BUSANA santai atau kasual tidak semestinya membosankan. Keselesaan tidak semestinya berpisah dengan gaya. Busana santai juga boleh menjadi kanvas untuk mengekspresikan dirimu supaya kelihatan lebih wow.
Suai padankan warna-warna ceria dan tambah aksesori menarik termasuk menggulung lengan kemeja untuk kelihatan effortless.
Ingat, fesyen adalah mengenai keyakinan dalamanmu akan identitimu. Jangan ragu-ragu menyelitkan unsur-unsur yang mencerminkan identiti dalam pengayaan santai.
Pilihan saya pada minggu ini adalah jenama tempatan, Naezily, yang hadir untuk memberikan opsyen berbeza kepada gaya santaimu. Naezily mewakili inovasi dalam fesyen santai.
Contoh terbaik adalah set Jackie 2.0 yang menampilkan kemeja butang dan seluar kaki lebar diperbuat daripada chiffon pleated yang menjadikan koleksi ini versatil untuk penggayaan santai.
Kesan lipatan pada pakaian atau pleated sering dianggap menarik kerana memberikan dimensi, tekstur dan struktur kepada pakaianmu.
Pakaian ini memberikan kebebasan untuk bergerak tanpa mengabaikan penampilan yang menarik.
Boleh berehat santai di rumah atau keluar dengan gaya elegan.
RONA COKLAT
Kalau ingin menggayakan rona coklat, padankan dengan warna-warna sejuk seperti emas, hitam atau maroon.
Aksesori atau kasut berwarna emas akan menambah sentuhan mewah dan bersahaja. Tambahkan gelang emas atau anting-anting untuk lebih kilauan.
Beg kulit coklat gelap adalah pilihan tepat untuk rona warna ini.
Tudung – Pilih selendang yang serasi dengan set Jackie 2.0 Brown. Warna emas atau krim menjadikan gaya lebih menarik.
RONA BIRU
Untuk rona navy blue, cuba seimbangkan dengan warna-warna cerah seperti putih, krim, perak atau emas.
Warna-warna ini akan memberikan kontras yang menarik kepada gayamu.
Aksesori berwarna emas atau perak untuk memberikan kilauan elegan misalnya jam tangan atau gelang.
Tudung – Selendang berwarna putih atau krim dapat menyeimbangkan rona biru gelap pada set ini.
Jangan takut untuk mencuba motif bunga yang tidak keterlaluan pada selendangmu bagi menambah elemen feminin.
Keselesaan juga penting. Pastikan ia longgar untuk membolehkan pergerakan bebas dan selesa.
Dengan padanan warna yang betul dan aksesori sesuai, gaya ini pasti membuatkan dirimu anggun dalam setiap situasi. –UTUSAN