‘Setiap hari saya berdoa mahu mati’

‘Setiap hari saya berdoa mahu mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPARUH jiwanya seolah-olah sudah mati akibat diserang lapan sakit kronik hingga tidak mampu lagi berjalan.

Dengan berat badan lebih 200 kilogram, Mohd. Hasli Alfie Ahmad Sobri, terpaksa terlantar hampir lima tahun di katil bermula 2015 kerana komplikasi dialami.

Selain hilang kerja, bekas cef dan tenaga pengajar kulinari itu juga teruk dihina serta disisihkan masyarakat.

Harapan untuk hidup sudah tiada, malah setiap hari dia ‘berdoa’ agar nyawanya segera ditarik Ilahi.

Demikian pengakuan Mohd. Hasli Alfie, 43 yang merupakan pejuang bariatrik, ketika mengimbau kembali penderitaannya sebelum menjalani pembedahan pintasan usus mini (MGB) pada 2019.

Dunia yang dahulu gelap kini berubah terang apabila berpeluang berjalan semula di samping bebas sepenuhnya daripada kesemua lapan penyakit iaitu obesiti, gout, diabetes, kolestrol, darah tinggi, hati berlemak, slip dics dan arthritis.

Keputusan memotong usus bukan sahaja berjaya menyelamatkan nyawanya, malah memberi kehidupan baharu yang tidak pernah dibayangkan selama ini.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia 13 tahun ini berkata, beratnya hilang 151 kilogram daripada 209 kilogram pada hari pembedahan kepada 58 kilogram, kini.

Seingatnya, kali terakhir memiliki berat di bawah 60 kilogram adalah ketika berumur tujuh tahun.

“Saya obes sejak kanak-kanak sebab suka makan serta minum air berkarbonat. Keadaan itu berterusan hingga besar ditambah pula dengan kerjaya sebagai tukang masak.

“Bayangkan di usia 29 tahun, saya sudah menghidap gout kronik dan melalui keseluruhannya sebanyak 44 kali pembedahan untuk membuang asid urik berlebihan.

“Pada 2015, episod gelap bermula apabila saya langsung tidak boleh berjalan, mujurlah isteri jururawat, sekurang-kurangnya dapat membantu mencuci luka dan lain-lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi perkongsian mengenai perjalanan bariatrik di ibu kota baru-baru ini.

Program itu dianjurkan pakar bariatrik terulung Malaysia, Dr. Mustafa Mohammed Taher.

Ditolak enam pakar
Atas saranan rakan dan kerana mahu sihat, Mohd. Hasli Alfie nekad melakukan pembedahan bariatrik, malangnya niat itu terbantut setelah ditolak enam pakar perunding dalam bidang berkenaan.

Kebanyakan doktor enggan mengendalikan prosedur itu kerana bimbang risiko kematian apatah lagi dengan keadaan kakinya yang baru dimasukkan besi sehingga peha akibat rhuematoid arthritis pada buku lali.

Katanya, pembedahan ankle fusion ilizarov itu dilakukan pada 7 Disember 2018 yang menyaksikan berat badannya melonjak daripada 154 kilogram kepada 209 kilogram akibat stres melampau.

Isterinya, Nur Fadhila Othman, 40, kemudian menghubungi Mustafa dan nasib menyebelahinya apabila pakar perunding bariatrik itu bersedia untuk menggalas tugasan berkenaan.

‘Pejuang bariatrik’
Prosedur pembedahan MGB dilakukan di Pusat Perubatan IHeal di Kuala Lumpur pada 2 Mei 2019 dengan kos bernilai RM52,000, dikeluarkan daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya merupakan pesakit pertamanya dibedah dengan besi terpasang pada kaki, malah Dr. Mustafa turut menggelar saya pejuang bariatrik.

“Selepas pembedahan, tempoh kira-kira setahun diambil bagi berjalan semula dan saya sangat menghargai peluang kedua diberikan Allah untuk saya terus hidup,” katanya sebak.

 

21 kumpulan whatsapp

Mohd. Hasli Alfie secara sukarela menjadi pembimbing kepada mana-mana individu yang mahu mendapatkan saranan dan panduan berkaitan pembedahan bariatrik.

Inisiatif percuma itu dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat keyakinan dan informasi tepat untuk melakukan prosedur berkenaan.

Jauh di sudut hati, pejuang bariatrik itu tidak mahu orang lain melalui kehidupan gelap sepertinya yang terlantar kesakitan bertahun-tahun.

Sehingga kini, beliau memiliki 21 kumpulan WhatsApp bukan sahaja dengan komuniti di Malaysia tetapi luar negara bagi menyalurkan informasi terkini dan saranan.

“Jika saya tahu mengenai bariatrik lebih awal, pasti saya sudah buat pembedahan itu tanpa menunggu sehingga sakit parah.

“Sebab itu saya suka nasihatkan orang ramai yang berdepan masalah kesihatan dan penyakit agar ambil peluang melakukannya demi kesejahteraan kesihatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hasli Alfie menepis dakwaan kononnya potong usus adalah jalan pintas untuk kurus dan cantik, kerana matlamat utama pembedahan tersebut adalah bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Bariatrik tingkat pelancongan kesihatan negara

Setiap tahun antara 800 hingga 900 kes pembedahan bariatrik dilaksanakan dengan kos rawatan bernilai RM30,000 untuk setiap pesakit.

Dr. Mustafa berkata kes dikendalikan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah luar negara, antaranya Indonesia, Singapura dan Australia serta Timur Tengah yang datang ke negara ini semata-mata untuk melakukan rawatan potong usus.

Pakar bariatrik terbaik Asia Pasifik itu menjelaskan, antara sebab utama pesakit antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi pembedahan bariatrik adalah kerana yakin dengan kepakaran dimiliki.

“Setiap tahun saya menerima purata 90 pesakit luar negara. Selain faktor kepakaran, kedatangan mereka ke sini didorong oleh harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

“Di Dubai misalnya, kos bagi prosedur pembedahan bariatrik bernilai $AS15,000 atau bersamaan kira-kira RM70,000. Ia jauh lebih mahal berbanding caj rawatan di negara ini,” katanya.

Ujarnya, perkhidmatan kesihatan ditawarkan itu secara tidak langsung, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan antarabangsa.

Dr. Mustafa berasal dari Iraq. Beliau memiliki 10 tahun pengalaman dalam perundingan pembedahan dan bariatrik, turut dinobatkan sebagai pakar bariatrik terbaik Asia Pasifik selama empat kali berturut-turut sejak 2020.

Mengenai persepsi masyarakat terhadap rawatan potong usus, ujarnya, penerimaan masyarakat jauh lebih baik berbanding sedekad lalu.

“Hari ini sebut saja bariatrik, sudah ramai tahu tentangnya, malah tanggapan kononnya ia sekadar rawatan kosmetik juga kian terhakis.

“Rata-rata pesakit datang dengan persediaan lengkap daripada semua segi kerana kawan dan saudara mereka pernah buat potong usus. Maka penerangan pun jadi lebih mudah memandangkan mereka faham tentang keluruhan konsep rawatan,” katanya yang berkhidmat di Pusat Perubatan Cengild G.I.

Dr. Mustafa menegaskan, pembedahan berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan untuk kurus jika tiada sebarang komplikasi penyakit yang melayakkan mereka berbuat demikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya