsi tisu payudara.

Rawatan untuk kanser payudara biasanya melibatkan gabungan pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon/endokrin dan terapi sasaran.

Dalam pada itu, Hafizah Zaharah berkata, faktor-faktor lain seperti genetik, sejarah keluarga dan faktor persekitaran turut mempengaruhi seseorang untuk mendapat kanser payudara.

Pemeriksaan kerap dan konsultasi dengan pakar perubatan boleh membantu dalam penilaian dan pengurusan risiko kanser berkenaan.

“Wanita yang dirawat di peringkat awal, kurang berkemungkinan untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya