SHAH ALAM: Perjalanan penyanyi, Datuk Aishah dalam All Stars Gegar Vaganza (GV10) terhenti apabila diumumkan sebagai peserta ketiga tersingkir pada konsert minggu ke-4 yang berlangsung di MBSA, malam tadi.
Aishah yang membawakan lagu Terlanjur Cinta secara duet dengan penyanyi, Vince meraih markah juri keseluruhan sebanyak 43.75 peratus sekaligus jatuh ke tangga tercorot.
Konsert minggu ke-4 turut menyaksikan penyanyi, Noryn Aziz merampas kedudukan pertama selepas meraih markah keseluruhan tertinggi sebanyak 85.25 peratus.
Noryn yang berduet dengan penyanyi bertaraf legenda, Liza Aziz membawakan lagu I’m Every Women nyanyian Whitney Housten berjaya mencuri hati ketiga-tiga juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
13 bintang yang berjaya mara ke konsert minggu hadapan antaranya Azharina, Liza Hanim, Hardy Mirza, Naqiu, Tomok, Nikki Palikat, Ezad Lazim, Noryn Aziz, Jaclyn Victor, Zamani, Siti Nordiana, Ayai Illusi dan Aliff Aziz.
Kesemua peserta pada minggu hadapan bakal membawakan lagu-lagu yang mendapat undian tertinggi penonton.
Dalam pada itu, GV10 pada minggu-minggu seterusnya kekal dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse. – UTUSAN