zapin

Akar Seni tunjuk taring menari zapin

KUMPULAN Akar Seni Malaysia dinobatkan sebagai juara Battle of Zapin Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGKAH laku dan gerak tari sejajar dengan iringan muzik menangkap perhatian ramai pengunjung terhadap keseragaman anak muda menari zapin di atas pentas.

Anggun berbusana Melayu pelbagai warna, menjadi manifestasi seni tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Ternyata kecintaan terhadap tarian tradisional Melayu sudah berakar umbi dalam diri Muhammad Syafiq Afnan, 24, yang meminati tarian zapin sejak di bangku sekolah rendah.

Kongsinya, minat itu kemudian diteruskan sehingga menuntut di Kolej Poly-Tech Mara Bangi bersama rakan-rakan sebaya lain.

Meskipun sudah menamatkan pengajian, penari zapin ini tetap menumpahkan taat setianya terhadap tarian tradisi Melayu.

“Asalnya kumpulan kami tertubuh sejak bernaung di bawah kelab kebudayaan semasa zaman belajar di kolej.

“Bila habis belajar kami masih meneruskan minat sama dan bergerak dengan organisasi luar yang diberi nama sebagai Kumpulan Akar Seni Malaysia. Kami mempunyai 20 ahli, ada yang masih belajar lagi, termasuk yang sudah bekerja,” katanya.

Muhammad Syafiq Afnan

Walaupun belum mempunyai studio latihan sendiri, namun, kata Muhammad Syafiq merangkap ketua kumpulan, mereka akan memperuntukkan beberapa hari dalam seminggu untuk berlatih.

“Selalunya kami akan berjumpa dan buat latihan pada waktu malam, selepas waktu bekerja. Latihan selalunya diadakan di mana-mana studio atau lokasi terbuka di sekitar Kuala Lumpur.

“Kami juga mempunyai koreografer merangkap pengarah artistik yang akan membimbing dan mengajar setiap kali sesi latihan dan pertandingan,” katanya yang menguasai beberapa tarian tradisional Melayu lain seperti inang dan asli.

Berkongsi pembabitan sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 2018, Muhammad Syafiq berkata, mereka sering diundang menjayakan persembahan sempena festival kesenian di luar negara.

“Tahun ini sahaja kami sudah terbang ke tiga lokasi, iaitu dua di Indonesia dan satu di Songkhla, Thailand sempena festival kebudayaan dan kesenian di sana.

“Kalau di Malaysia, boleh katakan hampir setiap minggu kami mendapat jemputan sama ada persembahan di syarikat korporat atau majlis perkahwinan,” kongsinya.

BATTLE OF ZAPIN

Kumpulan Akar Seni Malaysia dinobatkan sebagai juara Battle of Zapin bagi kategori terbuka sempena Karnival Komuniti Pesta Air Putrajaya, berlangsung di Presint 18, Putrajaya, baru-baru ini.

Semasa pertandingan akhir itu, kumpulan yang mempertaruhkan empat penari wanita dan empat penari lelaki itu menewaskan kumpulan zapin, Sanggar Budaya Sri Pengkalan.

Muhammad Syafiq berkata, konsep pertandingan menggunakan format battle itu bukan sesuatu yang asing kerana banyak digunakan dalam pertandingan tarian moden lain seperti hiphop.

“Cuma ia dipertandingkan dalam struktur tarian Melayu dengan peserta hanya mengetahui lagu (minus one) yang akan dipilih oleh juri semasa berada di atas pentas.

“Ini bermaksud, setiap kumpulan perlu memutuskan jenis tarian zapin secara spontan mengikut kesesuaian lagu yang dipilih sama ada berentak perlahan, sederhana atau rancak,” katanya.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta disertai empat kumpulan dari sekolah rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya